Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KEMELUT POLITIK MALAYSIA

Percaturan politik M'sia dalam memilih siapa jadi Perdana Menteri

Empat blok utama parti politik yang terbentuk papar permainan terbuka dan perebutan ke tampuk kuasa; Agung juga main peranan tentu arah tuju
Feb 28, 2020 | 05:30 AM



DINAMIKA politik di Malaysia agak sukar hendak diramal dengan permainan masih terbuka dan perebutan ke tampuk kuasa masih berterusan.



Sehingga semalam, terdapat empat blok utama yang terbentuk di Malaysia:



  • Blok yang menyokong Tun Dr Mahathir dan mahukan beliau menjadi Perdana Menteri.

  • Blok kedua, kumpulan yang menyokong Datuk Seri Anwar dan kumpulan Pakatan Harapan (PH) yang telah menamakan beliau sebagai Perdana Menteri.

  • Kem Muafakat Nasional yang terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang sebelum ini menyokong Dr Mahathir.

  • Kumpulan yang mahukan Parlimen dibubar dan diadakan pilihan raya umum (PRU).

Yang di-Pertuan Agong selesai menemu bual 221 ahli parlimen kelmarin bagi mendapatkan kepastian mereka sama ada mahu menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad atau mengadakan PRU yang baru.



Barisan Nasional (BN) dan PAS kelmarin sepakat mahukan PRU. Di Dewan Rakyat jumlah kerusi mereka ketika itu ialah 60.



Ahli parlimen PH pula menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka. Jumlah kerusi dimiliki ketiga-tiga parti dalam PH kini ialah 92 orang.



Parti Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan bebas menunjukkan sokongan kepada Dr Mahathir. Jumlah mereka pula ialah 70 orang.



Jika pengundian benar-benar dilakukan secara en bloc dan partisan dalam situasi di atas, tiada pihak - termasuk kumpulan Dr Mahathir - dijangka boleh membentuk majoriti iaitu sokongan ahli parlimen melebihi 111 orang.



Majoriti mudah ini boleh melayakkan seseorang calon dilantik sebagai Perdana Menteri.



Pada peringkat awal, Dr Mahathir dilihat calon tunggal pilihan majoriti ahli parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Umno dan PAS, misalnya, menyatakan sokongan kepada beliau bagi menyekat peluang Datuk Anwar.



Bagaimanapun, situasi sedikit berubah apabila BN yang terdiri daripada Umno, Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) bersama PAS, menarik balik sokongan kepada Dr Mahathir kerana mendakwa kerajaan baru yang bakal dibentuk akan membabitkan Parti Tindakan Demokratik (DAP).



KERAJAAN PERPADUAN



Dr Mahathir, yang kini perdana menteri interim, berkata beliau percaya penyelesaian kepada kemelut politik semasa adalah dengan membentuk kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.



Beliau berkata, banyak ahli politik dan parti politik tertumpu kepada politik di mana mereka lupa negara menghadapi cabaran ekonomi dan juga krisis kesihatan awam.



Beliau meminta diberi peluang untuk membentuk pentadbiran yang tidak berpihak kepada mana-mana parti, sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan negara.



Penubuhan kerajaan perpaduan bertujuan memastikan Dr Mahathir dapat memilih ahli parlimen yang paling mampu menjadi sebahagian pentadbiran yang boleh meningkatkan ekonomi dan mengatasi cabaran seperti wabak Covid-19.



Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, mendakwa konsep yang cuba dibawa oleh Dr Mahathir untuk mewujudkan kerajaan perpaduan masih kabur.



Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, definisi perpaduan yang difahami parti politik yang menguasai Parlimen atas mandat rakyat, tidak semestinya menjadi ahli kabinet.



"Ini adalah ironinya, kehadiran Pakatan Harapan (PH) adalah untuk mereformasikan institusi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya. Kehadiran PH di persada kuasa adalah atas mandat rakyat.



"Kehendak rakyat mahukan perubahan dengan usaha melawan rasuah, memulihkan tatakelola kewangan yang bobrok dan menuntut keperibadian pemimpin yang telus dan bertanggungjawab," katanya.



SAINGAN DR MAHATHIR



Sejauh manakah Datuk Anwar dapat mengukuhkan kedudukannya untuk membuktikan kebenaran kenyataannya bahawa ada ahli parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir.



Jika Datuk Anwar mendapat keseluruhan undi daripada PKR, DAP dan Amanah, beliau boleh mendapat 92 undi. Hanya kekurangan 20 undi untuk majoriti mudah.



Ada juga sumber memberitahu, Datuk Anwar memiliki 106 undi Ahli Parlimen dan kini perlu mendapat sokongan beberapa sahaja lagi khususnya daripada blok bebas. Namun, maklumat ini tidak boleh disahkan.



Dalam konteks ini, Datuk Anwar dan PH mempunyai kelebihan - meskipun tiada majoriti di Parlimen - tetapi merupakan parti yang mempunyai sokongan terbanyak di Parlimen.



Datuk Anwar berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan Perdana Menteri interim itu tidak bertepatan dengan sistem demokrasi berparlimen yang telah lama diamalkan di negara itu.



Jelasnya, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru melalui PRU sekiranya Agong mengesyorkan dan meluluskan pertimbangan tersebut bagi memulihkan keadaan politik negara yang semakin hari kian meruncing.



BLOK PEMBANGKANG



Gabungan blok pembangkang mencapai kata sepakat bahawa Parlimen harus dibubarkan dan syor berkenaan telah pun dipersembahkan kepada Agong.



Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata persepakatan itu juga sebagai tanda mereka menolak penubuhan kerajaan perpaduan yang mungkin dibentuk Dr Mahathir selaku Perdana Menteri sementara dengan turut melibatkan DAP.



Malah, blok pembangkang ini, Muafakat Nasional (MN), awal-awal lagi dilaporkan bersedia menjalin kerjasama dengan parti-parti lain, khasnya parti yang mewakili pelbagai kaum di Semenanjung bagi menghadapi PRU ke-15.



"Paling cepat PRU akan diadakan dalam masa tiga bulan... paling lama tiga tahun," kata Tan Sri Annuar dalam akaun Twitternya semalam.



Menurutnya, MN sudah sepakat untuk kuasa diserahkan kepada rakyat.



Beliau memohon agar Parlimen dibubarkan.



MCA juga tidak bersetuju sistem Westminster yang sekian lama dilaksanakan di Malaysia berubah menjadi sistem Presiden sebuah republik yang mempunyai kuasa mutlak untuk melantik individu menyertai Jemaah Menteri tanpa melalui parti komponen.



Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sistem yang dicadangkan itu tidak menjamin kepada kesuburan demokrasi yang telah dipraktikkan sejak sekian lama serta ia juga berupaya melenyapkan proses semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah.



"Saya enggan melihat sistem demokrasi di Malaysia berkembang sehingga tiada lagi peranan pembangkang apabila PM disokong penuh oleh kesemua 222 orang Ahli Parlimen. Apakah ini sebuah demokrasi subur yang kita mahu lihat?



"Apabila PM disokong oleh semua Ahli Parlimen, maka kuasa mutlak diberi kepada PM untuk membuat apa saja dengan slogan "ikut suka saya".



"Maka, saya lebih rela menjadi pembangkang untuk memberi "semak dan imbang" kepada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.



APAKAH KEPUTUSANNYA?



Oleh itu, apakah akan berlaku sekiranya tidak ada calon yang memperoleh undi majoriti?



Di sinilah letaknya kebijaksanaan Agong untuk menentukan siapa calon PM yang paling layak atau adakah calon majoriti itu benar-benar mengikut keputusan yang akan diambil oleh Agong menerusi Majlis Raja-Raja? - Agensi berita.




"Saya enggan melihat sistem demokrasi di Malaysia berkembang sehingga tiada lagi peranan pembangkang apabila PM disokong penuh oleh kesemua 222 orang Ahli Parlimen. Apakah ini sebuah demokrasi subur yang kita mahu lihat?

Apabila PM disokong oleh semua Ahli Parlimen, maka kuasa mutlak diberi kepada PM untuk membuat apa saja dengan slogan "ikut suka saya. Maka, saya lebih rela menjadi pembangkang untuk memberi "semak dan imbang" kepada kerajaan."

- Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >