Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

ANALISIS BERITA

SG boleh...hidup denganmu, Covid-19

Jun 05, 2021 | 05:30 AM



AWAL tahun ini, saya telah melakukan 'rombakan kabinet'.



Bukan kabinet apa, kabinet kasut dan almari pakaian.



Beberapa pasang kasut yang sekian lama tidak terpakai telah rosak dan tidak sesuai digunakan lagi terpaksa dibuang.



Maklumlah sejak kehadiran virus Covid-19 tahun lalu, boleh dikatakan saya lebih banyak meluangkan masa di rumah daripada keluar rumah.



Undangan ke majlis perkahwinan pun memang 'gersang' sejak tahun lalu manakala majlis atau acara formal sudah sekian lama tiada ekoran sekatan pengurusan selamat yang tidak membenarkan perhimpunan besar-besaran.



Niat ingin melaram pakaian semasa Raya tahun ini pun terkubur, apabila seluruh negara dikenakan Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) dan kunjungan dibataskan kepada dua orang sahaja sehari.



Ini ditambahkan lagi dengan sekatan tidak boleh keluar menjamu selera.



Itu baru bab kasut dan pakaian, belum lagi hal ehwal lain seperti alat solekan.



Gincu-gincu yang dibeli dengan ria di Sephora seperti tidak luak - yalah, kalau sudah pakai pelitup, apa gunanya pakai gincu kan?



Disebabkan ini, belum terfikir nak menambah koleksi barang solek pada tahun ini.



Sayunya, ini semakin menjadi norma baru bagi saya - mungkin juga ramai kaum Hawa lain.



(Walau tangan terus 'gatal' belek-belek bermacam laman beli-belah.)



Saya fikir sejak tahun lalu, apabila pandemik Covid-19 meletus, banyak tabiat penggunaan dan amalan kehidupan harian peribadi saya telah berubah.



Saya bukan jenis individu yang paranoid tetapi koronavirus telah menjadikan saya lebih awas dan 'curiga' terhadap kebersihan dan keadaan sekeliling saya.



Kalau tiada sanitiser tangan semasa keluar rumah, rasa canggung.



Jika berdiri rapat dengan orang luar atau tidak dikenali, secara automatik saya akan menjauhkan diri satu meter darinya.



Apabila mata tergoda hendak membeli (lagi) blaus dalam talian, akal bertanya - "Bila nak pakai ni?"



Demikian perubahan minda yang melanda diri sejak timbulnya Covid-19 lebih setahun lalu - dan saya fikir pemikiran ini akan mengambil masa untuk dikikis, selagi terdapat ancaman virus ini.



Namun adakah perubahan minda dan kelakuan ini mencukupi untuk kita menghadapi koronavirus secara jangka panjang?



Baru-baru ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah memberikan gambaran bahawa Covid-19 akan terus bersama kita dan menjadi endemik.



Sesuatu penyakit yang endemik bermakna ia akan sentiasa wujud dalam kalangan sesebuah masyarakat.



Contohnya, denggi di Singapura dan malaria di beberapa bahagian di rantau Afrika.



Jika ini menjadi realiti, apakah kita sudah bersedia dan mempunyai disiplin yang diperlukan agar semua terpelihara dan dilindungi?



Apakah kita mempunyai 'keadaan minda Covid-19 yang tepat'?



Meninjau pendapatnya, Presiden Club Heal, Dr Radiah Salim yakin yang warga Singapura sudah bersedia menerima hakikat Covid-19 akan terus wujud.



"Jika ia menjadi endemik, sebenarnya ia baik untuk kita kerana ia bermakna virus itu tidak semerbahaya seperti sebelumnya dan boleh dirawat seperti virus selesema lain.



"Secara keseluruhan, rakyat Singapura adalah golongan yang mematuhi undang-undang dan laporan keadaan di negara lain seperti India, telah berkesan dalam mendorong orang ramai supaya mematuhi peraturan dan menerima keadaan," ujar beliau.



"Ramai daripada kita sedar yang virus ini tidak mungkin dilenyapkan, justeru, kita perlu bersedia bagi jangka masa panjang."



Kata Dr Radiah, mudah-mudahan dengan program vaksinasi yang berjaya, virus itu akan menyebabkan kesan kecil.



"Apa pun Covid-19 telah mengajar kita makna daya ketahanan di tengah-tengah cabaran ini, menerusi 'cara Singapura'," tambah beliau.



Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata perubahan minda yang perlu berlaku sekarang ialah daripada menangani Covid-19 kepada hidup dengan Covid-19.



"Saya percaya masyarakat kita lebih bersedia sekarang berbanding setahun lalu. Kita sudah terbiasa dengan rutin seperti SafeEntry, mengambil suhu badan dan mencuci tangan dengan kerap.



"Kita mempunyai pemahaman lebih baik mengapa kita lakukan perkara tertentu dan mengapa setiap usaha seseorang itu memainkan peranan.



"Pada akhirnya bagaimana kita menyesuaikan diri dalam dunia di mana Covid-19 adalah endemik boleh meninggalkan kesan dalam kesejahteraan individu dan masyarakat.



"Lebih cepat kita mengubah kepada pemikiran "tidak ada alternatif lain", ia lebih baik dan kita dapat mendahului virus ini," tekan Dr Tan.



Jelas beliau, jika keprihatinan mengenai hidup dan mati semakin berkurangan, minda kita dapat memberikan tumpuan lebih baik kepada usaha mengambil langkah pencegahan diperlukan supaya tidak menjadi 'tawanan' kepada virus Covid-19.



"Kalau kita tidak mendambakan dunia sebelum Covid-19 dan menerima keadaan sekarang, ia adalah lebih baik untuk kita," terang Dr Tan, sambil menambah bahawa Covid-19 yang endemik memerlukan warga untuk menjadi lebih berdaya tahan dan sabar kerana ada kemungkinan penyakit itu membuat kemunculan semula.



Tetapi beliau juga memberi amaran bahawa cabaran utama menghadapi penyakit endemik ialah dua perkara - rasa terlalu berpuas hati dan keletihan menangani virus.



"Jadi penting untuk pemerintah memastikan warga Singapura mempunyai pemahaman dan wawasan yang sejajar dan faham kenapa langkah tertentu perlu ambil.



"Ini sekali gus bermakna perlu membuka saluran komunikasi agar usaha hidup dengan Covid-19 menjadi kededua usaha seluruh masyarakat dan usaha pemerintah dari atas ke bawah," ujar Dr Tan.



Sementara itu, pakar kesihatan awam, Dr Noorul Fatha As'art, berkata sedang pihak berkuasa masih lagi pelajari lebih banyak tentang penyakit itu, kita juga harus bersedia untuk melakukan lebih banyak perubahan dalam sekitaran fizikal, sikap dan gaya hidup.



"Dari segi mental, kita harus memperkukuhkan daya ketahanan dan keupayaan menyesuaikan diri kerana virus ini jelas akan terus ada.



"Justeru, kita juga perlu melabur dalam kesihatan mental kita.



"Jangan lupa untuk mengambil masa untuk bersenam dan mencari cara untuk berehat dan menyegarkan diri kita," pesan Dr Noorul Fatha.



Seiringan dengan nasihat beliau itu - endemik atau pandemik - saya bertekad untuk terus mencari keseronokan dan 'terapi' dalam perkara yang dianggap remeh.



Misalnya, kalau tidak boleh bergincu sakan, saya akan mencari pelitup yang cantik atau comel.



Layankan sahaja jari-jemari yang menuju ke aplikasi seperti Shein, Shopee dan yang sewaktu dengannya. Paling tidak, ikut selera dan tempah 'bubble tea' di Foodpanda.



Peniaga kita pun perlukan sokongan, bukan?




"Pada akhirnya bagaimana kita menyesuaikan diri dalam dunia di mana Covid-19 adalah endemik boleh meninggalkan kesan dalam kesejahteraan individu dan masyarakat. Lebih cepat kita mengubah kepada pemikiran "tidak ada alternatif lain", ia lebih baik dan kita dapat mendahului virus ini."
- Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).



"Dari segi mental, kita harus memperkukuhkan daya ketahanan dan keupayaan menyesuaikan diri kerana virus ini jelas akan terus ada. Justeru, kita juga perlu melabur dalam kesihatan mental kita. Jangan lupa untuk mengambil masa untuk bersenam dan mencari cara untuk berehat dan menyegarkan diri kita."
- Pakar kesihatan awam, Dr Noorul Fatha As'art.



"Jika ia menjadi endemik, sebenarnya ia baik untuk kita kerana ia bermakna virus itu tidak semerbahaya seperti sebelumnya dan boleh dirawat seperti virus selesema lain. Secara keseluruhan, rakyat Singapura adalah golongan yang mematuhi undang-undang dan laporan keadaan di negara lain seperti India, telah berkesan dalam mendorong orang ramai supaya mematuhi peraturan dan menerima keadaan."
- Presiden Club Heal, Dr Radiah Salim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >