Subuh
5:41
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31
Wacana

BHALAL: RUANG INFO HALAL

Restoran halal sajian jepun tumbuh bak cendawan lepas hujan

Trend didorong selera masyarakat Islam setempat yang lebih rencam
Mar 29, 2020 | 05:30 AM

TIDAK perlu lagi menghabiskan masa tujuh jam untuk menaiki penerbangan ke Jepun sekadar rindukan makanan dari negara matahari terbit itu.

Ini kerana kini terdapat pelbagai restoran Jepun di Singapura termasuk kedai makan halal yang menawarkan pelbagai jenis hidangan termasuk sushi, ramen, okonomiyaki dan don.

Ini antara lain didorong selera masyarakat Islam setempat yang lebih rencam.

Antara restoran itu termasuk Sora Boru yang mempunyai dua cawangan, iaitu di pusat beli-belah 313@somerset di Orchard Road dan Westgate di Jurong East.

Cawangan pertamanya dibuka pada Mac 2019 dan mendapat sijil halal lima bulan kemudian.

Pengarah operasi syarikat yang memiliki restoran itu K Food Holdings, Encik Derek Lai, berkata mereka memang ingin membentuk Sora Boru sebagai restoran halal dari mula.

"Waktu itu, kami lihat tidak banyak restoran Jepun yang halal, lebih-lebih lagi di kawasan Orchard.

"Oleh itu, kami mengambil peluang mengisi jurang itu," katanya.

Hasilnya, mereka mendapat sambutan yang hangat, lebih-lebih lagi selepas mendapat sijil halal daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

"Perniagaan kami bertambah sekitar 30 peratus.

"Kami juga mempunyai jumlah pelanggan Muslim yang sama dengan pelanggan bukan Muslim sekarang," ujar Encik Lai.

Meskipun harus membuat beberapa penyesuaian kepada resipi hidangan Jepun yang ditawarkan, beliau berkata orang ramai tidak perlu risau rasa makanan itu tidak sama dengan hidangan aslinya.

"Sesetengah pelanggan bukan Muslim mungkin merungut mengapa makanan Jepun yang halal tidak sesedap makanan Jepun yang tidak halal.

"Namun oleh kerana cef kami pernah berkhidmat di restoran yang tidak halal sebelum ini, kami dapat bereksperimen dengan bahan yang halal dan menyesuaikan resipi kami untuk menghasilkan rasa yang amat dekat dengan hidangan yang anda boleh dapatkan di restoran-restoran kami yang lain," katanya.

Antara hidangan yang ditawarkan Sora Boru termasuk sajian nasi dengan daging lembu Volcano Beef Don dan Snow Beef Don.

Restoran itu turut menawarkan hidangan Chirashi, dengan orang ramai boleh memilih pelbagai bahan termasuk nasi, sayur, ikan dan sos untuk dicampurkan.

Dengan sambutan yang diraih sejauh ini, Encik Lai berkata beliau yakin hidangan Jepun akan terus popular di kalangan masyarakat Islam Singapura.

"Masyarakat Islam di sini juga lebih bersedia mencuba juadah yang berbeza dan makanan Jepun kekal sebagai antara yang paling popular kerana menawarkan beraneka jenis hidangan dan sedap rasanya," ujarnya.

Selain hidangan don (nasi), orang ramai juga boleh menikmati hidangan ramen Hokkaido yang asli di restoran Ichikokudo Hokkaido Ramen yang kini mempunyai enam cawangan.

Cawangan terbarunya di pusat beli-belah Hillion Mall di Bukit Panjang yang dibuka minggu ini.

Menurut Pengurus Operasi Ichikokudo, Encik Shogo Hamano, mereka mendapatkan pensijilan halal kerana restorannya mahu menawarkan sajian yang boleh dinikmati segenap lapisan masyarakat.

Oleh itu, cara yang terbaik adalah dengan mendapatkan sijil halal bagi restoran yang menawarkan hidangan seperti pelbagai jenis ramen yang supnya direbus berjam-jam setiap hari serta donburi yang merupakan hidangan nasi bersama ayam, daging lembu, udang atau belut.

Bagi mereka yang mengidam makanan Jepun pada tengah-tengah malam juga boleh mendapatkan juadah itu di The Ramen Stall di North Bridge Road.

Ini kerana menurut laman Instagram mereka, kedai itu dibuka dari 5 petang hingga 5 pagi Isnin hingga Jumaat dan 12 tengah hari hingga 5 pagi pada hujung minggu dan hari cuti umum.

Restoran itu menawarkan sekitar 100 sajian Jepun termasuk sajian ramen, daging lembu teppanyaki, sushi dan sashimi.

Namun bagi mereka yang inginkan sajian Jepun tetapi juga suka dengan hidangan Korea, bolehlah mencuba juadah di Omoomo.

Ini kerana restoran yang kini mempunyai lima cawangan itu menawarkan konsep makanan fusion Jepun dan Korea (don dan ramen).

Malah, pemilik restoran itu sendiri yang menghasilkan sendiri sos yang diperlukan dalam masakannya.


Masyarakat Islam di sini juga lebih bersedia mencuba juadah yang berbeza dan makanan Jepun kekal sebagai antara yang paling popular kerana menawarkan beraneka jenis hidangan dan sedap rasanya.
- Pengarah operasi syarikat yang memiliki restoran Sora Boru, K Food Holdings, Encik Derek Lai.