TAHUN ini akan menyaksikan peranan pengetua ke arah menjayakan pendidikan menyeluruh atau holistik. Tugas ini bukanlah mudah. Oleh itu, pengetua merupakan insan pilihan - bukan sekadar dari segi ilmu, bakat dan pengalaman keguruan, bahkan sebagai pemimpin dan pengurus yang cekap. Langkah ke arah pendidikan holistik dijadikan dasar Kementerian Pendidikan (MOE) untuk membangunkan potensi setiap murid secara teratur dan maksimum - jauh daripada sekadar menurut kurikulum.
Sedang MOE menetapkan dasar dan hala tuju jangka panjang, pengetua dan guru di setiap sekolah perlu dapat menggarap erti dan pelaksanaannya. Singapura kini sudah berada dalam barisan negara maju yang mempunyai mutu pendidikan antara terbaik di dunia. Memang wajar sekali pencapaian ini dilestari dan dipertingkat. Namun dampaknya ke atas murid dan guru juga perlu dinilai agar bebanannya tidak keterlaluan sehingga menimbulkan kesan jiwa dan sosial yang sebaliknya.