Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

BAHASA MELAYU, WARISAN KITA: Semarakkan Bahasa Kebangsaan bersama BH/BM

SalamMufti... tetap besar ertinya, tetap disemat dalam hati

Mar 15, 2020 | 05:30 AM



SALAM semua,



SalamMufti - salam tanpa bersentuh tangan, yakni meletakkan tangan di dada tanda hormat - kini dikempenkan ekoran penularan wabak koronavirus atau Covid-19.



Salam sangat besar ertinya dalam agama dan budaya kita. Salam satu bentuk sapaan yang menunjukkan kepedulian.



Ia menunjukkan keakraban. Maka itu, apabila kita bertemu, kita salam dengan berjabat tangan: selepas solat, kita bersalaman; dalam majlis kahwin, kita bersalaman; mengucapkan tahniah dan takziah, kita bersalaman; semasa berpisah, kita bersalaman.



Dan biasanya, salam berjabat tangan berakhir dengan meletakkan tangan di dada. Tiada penjelasan rasmi kenapa kita berbuat demikian, tetapi ia ditakrifkan sebagai keakraban bersalaman itu disimpan dan disematkan di hati.



Kamus Dewan menjelaskan bahawa salam sinonim dengan kata hormat, ucap selamat berunsur sejahtera.



Namun, salam tidak semestinya berjabat tangan.



Sebab, masyarakat kita biasa menitip atau berkirim salam yang tidak sempat bersua muka. Dalam hal ini, mana mungkin berjabat tangan.



Penganut Islam di banyak tempat, termasuk di Timur Tengah merangkumi jemaah yang berkunjung ke Makkah dan Madinah, juga biasa mengucap salam tanpa berjabat tangan. Malah ada yang kelihatan terkejut lantaran tidak biasa ketika kita menghulur tangan untuk berjabat selepas solat.



Kita juga membuka ucapan dengan memberi salam, mengirim warkah atau memulakan kiriman mesej menerusi e-mel, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau WhatsApp dengan salam.



Kenapa?



Sebab salam adalah satu doa kesejahteraan.



Assalam juga antara 99 nama Allah (asmaul husna).



Dalam solat, ada salam. Kita mengakhiri solat dengan salam.



Terdapat beberapa ayat dalam Al-Quran yang menyentuh tentang salam.



Antaranya: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya." (Surah Al-Ahzab, 56).



Satu lagi: "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (Surah An-Nisaa: 86)



Rasulullah ditukil dalam sebuah hadis: "Wahai manusia, tebarkan salam, berilah makan, sambunglah silaturahim, dan solatlah malam ketika manusia tidur, nescaya engkau akan masuk syurga dengan selamat." (HR. Ahmad dan At-Tirmidzi)



SALAM DALAM SUASANA SEKARANG



Islam memang menekankan pentingnya Muslim menyebarkan salam dan rahmah tidak kira kepada sesiapa dan pada bila-bila masa.



Namun, dalam keadaan sekarang dengan dunia menghadapi krisis penularan koronavirus, dan kini disifatkan sebagai pandemik (wabak penyakit yang tersebar dengan meluas, sama ada hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), adalah wajar berhati-hati.



Mengucap salam tanpa berjabat tangan tidak mengurangkan keakraban. Malah, SalamMufti dengan meletakkan tangan di dada menggambarkan bahawa salam yang diucapkan tetap disimpan, disematkan di dada.



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengeluarkan irsyad kepada masyarakat Islam - menggesa agar jemaah tidak ke masjid jika sakit, membawa telekung dan sejadah sendiri, dan mengelakkan daripada bersalaman.



Menggemakan anjuran itu, Timbalan Mufti, Dr Mohammad Hannan Hassan, dalam Facebooknya, menulis bahawa pahala memberi salam walaupun tidak bersalaman tetap sampai, dan pahalanya tidak kurang.



"Dengan niat menghindarkan kemudaratan, kita diberi ganjaran setimpal insyaAllah," tulis beliau.



Dr Hannan menambah bahawa sekalipun tidak bersalaman, baik memberikan ucapan salam dengan penuh mesra. Lontarkan senyuman. Senyuman adalah pahala, kata beliau.



"Kita diingatkan Rasulullah agar jangan memperlekehkan amalan baik, walaupun dengan satu senyuman. Pahala berlipat insya-Allah," jelasnya.



SALAM SAUK



Ada ungkapan menyatakan bahawa dalam musibah, mungkin terselit hikmah.



Penularan kononavirus juga mempunyai aspek posiif - mengingatkan kita tentang peri perlunya menjaga kebersihan.



Ia begitu penting hinggakan sebuah pasukan bertindak silang agensi, Pasukan Bertindak SG Clean, telah ditubuhkan, dipengerusikan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Ia bertujuan mendorong usaha kolektif dalam tiga cabang: memastikan kebersihan di tempat awam; menggalak amalan kebersihan peribadi yang baik; dan menukar norma sosial bagi mengurangkan penularan penyakit.



Ini termasuk cara kita bersalam tanpa berjabat tangan.



Namun, ada sendaan yang tular di media sosial - tidak perlu salam sauk ketika ke majlis kahwin.



Oops, jangan sampai begitu.



Kita boleh sahaja bersalam cara SalamMufti tetapi tetap menyerahkan sampul sumbangan.



Atau boleh sahaja, seperti dalam satu video yang tular, menyediakan cecair pembasmi kuman atau sanitiser kepada pengunjung untuk menjaga kebersihan selepas salam sauk.



Salam, termasuk salam sauk, tetap diteruskan, cuma caranya berbeza...



Pada satu lagi sudut, dengan SalamMufti - kita kini lebih selesa salam semua: antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tidak lagi menjadi persoalan... jika SalamMufti diamalkan dan menjadi satu kelaziman.



Dengan salam ala SalamMufti, sebarang kekeliruan dan rasa serba salah, jika ada, terhurai dengan sendiri.



Namun, adakah SalamMufti akan kekal menjadi satu kelaziman selepas wabak Covid-19 berakhir?



  • Wacana ini kali pertama disiarkan di laman digital BeritaHarian.sg pada Khamis lalu.


Suhaimi Mohsen ialah editor naskhah BH/BM. Beliau lulusan Sastera dan Sains Kemasyarakatan (BA) Universiti Singapura dalam bidang Sains Politik dan Pengajian Melayu. Baru-baru ini, beliau menulis beberapa wacana termasuk ‘Pendekatan proaktif demi jaga keharmonian kaum S’pura’, ‘Perlu periksa kesahihan berita yang diterima sebelum dihebah’, ‘Bagai aur dengan tebing; air dicencang tidak akan putus’ dan ‘Syukuri kemakmuran yang dinikmati’. Beliau juga terlibat dalam proses pemilihan Anugerah Guru Arif Budiman (Agab).




"Namun, salam tidak semestinya berjabat tangan. Sebab, masyarakat kita biasa menitip atau berkirim salam yang tidak sempat bersua muka. Dalam hal ini, mana mungkin berjabat tangan. Penganut Islam di banyak tempat, termasuk di Timur Tengah merangkumi jemaah yang berkunjung ke Makkah dan Madinah, juga biasa mengucap salam tanpa berjabat tangan. Malah ada yang kelihatan terkejut lantaran tidak biasa ketika kita menghulur tangan untuk berjabat selepas solat. "
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >