Subuh
5:29
Syuruk
6:51
Zuhur
12:54
Asar
4:17
Maghrib
6:55
Isyak
8:08
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Wacana0

BHALAL: RUANG INFO HALAL

Restoran halal kini ada kelas...

Syarikat tawarkan pilihan restoran 'fine dining' yang halal kian bertambah di sini seiring permintaan lebih tinggi dari kalangan masyarakat setempat dan pelawat serantau
Feb 16, 2020 | 05:30 AM

SUASANA restoran mewah dan indah dengan pinggan, sudu garpu berkilat dan santapan makanan Barat premium antara foto yang lazim dimuat naik di media sosial hari ini.

Restoran fine dining dan bermutu yang menyajikan makanan Barat sedemikian dahulunya mungkin sukar ditemui dan dinikmati masyarakat Islam setempat.

Namun, dengan masyarakat kini lebih terdedah kepada pelbagai masakan luar negara dan dengan adanya permintaan tinggi, lebih banyak syarikat kini menawarkan pilihan restoran fine dining yang halal di Singapura sejak beberapa tahun lalu.

Antaranya ialah restoran Elfuego di Jewel Changi Airport yang terkenal dengan masakan Eropah kontemporari.

Elfuego merupakan restoran halal pertama yang diperkenalkan di bawah syarikat Collin's.

Jurucakap Elfuego berkata pertumbuhan dalam pasaran makanan dan minuman (F&B) halal sejagat kian meluas sejak beberapa tahun lalu disebabkan tahap kemewahan masyarakat Islam serantau dan setempat yang semakin meningkat.

"Meskipun terdapat kenaikan dalam jumlah pelancong dari negara Islam di peringkat serantau, masih terdapat pilihan terhad bagi F&B premium yang halal.

"Keperluan untuk memenuhi permintaan kumpulan baru ini dengan F&B halal yang trendy dan bermutu memberi peluang kepada kami untuk melancarkan dua jenama halal iaitu Elfuego by Collin's dan El Carbon," kata jurucakap itu.

Beliau menambah bahawa sejak Elfuego dibuka pada April tahun lalu, mereka menerima sokongan kuat daripada masyarakat Islam setempat dan serantau, dengan kumpulan itu membentuk sekitar 70 peratus daripada kalangan pelanggan mereka.

Sebelum munculnya restoran fine dining halal di sini, restoran bufet mewah halal di dalam hotel lima bintang menjadi tumpuan masyarakat Islam setempat yang ingin menikmati makanan bermutu tinggi dan sedap.

Antaranya ialah restoran Carousel di Hotel Royal Plaza on Scotts - terkenal bagi sajian makanan Barat dan Timur mereka termasuk masakan Mediterranean, Jepun, India dan pelbagai lagi.

Restoran StraitsKitchen di Hotel Grand Hyatt Singapore pula menawarkan makanan Cina, India, Melayu dan Peranakan dalam bufetnya.

Di restoran AquaMarine di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pula, orang ramai boleh menikmati makanan Asia dan antarabangsa.

Namun, sejak kemunculan restoran fine dining halal baru beberapa tahun lalu, masyarakat Islam setempat kini mempunyai pilihan lebih luas untuk menikmati makanan premium.

Satu lagi restoran fine dining yang terkenal dengan hidangan bermutu berserta pemandangan yang aman dan indah adalah The Halia di Kebun Bunga Singapura.

The Halia, yang menyajikan masakan Eropah dengan pengaruh dari Asia, dibuka pada 2001 dan mendapat sijil halal daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Jun 2017.

"Sudah tentu terdapat permintaan dan pasaran untuk masakan halal yang bermutu tinggi di Singapura.

"Teman kami yang beragama Islam telah berkongsi dengan kami bahawa jumlah restoran sebegini terhad, dan mereka ingin melihat lebih banyak restoran halal yang bermutu di Singapura.

"Setelah kami mendapat sijil halal daripada Muis, respons yang kami terima daripada masyarakat Islam amat baik dan kami sangat terharu dengan sokongan yang mereka beri kepada kami," kata pengarah pengurusan The Halia, Cik Esther Wee.

Beliau turut berkongsi antara cabaran yang dihadapi The Halia:

"Kami hanya boleh mendapatkan bahan daripada pembekal yang juga mempunyai sijil halal, jadi cabaran yang kami hadapi adalah memastikan kami tidak mengorbankan mutu yang kami sudah lama ingin capai."

Menurut Cik Wee, cef di The Halia bertungkus lumus mencari bahan halal dari seluruh dunia sebelum mendapatkan kelulusan daripada Muis untuk menggunakan bahan itu.

"Ini bukan mudah kerana kebanyakan pembekal tidak ada bahan yang kami inginkan.

"Jika kami gagal mendapatkan kelulusan Muis, cef kami akan bergantung kepada daya kreatif dan pengalaman mereka untuk memastikan hidangan itu tetap bermutu dan sedap," kata Cik Wee.

The Halia sentiasa mengutamakan inovasi baru untuk memastikan mereka tetap terkenal sebagai restoran halal dan bermutu tinggi.

Contohnya, oleh kerana masakan Eropah moden selalunya dihidangkan dengan arak, dan mereka tidak boleh menjual alkohol, The Halia melancarkan menu minuman khas bernama The Herbarium Collection.

"Ia terdiri daripada minuman eksklusif dan berkhasiat yang mengambil inspirasi daripada herba yang boleh didapati di Kebun Bunga Singapura," kata Cik Wee.


Kami hanya boleh mendapatkan bahan daripada pembekal yang juga mempunyai sijil halal, jadi cabaran yang kami hadapi adalah memastikan kami tidak mengorbankan mutu yang kami sudah lama ingin capai... Jika kami gagal mendapatkan kelulusan Muis, cef kami akan bergantung kepada daya kreatif dan pengalaman mereka untuk memastikan hidangan itu tetap bermutu dan sedap.
- Pengarah pengurusan restoran The Halia, Cik Esther Wee.

Meskipun terdapat kenaikan dalam jumlah pelancong dari negara Islam di peringkat serantau, masih terdapat pilihan terhad bagi F&B premium yang halal. Keperluan untuk memenuhi permintaan kumpulan baru ini dengan F&B halal yang trendy dan bermutu memberi peluang kepada kami untuk melancarkan dua jenama halal iaitu Elfuego by Collin's dan El Carbon.
- Jurucakap Elfuego.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian