Rebut peluang tersedia demi harungi cabaran dunia baru

Berikut ucapan dalam bahasa Melayu oleh Menteri Negara (Tenaga Manusia dan Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad, pada hari kedua Bahas Belanjawan baru-baru ini.

INTI Belanjawan tahun ini jelas sekali memberi tumpuan pada komitmen membina Singapura yang lebih teguh dan bersatu, dan pada masa sama memberi fokus pada kesejahteraan dan kebajikan warga.

Belanjawan ini menyeluruh, mengambil kira keperluan masa kini dan masa depan.

Tidak banyak negara yang membentangkan belanjawan tahun demi tahun yang menyasarkan keperluan masa depan sebagai keutamaan.

MANFAATKAN SKIM

Bagi masyarakat Melayu, saya menggesa agar mereka memanfaatkan sepenuhnya pelbagai peluang dan skim yang tersedia buat peningkatan diri, terutama latihan kemahiran agar tidak ketinggalan dalam transformasi ekonomi.

Ramai pekerja kini mungkin rasa terjejas dengan transformasi ekonomi.

Malah, mereka yang pernah menjalani latihan kemahiran perlu sentiasa mengemaskinikan pengetahuan untuk memenuhi keperluan ekonomi sekarang dan masa depan.

Pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat laluan terbaik bagi peningkatan diri.

Namun, resipi kejayaan tetap bergantung pada sikap dan minda mahu berjaya.

Kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

TENAGA KERJA ASING

Langkah pemerintah untuk mengurangkan lagi penggantungan majikan terhadap pekerja asing iaitu menerusi Pas 'S' dan Permit Kerja harus dilihat sebagai peluang positif oleh lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik kerana tenaga kerja dan kebolehan mereka amat diperlukan dalam ruang tersebut.

Pendirian Singapura adalah mewujudkan pertumbuhan tenaga kerja yang berdaya tahan dan tidak membiarkan kadar gaji rendah, dan kita ingin warga menjadi tulang belakang tenaga kerja.

Dasar tenaga kerja asing kita dilakar untuk merangsang hasil pekerjaan lebih baik buat warga.

Caranya adalah mewujudkan keseimbangan, iaitu membolehkan majikan mengambil pekerja asing agar syarikat dapat kekal bersaing dan tumbuh tetapi pada masa sama, kita perlu memastikan bilangan tenaga kerja asing tidakmenjejas matlamat kita.

Kita perlu menangani kemasukan tenaga kerja asing dalam sektor perkhidmatan demi merangsang firma dan perniagaan kita berinovasi dan mempertingkat kaedah operasi.

TENAGA KERJA SETEMPAT

Pada masa sama, kita dapat memberi tumpuan meningkatkan tenaga kerja Singapura menerusi pendidikan dan peningkatan kemahiran.

Dengan demikian, diharap agar ia merangsang majikan mencorak semula dan merubah skop kerja serta melabur dalam latihan, agar pekerjaan tersedia dan prospek kerjaya lebih menarik buat warga.

Ia juga membuka peluang pekerjaan lebih besar kepada pekerja lebih matang atau daripada golongan warga emas, serta bagi kaum wanita yang ingin kembali bekerja.

Anggota masyarakat Melayu/Islam boleh memanfaatkan skim tersedia, termasuk program Suai-Maju atau 'Adapt & Grow'.

Sedang ekonomi disusun semula, akan wujud lebih banyak keadaan di mana kemahiran lama yang dimiliki tidak sesuai bagi pekerjaan baru.

JALANI LATIHAN

Teknologi pula merubah cara kita beroperasi dan ini perubahan yang sukar bagi sebahagian pekerja kita yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Oleh sebab itu, saya menggesa pekerja agar lebih terangsang menjalani latihan manakala pihak majikan lebih terbuka mengambil dan melatih pekerja sedemikian tanpa menetapkan kriteria awal keperluan kemahiran.

Pekerja dan majikan dapat saling memanfaatkan program Suai-Maju yang telah berjaya membantu 30,000 warga tahun lalu menjalani latihan pekerjaan baru dan mendapat kemahiran baru bagi sektor baru, di samping mempermudah pemadanan kerja.

SOKONGAN KERJAYA

Kita juga menyediakan bantuan dana kepada majikan untuk mengambil dan melatih warga Singapura menerusi program seperti Program Penukaran Profesional (PCP) dan Program Sokongan Kerjaya serta Kerjaya Percubaan.

Contohnya, 'Career Trial' amat berguna bagi majikan yang telah reka semula bidang kerja dan ingin mengambil warga mencuba pekerjaan tersebut.

Saya ingin menyebut beberapa contoh anggota masyarakat kita yang telah meraih manfaat program itu.

Setelah lapan tahun membina kerjaya dalam bidang perbankan dan khidmat awam, Cik Norfazillah Shariff, 32 tahun, mengambil langkah berani menceburi bidang di luar daripada zon selesa dengan menjadi pekerja sosial.

Beliau merebut peluang menyertai PCP bagi Pekerja Sosial (PCP SW) pada Julai 2017.

Beliau mempunyai diploma possiswazah bidang kerja sosial Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Dalam pada itu, Encik Muhammad Rusydi Md Norr, 31 tahun, sebelum ini merupakan pengurus kedai runcit.

Kini, beliau menjadi jururawat setelah menyertai PCP bagi Jururawat Berdaftar (Sarjana Muda).

Beliau mengambil program sarjana muda sains kejururawatan selama dua tahun di Pusat Alice Lee bagi Pengajian Kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Usaha dua insan itu membuahkan hasil.

Sebabnya, sedang kita mengubah ekonomi dan menjadikan syarikat dan perniagaan bertahan, kita tidak mahu melihat pekerja dan pelajar Melayu/Islam ketinggalan.

Begitulah dengan golongan peniaga yang terjejas oleh transformasi ekonomi.

Kebimbangan dan keprihatinan ini memang amat difahami, terutama dalam konteks hari ini dengan keadaan ekonomi dan global yang berubah pesat dan secara tidak menentu.

Golongan pekerja bimbang akan keadaan masa depan - apakah pekerjaan dan pendapatan mereka boleh kekal.

Peniaga pula sentiasa bimbang akan masa depan, baik daripada segi kos peniagaan mahupun persaingan.

BANTU SME

Pastinya, mereka sedikit sebanyak bimbang akan masa depan.

Bagi golongan syarikat dan peniaga, kami memahami cabaran yang dihadapi, terutama usahawan syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam masyarakat Melayu/Islam.

Kami bertekad membantu syarikat dan peniaga melalui transformasi dan melaksanakan kaedah operasi baru dan berkesan.

Kami mahu melihat mereka maju dan berdaya saing.

Oleh sebab itu, mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya skim dan dana yang tersedia seperti Geran Pembangunan Keusahawanan atau Geran Huraian Produktiviti untuk melaksanakan projek transformasi.

Jika lebih banyak waktu diperlukan, syarikat boleh memanfaatkan sokongan peralihan tenaga kerja di bawah skim LED.

TERAS BELANJAWAN

Kesemua program, sokongan dan bantuan sudah tersedia untuk membantu setiap golongan warga, termasuk pekerja, peniaga dan majikan, agar makmur bersama Singapura buat sekarang dan masa depan.

Keseluruhan teras Belanjawan ini cukup mantap untuk memberi keyakinan kepada segenap lapisan masyarakat bahawa masa depan mereka di Singapura menjadi keutamaan pemerintah.

Secara keseluruhannya, sedang pemerintah membuat pelaburan, rakyat perlu memanfaatkan peluang tersedia.


"Kami bertekad membantu syarikat dan peniaga melalui transformasi dan melaksanakan kaedah operasi baru dan berkesan. Kami mahu melihat mereka maju dan berdaya saing. Oleh sebab itu, mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya skim dan dana yang tersedia seperti Geran Pembangunan Keusahawanan atau Geran Huraian Produktiviti untuk melaksanakan projek transformasi. Jika lebih banyak waktu diperlukan, syarikat boleh memanfaatkan sokongan peralihan tenaga kerja di bawah skim LED."
- Encik Zaqy, tentang bantuan buat pihak syarikat.

"Bagi masyarakat Melayu, saya menggesa agar mereka memanfaatkan sepenuhnya pelbagai peluang dan skim yang tersedia buat peningkatan diri, terutama latihan kemahiran agar tidak ketinggalan dalam transformasi ekonomi. Ramai pekerja kini mungkin rasa terjejas dengan transformasi ekonomi. Malah, mereka yang pernah menjalani latihan kemahiran perlu sentiasa mengemaskinikan pengetahuan untuk memenuhi keperluan ekonomi sekarang dan masa depan. Pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat laluan terbaik bagi peningkatan diri. Namun, resipi kejayaan tetap bergantung pada sikap dan minda mahu berjaya. Kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."
- Encik Zaqy, berkenaan skim tersedia yang perlu dimanfaatkan orang Melayu.