Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Semakin mahal nak makan luar? Ada cukup pilihan penuhi selera tekak dan dompet semua

Mar 19, 2023 | 05:30 AM



SEPANJANG penularan Covid-19 sejak tiga tahun lalu, saya antara kumpulan kecil kakitangan bilik berita yang bekerja dari pejabat, lebih dari saya bekerja dari rumah.



Dengan wartawan dianggap kakitangan barisan depan, kami diberi kelonggaran untuk bekerja dari pejabat, termasuklah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan atau circuit breaker daripada 7 April hingga 4 Mei 2020.



Sunyi ketika itu, apabila hanya tiga, empat orang saja yang bertugas dari bilik berita.



Namun, dengan pengisytiharan Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) dari Kuning kepada Hijau sejak 13 Februari lalu, bilik berita kini semakin 'meriah'.



Wartawan dan lain-lain kakitangan akhbar ini bekerja dari pejabat sekurang-kurangnya tiga hari seminggu, dan pada hari Rabu, hampir semua akan memenuhi bilik berita.



Dengan ramai rakan-rakan wartawan kembali bertugas di pejabat, terbuka juga lebih banyak peluang untuk berinteraksi dan mempererat hubungan - ramuan penting dalam bidang pekerjaan kreatif seperti kewartawanan.



Sejajar dengan itu, semakin banyak peluang juga untuk makan tengah hari bersama - yang harus saya akui, adalah antara aktiviti yang paling dialu-alukan pada hari bekerja.



Namun, sejak beberapa minggu seronok makan tengah hari bersama, saya mendapat semacam satu 'kejutan budaya'.



Sedang roti john, mi goreng 'mamak' dan nasi ayam di kedai-kedai kopi adalah antara menu tradisional makan tengah hari saya, ramai rakan-rakan kerja, terutama yang lebih muda, mempunyai selera yang.....'lebih atas' sedikit.



"Nak makan mana?" Soalan yang sering mereka tanyakan kepada saya sebagai individu yang memandu, kini saya sedar adalah satu soalan untuk memperdaya semata-mata, atau trick question.



Pilihan saya akan dipersenda.



"Tak habis-habis makan tu....," "Alah, panaslah situ...," "Eh! Boring-nya kau!"



Apakan daya, bab makan tengah hari, saya jarang ada suara.



Dalam laporan Jabatan Statistik mengenai perbelanjaan isi rumah dari 2017 hingga 2018, makanan merangkumi 20.3 peratus daripada perbelanjaan purata, komponen kedua tertinggi selepas perumahan (28.9 peratus).



Makan Index 2.0, mengenai harga makanan, yang diterbitkan Institut Pengajian Dasar (IPS) baru-baru ini pula menyimpulkan kos makan luar di Singapura berkemungkinan terus meningkat berbanding pendapatan individu dan isi rumah pada masa hadapan.



Penyelidik membuat kesimpulan itu selepas mengumpul data mengenai kos barangan makanan dan hidangan di pusat penjaja, kopitiam dan pusat makanan dari September hingga November 2022, dan Januari hingga Februari 2023.



Kajian tersebut tepat pada masanya dengan Singapura dan dunia berdepan dengan cabaran pasca pandemik dan kerumitan geopolitik serta rantaian bekalan yang melahirkan isu kenaikan kos dan inflasi.



Sehubungan dengan itu, pemerintah telah memperkenalkan pelbagai bentuk sokongan untuk membantu warga menangani kenaikan kos, dengan tumpuan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah.



Sokongan tersebut dalam bentuk pemberian wang tunai, baucar GST hinggalah rebat S&CC dan U-Save.



Namun, di tengah-tengah kenaikan kos harga makanan, kita juga membaca laporan mengenai bisnes yang semakin rancak dalam sektor makanan dan minuman.



Tempahan di restoran dan hotel yang menyediakan buffet sudah kembali, malah ada yang mengatasi, kadar pra pandemik.



Apakah makna di sebalik dua senario yang berbeza ini?



Ia pastinya mencerminkan isu ketidaksamaan sosial dan jurang pendapatan yang semakin ketara.



Isu tersebut merupakan antara keutamaan inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura.



Dilancarkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada Jun 2022, inisiatif tersebut adalah perbincangan selama setahun bersama warga Singapura yang bertujuan mendapatkan pandangan dalam melakar hala tuju pembangunan negara seterusnya.



Dalam salah satu perbincangan sedemikian yang saya hadiri, salah seorang peserta menarik perhatian bahawa warga sebenarnya mempunyai pilihan untuk menentukan beban kenaikan kos yang perlu ditanggung.



Beliau memberi contoh mudah - kopi.



Di tengah-tengah perbincangan mengenai kos yang meningkat, cafe seperti Starbucks dan Coffee Bean tetap penuh dengan pelanggan yang beratur panjang untuk mendapatkan kopi mereka dengan harga sekitar $6 hingga $7, sedangkan di foodcourt dan kedai kopi, harga kopi boleh dibeli tidak sampai $2.



Justeru, ia juga merupakan pilihan gaya hidup, tegas beliau.



Mesej yang ingin disampaikan ialah, bukan untuk orang ramai tidak melanggani kedai-kedai seperti Starbucks dan Coffee Bean.



Melanggani kedai-kedai sedemikian juga adalah penting dalam ekosistem ekonomi negara.



Apa yang penting ialah untuk berbelanja mengikut kemampuan, dengan kesedaran bahawa bulan-bulan malah tahun-tahun mendatang, dipenuhi ketidaktentuan.



Jika dengan kesedaran tersebut, kita rasa mampu untuk makan 'besar' di luar, silakan. Bagi yang mahu berjimat, tetap ada banyak pilihan alternatif, yang lebih murah, lebih dimampui.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >