Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Sepadu tolak fahaman ekstrem dalam kepercayaan, amalan agama

Feb 28, 2021 | 05:30 AM



SAYA turut berasa sedih setiap kali mendengar atau membaca berita tentang golongan individu yang merangsang tindakan ganas atau melancarkan serangan atas nama Islam.



Insiden seperti ini berlaku di serata dunia - di Timur Tengah, Asia Tenggara dan di negara-negara barat.



Satu insiden terbaru yang terlintas di fikiran melibatkan seorang guru sekolah Perancis, Samuel Paty, yang kepalanya dipenggal oleh seorang remaja radikal.



Samuel Paty diserang kerana remaja tersebut percaya bahawa beliau telah menghina Islam dengan menunjukkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad ketika mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.



Saya tidak menafikan kemungkinan terdapat beberapa faktor yang mendorong seseorang untuk melakukan tindakan ganas atas nama Islam di merata dunia.



Bukan niat saya untuk memperlekehkannya ataupun menghuraikannya di sini.



Sebaliknya, saya ingin menekankan bahawa Islam menganjurkan keamanan, keihsanan dan kesederhanaan. Muslim Singapura mengamalkan agama mereka dan berinteraksi dengan para penganut agama lain di sini berpandukan nilai-nilai tersebut.



Ini bukan bererti bahawa Muslim di sini terlindung daripada apa yang berlaku di negara lain.



JADI RADIKAL SENDIRI



Ada juga dalam kalangan mereka yang terpesong dan terpedaya dengan pelbagai retorik ekstrem di media sosial, menjadi radikal dan seterusnya melanggar undang-undang negara.



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, anda mungkin telah terbaca di media tentang tindakan yang diambil oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) terhadap individu-individu yang menjadi radikal secara sendiri.



Individu-individu terbabit merangkumi lelaki dan wanita daripada pelbagai peringkat umur dan agama sepertimana yang dapat dilihat dalam kes penahanan terbaru melibatkan seorang remaja Kristian Protestan berusia 16 tahun; sebahagian daripada mereka menyimpan hasrat untuk berjuang di zon-zon konflik di luar negara, manakala sebahagian lagi merancang melancarkan serangan di Singapura, di masjid-masjid kita dan juga terhadap Presiden dan Perdana Menteri.



Fenomena individu menjadi radikal secara sendiri amat membimbangkan.



Idea serta retorik ganas dan ekstrem tidak mengenal sempadan dan terus menular di media sosial.



Justeru, kita harus sentiasa berwaspada agar tidak termakan dengan idea dan retorik sedemikian.



USAHA BERSAMA



Kita di Singapura beruntung kerana masyarakat bekerjasama dengan pemerintah dalam usaha memerangi ekstremisme ganas (CVE).



Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) adalah salah satu entiti yang giat menyingsing lengan membantu pemerintah dalam usaha tersebut sejak awal pembentukannya pada 2003.



RRG bukan sahaja memainkan peranan penting membimbing individu-individu yang tersasar yang ditahan atau dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bahkan mendidik masyarakat Islam agar tidak terpengaruh dengan idea ekstrem bertopengkan agama.



RRG juga aktif dalam ruang media sosial bagi memenuhi keperluan golongan muda yang mungkin mempunyai kemusykilan agama tetapi lebih selesa berinteraksi secara dalam talian daripada secara fizikal.



Pada masa yang sama, Kumpulan Jagaan Susul Antara Agensi (ACG) memberi tumpuan terhadap kebajikan keluarga individu yang ditahan atau dikenakan RO dengan membantu mereka mencari pekerjaan dan memastikan keperluan pendidikan anak-anak mereka tidak terabai. ACG juga membantu para tahanan untuk kembali ke pangkuan masyarakat setelah mereka dibebaskan.



Usaha memastikan mereka mendapat sebanyak mungkin sokongan adalah penting kerana ia akan membantu mengurangkan kadar kebentanan.



Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan RRG dan ACG atas dedikasi mereka.



AMBIL PEDULI



Meskipun terdapat pelbagai inisiatif masyarakat, kita juga perlu membantu diri kita sendiri.



Marilah kita memupuk minat untuk mengambil tahu apa yang anggota keluarga serta orang-orang di sekeliling kita layari di Internet.



Marilah kita mengambil sikap berhati-hati dalam memilih guru agama dan pusat pendidikan untuk anak-anak kita dan orang-orang yang kita sayangi.



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menangani aspek ini dengan baik melalui sistem pengiktirafan asatizah serta pusat pendidikan Islam swasta.



Kita harus menggunakan sumber berguna ini agar tidak tersalah langkah menimba ilmu agama daripada sumber meragukan yang menyebarkan ajaran ekstrem dan radikal.



ISLAM ANJUR KESEDERHANAAN



Akhir sekali, walaupun kita senantiasa berwaspada dengan bahaya retorik radikal di sekeliling kita, jangan pula kita abaikan kehidupan dan interaksi kita sehari-hari bersama warga Singapura berbilang agama yang lain.



Seperti yang telah saya katakan, Islam menganjurkan kesederhanaan.



Sememangnya, tiada percanggahan antara seorang Muslim dan Muslim Singapura.



Saya prihatin setiap kali mendengar tentang orang Muslim bertanyakan kedudukan halal pelbagai perkara selain daripada bahan makanan.



Misalnya, vaksin Covid-19.



Sehubungan dengan itu, masyarakat harus merujuk kepada kenyataan Muis yang menegaskan bahawa vaksin Covid-19 merupakan satu keperluan asas untuk melindungi nyawa manusia sewaktu pandemik.



Jika kita tidak berhati-hati, tafsiran halal yang ekstrem boleh mengakibatkan pengasingan dalam kalangan masyarakat Singapura.



Kita perlu berwaspada agar tidak memberi penekanan yang berlebih-lebihan terhadap perkara yang kurang bermanfaat dalam pengamalan agama kita.



JAGA KEHARMONIAN KAUM



Keharmonian kaum dan agama yang dinikmati di Singapura amat berharga dan tidak harus dipandang ringan.



Kita telah membina jalinan kukuh antara kaum dan agama yang telah membantu kita mengenal pasti golongan radikal dalam kalangan masyarakat kita agar tidak timbul rasa saling tidak percaya.



Kita beriadah dan bekerja dengan satu sama lain, makan bersama, dan saling bertukar ucap selamat sempena perayaan masing-masing.



Marilah kita sentiasa berjaga-jaga terhadap kecenderungan kepada pemikiran eksklusif yang telah mula berlaku di negara-negara sekeliling kita.



Banyak perkara yang dapat kita syukuri.



Marilah kita bersungguh-sungguh memeliharanya.



  • Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).


"Keharmonian kaum dan agama yang dinikmati di Singapura amat berharga dan tidak harus dipandang ringan. Kita telah membina jalinan kukuh antara kaum dan agama yang telah membantu kita mengenal pasti golongan radikal dalam kalangan masyarakat kita agar tidak timbul rasa saling tidak percaya. Kita beriadah dan bekerja dengan satu sama lain, makan bersama, dan saling bertukar ucap selamat sempena perayaan masing-masing.

Marilah kita sentiasa berjaga-jaga terhadap kecenderungan kepada pemikiran eksklusif yang telah mula berlaku di negara-negara sekeliling kita."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >