Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

POLITIK MALAYSIA

Pilihan Raya Umum Malaysia diadakan Mac/April 2018?

Nov 20, 2017 | 05:30 AM



SEBELUM ini, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Malaysia diramalkan akan diadakan menjelang akhir tahun ini, malah ada yang meramalkan pada bulan lalu.



Namun, dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membayangkan PRU14 akan diadakan tahun depan, yang secara rasmi menamatkan spekulasi bahawa ia akan diadakan tahun ini.



Pemerhati politik setempat, Penolong Profesor dan Penyelaras Program Malaysia di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Mohamed Nawab Mohamed Osman, meramalkan ia akan diadakan pada Mac atau April tahun depan - selepas perayaan Tahun Baru Cina.



"Saya rasa PRU14 akan diadakan pada akhir Mac atau awal April.



"Ini adalah untuk membolehkan impak daripada Bajet 2018 yang diumumkan dapat dirasakan.



"Selain itu, tidak mungkin pilihan raya akan diadakan semasa musim tengkujuh, November/Disember disebabkan jumlah pengundi yang rendah dan terlalu dekat dengan pengumuman bajet.



"Ia juga tidak mungkin diadakan semasa tempoh Tahun Baru Cina pada bulan Februari," Dr Mohamed Nawab.



Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, pada bulan lalu dilihat sebagai bajet Pilihan Raya antara lain mengumumkan bayaran khas one-off sebanyak RM1,500 ($487) kepada semua penjawat awam termasuk ketua kampung, imam, bilal dan pesara kerajaan.



KENYATAAN AHMAD ZAHID BUKAN KEJUTAN



Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, pula menganggap kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.



"Ia bukanlah satu kejutan lagi. Kenyataan DPM Zahid tidak memeranjatkan," kata Dr Norshahril.



Ini kerana tempoh bagi kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang hanya akan berakhir pada Jun 2018. PRU-14 pula boleh diheret 60 hari kemudian iaitu hingga Ogos 2018 selepas Parlimen dibubarkan.



Datuk Seri Najib sendiri pernah mengakui yang beliau suka melihat orang berteka-teki mengenai tarikh berkenaan dan apakah yang menjadi ukuran utama beliau sebelum membubarkan Parlimen?



Proses persempadanan semula dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun dilakukan.



Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu dilihat sebagai sukan yang boleh menyatupadukan semua kaum selain menaikkan semangat setelah Malaysia mengungguli sukan terbesar Asia Tenggara itu.



Faktor-faktor 'baik' yang menyebelahi BN dengan bajet 2018 membolehkan masyarakat Malaysia melihat visi PM Malaysia meneruskan rancangan jangka panjang untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia.



Mampukah bajet 2018 memberikan kesan besar kepada pengundi?



Dr Norshahril berkata: "Bajet 2018 adalah salah satu faktor. Dari segi agihan kerusi juga menyebelahi BN. Pembangkang juga tidak bersatu.



"Pertandingan tiga penjuru juga akan menyebelahi BN. BN juga mempunyai sokongan kuat di Sarawak. Masih belum pasti sama ada kawasan-kawasan Felda akan menyebelahi pembangkang."



Ketika ditanya mengenai peluang Datuk Seri Najib pula, Dr Norshahril berpendapat:



"Amat sukar untuk menggambarkannya kerana tren pengundian mungkin berbeza antara masyarakat bandar dan luar bandar. Dari segi struktur pilihan raya, BN masih punyai kelebihan. Namun sukar untuk memenangi undi majoriti dua pertiga.



Menurutnya, cabaran Umo berbeza kali ini kerana perlu berdepan dengan cabaran tokoh personaliti yang mereka kenali, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.



"Undi Melayu bukan talian hayat kerana faktor Dr Mahathir,'' tambahnya.



Apatah lagi apabila mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula mengisytiharkan Johor sebagai "negeri barisan hadapan" Pakatan Harapan menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.



"Johor mempunyai kehadiran undi Cina yang kuat. Pada pilihan raya lepas, pengundi Cina berpihak kepada pembangkang. Trend ini mungkin berterusan.



"Muhyiddin adalah bekas menteri besar yang popular di Johor dan dengan itu ia mungkin akan menyebabkan perpecahan di kalangan penyokong Umno yang mungkin membuang undi kepada Pakatan.



"Hal ini diperkuat lagi dengan hakikat bahawa pada pilihan raya yang lalu, banyak kerusi negeri di Johor di menangi hanya dengan jumlah majoriti kecil,'' ujar Dr Mohamed Nawab lagi.



Beliau menambah:



"Saya rasa budaya sokongan politik amat kuat dalam Umno. Oleh itu, amat sukar untuk mengharapkan Najib atau pemimpin lain mengubah budaya ini.



"Buat masa ini, Umno menghadapi cabaran kuat daripada pembangkang, Najib perlu bergantung kepada pengikutnya untuk memastikan Umno bersatu dan dapat bertahan menghadapi cabaran pembangkang.''



Sejak PRU ke-12 pada 2008, BN mengalami kemerosotan prestasi yang agak teruk dengan tsunami politik yang berlaku sejak waktu itu nampaknya masih berbekas sehingga sekarang.



Tanpa undi rakyat dari Sabah dan Sarawak, BN mungkin sahaja berada di kerusi pembangkang pasca PRU yang lalu.



Daripada 222 kerusi Parlimen, BN ketika ini menguasai sejumlah 132 kerusi dengan 47 daripadanya adalah di Sabah dan Sarawak. Ini bermakna BN hanya menguasai 85 kerusi parlimen di Semenanjung daripada 165 kerusi yang ada, satu kelebihan yang sangat tipis berbanding jumlah kerusi yang diraih pembangkang.



Semasa PRU13, BN telah memenangi 133 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang di bawah Pakatan Harapan, memenangi 89 kerusi.




"Bajet 2018 adalah salah satu faktor. Dari segi agihan kerusi juga menyebelahi BN. Pembangkang juga tidak bersatu. Pertandingan tiga penjuru juga akan menyebelahi BN. BN juga mempunyai sokongan kuat di Sarawak. Masih belum pasti sama ada kawasan-kawasan Felda akan menyebelahi pembangkang."
- Dr Norshahril Saat.



"Saya rasa budaya sokongan politik amat kuat dalam Umno. Oleh itu, amat sukar untuk mengharapkan Najib atau pemimpin lain mengubah budaya ini. Buat masa ini, Umno menghadapi cabaran kuat daripada pembangkang, Najib perlu bergantung kepada pengikutnya untuk memastikan Umno bersatu yang dapat bertahan menghadapi cabaran pembangkang.''
- Dr Mohamed Nawab Mohamed Osman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >