Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Pengajaran buat warga - Air yang tenang jangan disangka tidak bergelora

S'pura terdedah kepada pelbagai cabaran, ancaman luaran
Dec 09, 2018 | 05:30 AM



Malaysia baru-baru ini menjadikan pengurusan ruang udara selatan Johor oleh Singapura sebagai isu, mengaitkan perkara itu dengan kedaulatan. Malaysia juga secara sepihak telah mengubah dan memperluaskan had pelabuhan Johor Bahru hingga mencerobohi perairan Singapura. Berikut pandangan wartawan Berita Harian dan seorang pengamat industri penerbangan mengenai isu tersebut. 



PERKEMBANGAN terbaru dalam isu hubungan dua hala Singapura-Malaysia, dan beberapa isu global lain, harus menjadi iktibar kepada warga Singapura bahawa faktor luaran - seperti apa yang berlaku serantau dan sejagat - boleh menjejas Singapura.



Sambil kita memberi fokus pada isu-isu seperti kos kehidupan, perumahan, pekerjaan dan pendidikan - perkara-perkara yang sewajarnya amat penting - kita tidak boleh lupa bahawa konteks lebih besar iaitu perkembangan dan pergolakan dunia adalah perkara penting yang boleh menjejas kita.



Apatah lagi kalau penakatan Singapura boleh terancam - segala yang kita bangunkan dengan penat lelah mudah dibinasakan.



Kita juga perlu tahu segala yang kita bina dan miliki adalah atas usaha kita, sebagai masyarakat dan negara yang berpegang teguh pada proses konsisten dan dipersetujui.



Ini termasuk dalam hubungan dua hala - sama ada hubungan antara Singapura dengan negara besar mahupun kecil.



Dalam hal ini, pasang surut hubungan dua hala Singapura-Malaysia - negara jiran terdekat yang terpisah hanya dalam jarak sekitar satu kilometer tetapi tersambung dengan koswe - boleh dianggap lumrah.



Secara umum, hubungan antara kededuanya adalah baik. Walau telah berpisah sejak 1965, Singapura dan Malaysia terus hidup harmoni, antara lain kerana adanya sikap saling hormat-menghormati dan kesediaan bekerjasama.



Hakikatnya, kita berkongsi sejarah - pernah bernaung di bawah satu jajahan - dan kemudian mengusahakan haluan masing-masing selepas berpisah.



Komposisi masyarakat kita serupa - berbilang kaum dan agama.



Hubungan di peringkat rakyat baik. Masih ramai keluarga yang masih mempunyai pertalian keluarga di seberang tambak.



Demi penakatan, kita bersaing tetapi kita juga bekerjasama. Maka itu hubungan dagangan dua hala terus mekar.



Ribuan rakyat Malaysia menyeberangi koswe setiap hari ke sini mencari rezeki. Begitu juga rakyat Singapura yang sering ke Malaysia bagi pelbagai tujuan, terutama pada hujung minggu dan musim cuti.



Kita juga sedar pentingnya bekerjasama di peringkat serantau, lantas sama-sama menjadi antara pengasas Asean.



Banyak lagi bidang kerjasama antara kededua negara.



Namun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula jiran yang telah mengalami pelbagai perubahan masing-masing. Maka itu, timbul pelbagai isu dua hala dari masa ke masa.



Setakat ini, kita telah dapat menanganinya dalam suasana muhibah.



Tetapi, bagai 'sekali air bah, sekali pantai berubah', Malaysia mengalami perubahan politik besar Mei lalu apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sekian lama kalah dalam Pilihan Raya Umum.



Kerajaan baru Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan, diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi Perdana Menteri di bawah BN. Pada masa yang sama, Malaysia menghadapi beberapa isu mencabar, termasuk hutang besar dalam skandal 1MDB dan terbaru, masalah hubungan kaum Melayu-India.



Singapura memahami dan simpati. Antara lain, Singapura dengan rela menangguhkan projek bersama HSR yang telah dimeterai, tanpa desakan bayaran ganti rugi.



Namun, beberapa perkembangan kebelakangan ini menjadi tanda tanya: Kenapa Malaysia menimbulkan semula isu lama seperti pertikaian harga dan bekalan air dengan Singapura dan isu pembinaan jambatan bengkok menggantikan koswe.



Terbaru ialah pertikaian kawasan udara dan sempadan Maritim.



Malaysia membantah rancangan Singapura menggunakan ruang udara selatan Johor Baru untuk operasi penerbangan di Lapangan Terbang Seletar.



Ia mahu menuntut semula ruang udara dan mendakwa bahawa Singapura telah mengeluarkan - tanpa persetujuan Malaysia - prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) baru untuk Lapangan Terbang Seletar yang dikuatkuasakan pada 3 Januari.



Ia menyatakan ILS - yang memerlukan pesawat terbang di selatan Johor - akan menjejas pembangunan di Pasir Gudang Johor.



Singapura menegaskan bahawa prosedur itu selari dengan piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan selaras dengan profil penerbangan sedia ada ke Lapangan Terbang Seletar, yang telah digunakan beberapa dekad.



Mengenai sempadan maritim, Malaysia secara sendirian atau unilateral meluaskan batas pelabuhan Johor Baru pada Oktober lalu, mendorong Kementerian Pengangkutan Singapura membantah tindakan yang dikatakan melanggar kedaulatan Republik dan undang-undang antarabangsa.



Sebanyak 14 pencerobohan dilakukan kapal Malaysia antara 24 November dengan 5 Disember lalu.



Sebagai tindak balas, Singapura memperluas had pelabuhannya menyusuli pencerobohan kapal Malaysia yang berulang kali memasuki perairan Singapura dekat Tuas.



Singapura juga menegaskan ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan pencerobohan dan tidak sah di perairannya demi melindungi wilayah dan kedaulatan negara ini, jika perlu.



Jika tidak ditangani dengan bijaksana, isu-isu ini boleh melebarkan retak hubungan dua hala. Ini bukan sahaja tidak menguntungkan, malah merugikan. Kita telah melihat bagaimana dua kuasa besar - Amerika Syarikat dan China - yang bertikai mengenai dagangan hingga menjejas ekonomi dunia.



Maka itu kita berharap para pemimpin kededua belah pihak akan bertenang dan menggunakan waras fikiran untuk tidak memperpanjang ketegangan urat saraf dan segera ke meja rundingan bagi menemukan huraian. Ini lebih profesional dan memaparkan kematangan.



Kedegilan dan ketegasan akan hanya mengeruhkan keadaan. Ketegangan boleh dikendurkan dengan berpaksikan sikap saling menghormati. Huraian secara tenang dan bijaksana akan membuahkan hasil yang akan saling menguntungkan.



Dalam pada itu, rakyat Singapura harus mengambil iktibar daripada episod ini.



Mengikuti dan memahami isu yang berlaku harus menanam kesedaran tentang realiti kehidupan dan penakatan Singapura dalam dunia yang mencabar.



Kita mungkin kecil - sekadar titik merah di khatulistiwa- dan terdedah pada pelbagai kemungkinan. Namun sejak merdeka lebih 50 tahun lalu, kita bersemangat besar.



Kita sudah, sedang dan akan terus menghadapi cabaran dalam pelbagai bentuk. Namun kita bertakat, mengharungi dan mengatasi cabaran dan membina kehidupan sehingga berjaya mengubah kedudukan daripada sebuah negara dunia ketiga kepada dunia pertama.



Antara sebabnya ialah kita menerima dan memahami realiti kehidupan, bersatu hati dan bersama-sama bergerak ke hadapan.



Rakyat mesti sedar bahawa Singapura terdedah. Dengan kefahaman, perpaduan, semangat dan tekad, kita boleh terus melangkah walau ribuan cabaran merintang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >