BILANGAN mereka yang mendapat manfaat daripada pelbagai program pendidikan, pembangunan dan pengayaan Yayasan Mendaki bertambah lebih seganda sejak empat tahun lalu. Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Moliah Hashim, mendedahkan bahawa sehingga September lalu, perbelanjaan badan bantu diri itu mencapai $26.09 juta, mengatasi jumlah $25.72 juta yang dibelanjakan tahun lalu dan $20.96 juta empat tahun lalu (2010).
Penggemblengan usaha para Anggota Parlimen Melayu/Islam, pemimpin masyarakat, dan aktivis dengan semangat gotong-royong telah berjaya mempertingkat pencapaian keseluruhan masyarakat sejak Mendaki ditubuhkan pada 1982. Apa yang nyata, banyak kemajuan telah dicapai oleh badan bantu diri itu sejak penubuhannya. Namun untuk terus maju, Mendaki masih perlu terus menyemak setiap programnya dari masa ke masa demi mempertingkat lagi keberkesanan program-program tersebut. Ia harus memastikan setiap dolar pelaburan yang dibuatnya menyerlahkan lagi kemajuan anak Melayu. Usaha juga boleh dipertingkat untuk mendekati lebih ramai lagi anggota masyarakat Melayu dan mengajak mereka untuk menyertai program yang telah pun disusun. Selain itu, kerjasama lebih utuh dengan badan-badan Melayu/Islam lain serta agensi masyarakat dan nasional perlu terus dijalin demi memastikan program yang dilaksana membawa kejayaan yang dicita.