BULAN ini, 80 tahun lalu, Singapura jatuh ke tangan Jepun - mungkin peristiwa paling pahit pernah menimpa dalam sejarah negara ini. Buat tiga tahun berikutnya semasa di bawah penjajahan Jepun, rakyat Singapura mengalami keperitan hidup. Banyak peristiwa menyayat hati - suami terpisah daripada isteri, anak kehilangan bapa dan tempat bergantung, ada yang terkorban, ada yang derita dikerah menjadi buruh kasar, dan banyak lagi pengalaman pahit yang menimpa. Rata-rata kehidupan begitu parah, kekurangan makanan. Ubi kayu menggantikan beras sebagai makanan utama. Hidup dicengkam ketakutan, penuh kebimbangan.
Keperitan dan jerih payah itu masih terpahat dalam ingatan mereka yang masih hidup, yang pernah melalui zaman yang memerihkan itu. Mereka kini berusia 80-an dan 90-an tahun. Walau masa telah berlaku, detik hitam itu tidak padam atau hilang daripada ingatan mereka. Namun, apakah generasi muda memahami dan dapat membayangkannya?