Pengaruh Ma'ruf dalam pentadbiran Jokowi, Berita Wacana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Wacana0

PANDANGAN

Pengaruh Ma'ruf dalam pentadbiran Jokowi

Mar 25, 2019 | 05:30 AM

BAHANG pilihan raya presiden Indonesia sudah dapat dirasakan. Ramai yang menjangkakan Presiden Joko Widodo (atau Jokowi) akan dipilih semula dengan mudah. Beliau, yang berpasangan dengan calon wakilnya, Ma'ruf Amin, sedang mendahului lawannya, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno, dalam tinjaun pendapat yang dianjurkan pelbagai pertubuhan.

Misalnya, dalam tinjauan Indikator, pasangan Jokowi-Ma'ruf memperolehi 54.9 peratusan undi manakala Prabowo-Sandiaga 32.8 peratus sahaja.

Pemilihan kali ini, yang bakal diadakan pada 17 April, adalah unik kerana buat kali pertama dalam sejarah politik Indonesia, pemilihan presiden dan perundangan diadakan serentak.

Tambahan lagi, tempoh kempen selama lapan bulan merupakan yang terpanjang pernah diadakan.

Pertarungan antara Jokowi dengan Prabowo bak sejarah berulang, sama seperti senario pemilihan pada 2014.

Berita Popular

Pemilihan tahun itu sangat sengit dengan Jokowi mengalahkan Prabowo.

Yang menariknya, perhatian pemilihan kali ini lebih tertumpu pada calon wakil presiden (naib presiden dalam bahasa Melayu) Ma'ruf Amin dan Sandiaga Uno.

Ma'ruf, yang berusia 76 tahun tahun ini, seorang agamawan terkenal. Beliau tokoh Nahdlatul Ulama (NU) dan pernah menceburi politik dalam Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), iaitu parti berlandaskan tradisionalis ala NU.

Beliau sebenarnya lebih terkenal sebagai Ketua Umum Majelis Ulama Indonesia (MUI).

Lawan Ma'ruf pula seorang yang jauh lebih muda daripadanya. Sandiaga berusia 49 tahun, ahli peniaga yang popular dengan golongan milenial dan wanita. Namun, kekurangan beliau adalah dalam memberikan respons terhadap pencabarnya yang bersifat Islamik, dengan Ma'ruf ada kelebihan sebagai ulama terkenal.

Malah bukan sahaja berpengalaman dalam hal ehwal keislaman.

Sandiaga juga terkenal sebagai tokoh politik.

Pada usia 28 tahun, beliau dipilih sebagai wakil rakyat partai NU, yang pada masa itu masih sebuah parti politik di bawah Partai Perpaduan Pembagunan, PPP).

Pada mulanya, ramai yang terkejut apabila Presiden Jokowi menamakan Ma'ruf sebagai wakilnya.

Namun, faktor agama menjadi pertimbangan Jokowi atas kesedaran beliau bahawa pengundi di Indonesia lebih konservatif berbanding dahulu.

Mentelah, Ma'ruf boleh menyangkal pelbagai tuduhan daripada lawannya yang berbentuk Islamik.

Masalahnya, apakah implikasi setelah pemilihan ini jika pasangan Jokowi-Ma'ruf menang?

Ma'ruf dikenali sebagai seorang yang konservatif dan pernah memberikan pandangan yang memecahkan perpaduan rakyat. Misalnya, beliau menjadi saksi utama dalam kes "Ahok" (nama gelaran bagi mantan Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama), yang menyebabkan Ahok dipenjara atas kesalahan penghinaan agama.

Pada 2016, Indonesia dibanjiri protes besar-besaran yang menyelar tindakan Ahok semasa berkempen bagi pemilihan jawatan Gabenor Jakarta pada 2017.

Sebelum itu, semasa menjadi ketua fatwa MUI, Ma'ruf telah menandatangani fatwa-fatwa kontroversial, seperti mendeklarasikan sekeluarisme, pluralisme dan liberalisme sebagai sesat.

Golongan ini digelar dengan akronim SIPILIS. MUI juga menyatakan semula fatwa tentang Ahmadiyah dan Syiah, tatkala sedang berlakunya kejadian keganasan terhadap golongan itu.

Sejauh mana Ma'ruf akan mengubah dasar pemerintahan Presiden Jokowi jika dipilih?

Ada yang resah bahawa dasar Indonesia akan menjadi konservatif.

Yang jelas, Ma'ruf telah memasuki gelanggang politik kali ini dengan nada yang moderat.

Beliau menggunakan slogan seperti Islam Wasatiyya dan sebagainya untuk menarik perhatian pengundi dan juga pemerhati di luar negara yang beliau ini sederhana.

Namun, penggunaan kalimah seperti ini tidak boleh menjadi sandaran bahawa beliau telah berubah pendirian.

Pandangan beliau terhadap golongan minoriti yang disebutkan tadi masih belum diubah, sedangkan ulama lain di Indonesia telah pun mengutarakan pandangan yang lebih bersimpati, seperti Professor Quraish Shihab dan Profesor Syafii Ma'rif.

Semasa Ma'ruf bergiat di MUI, beliau banyak menggerakkan proses Islamisasi dari perspektif masyarakat.

Misalnya, beliau mengembangkan perbankan Islam, sertifikasi halal, dan yang terakhir, wisata syariah.

Isu-isu ini akan dikembangkan semula jika beliau dipilih dan akan menjadi sebahagian daripada agendanya.

Walau bagaimanapun, sejauh mana Ma'ruf akan mencorak pentadbiran Jokowi masih menjadi tanda tanya.

Pemilihan 2019 ini bukan sahaja berkisar soal agama. Faktor ekonomi juga memainkan peranan besar.

Misalnya, kadar GDP Indonesia masih lagi di bawah 7 peratus, tidak menepati sasaran yang ditetapkan Presiden Jokowi semasa pemilihan 2014 lalu. Justeru, Ma'ruf tidak boleh menyumbang banyak jika pertarungan berlandaskan ekonomi.

Yang jelas, bidang kuasa wakil presiden Indonesia amat terhad.

Sejauh ini, kepopularan Jokowi menjangkaui lawannya, dan jika pasangan Jokowi-Ma'ruf menang, ini bukan disebabkan faktor Ma'ruf bahkan keperibadian Jokowi sendiri.

Malah semasa pemerintahan Susilo Bambang Yudhoyono, Ma'ruf juga pernah menjadi penasihat presiden sebagai ahli Wantimpres.

Kehadiran beliau sebagai penasihat Presiden tidak sama sekali membuat pemerintah condong kepada konservatisme. Ma'ruf sendiri tidak pernah menyampaikan cita-cita mahu menjadikan Indonesia sebagai negara Islam kerana beliau komited terhadap Pancasila yang sersifat menghormati kepelbagaian.

Hanya beliau mungkin mendukung Islam yang simpati terhadap kapitalisme.

Yang perlu diperhatikan adalah sistem semak dan imbang yang terpaku dalam wacana Islam di Indonesia sendiri. Perihal ini mungkin akan menghambat sembarang fahaman konservatif daripada berkembang.

Di sini, bukan sahaja perbezaan NU dan Muhammadiyah sahaja yang dimaksudkan, bahkan sama kuatnya golongan progresif dan konservatif di ruang publik.

Sebarang idea konservatif akan dicabar oleh golongan progresif, dalam bentuk tulisan dan ceramah terbuka.

Ini tidak bermakna faktor Islam akan dipinggirkan.

Kita dapat membayangkan faktor agama bagi umat Islam terbesar di dunia ini akan masih mencorak dasar dalaman dan dasar luar Indonesia pada masa mendatang, walaupun pada dasarnya, ia mengamalkan Pancasila.

  • Dr Norshahril Saat ialah Zamil Institut ISEAS-Yusof Ishak. Beliau penulis 'The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia' (Amsterdam University Press, ISEAS 2018).

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map