Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Sokongan berterusan, menyeluruh kepada pesalah

Dec 05, 2021 | 05:30 AM



DALAM beberapa tahun ini, kami telah meningkatkan usaha untuk memberi sokongan yang berterusan untuk para pesalah setelah tamat menjalani hukuman penjara.



Banyak usaha telah dilakarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan buruk dan kemusnahan akibat penyalahgunaan dadah, meningkatkan mutu program pemulihan di penjara untuk para pesalah dan memberi sokongan yang berterusan dan menyeluruh kepada bekas pesalah serta keluarga mereka.



Melalui sokongan yang lebih menyeluruh, para pendamping dapat memberi sokongan atau membantu merujuk kepada badan-badan masyarakat seperti pusat khidmat keluarga (FSC) untuk memberi bantuan kepada keluarga-keluarga itu.



Usaha-usaha ini adalah penting dalam mencegah kemungkaran dan penyalahgunaan dadah dalam masyarakat kita dan pada masa yang sama, menurunkan kadar kebentanan pesalah.



Kadar kebentanan pesalah telah merosot daripada 27.4 peratus bagi mereka yang dibebaskan pada 2011 kepada 22.1 peratus bagi yang dibebaskan pada 2018.



Kadar dua tahun kebentanan pesalah Melayu pula merosot daripada 34.7 peratus bagi mereka yang dibebaskan pada 2011 kepada 28.8 peratus bagi mereka yang dibebaskan pada 2018.



Ini adalah kemajuan ketara dan pencapaian yang sangat menggalakkan bagi masyarakat kita.



Saya amat berbesar hati melihat perkembangan yang memberangsangkan ini.



Pencapaian yang diraih ini adalah hasil titik peluh masyarakat yang tampil membantu golongan-golongan yang memerlukan, gabungan badan-badan masyarakat bersama, keluarga yang lebih prihatin ke atas pergaulan anak-anak mereka dan sokongan yang jitu kepada bekas pesalah yang menaruh harapan untuk memulakan hidup baru dan kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga.



Ini mencerminkan masyarakat kita yang bersemangat gotong-royong, tidak putus asa dan ingin membantu saudara-saudara kita yang dalam kesusahan dan lebih memerlukan.



Ia bak pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.



USAHA MENCEGAH



Mencegah penglibatan dalam jenayah dan penyalahgunaan dadah terutama di kalangan belia adalah kunci untuk memastikan masa depan yang cerah bagi masyarakat dan negara kita.



Mereka adalah pelapis generasi kita dan harapan masyarakat untuk mentadbirkan negara kita ke tahap lebih maju dan berjaya.



Dadah memusnahkan hidup seseorang dan mereka yang rapat dengannya.



Mesej ini harus ditekankan kepada anak-anak muda kita supaya mereka tidak mendekati atau menyalahgunakan dadah sama sekali.



Kadar penagih dadah baru yang diberkas pada 2020 kekal tinggi pada 38 peratus.



Kadar bagi penagih baru bawah usia 30 tahun juga kekal tinggi pada 62 peratus.



Kita mesti meneruskan usaha untuk mendekati anak-anak muda kita supaya tidak terjerat dalam penyalahgunaan dadah.



Lebih banyak inisiatif dan usaha yang harus dilakarkan untuk membendung mereka daripada terlibat dalam anasir-anasir negatif, dan pergaulan bebas yang tidak bermanfaat dan hanya akan mendatangkan kemudaratan.



Kita harus meningkatkan kesedaran mengenai kemusnahan kehidupan akibat penyalahgunaan dadah kepada semua golongan masyarakat, termasuk ibu bapa, keluarga, guru-guru, ahli perniagaan, institusi agama, belia dan golongan dewasa.



Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah berganding bahu dengan beberapa badan masyarakat seperti masjid, persatuan Melayu/Islam dan perniagaan seperti pusat makanan dan kedai gunting rambut untuk tolong menyebarkan mesej anti-dadah seperti Dadah Itu Haram (DIH) kepada masyarakat kita.



Kami juga telah bekerjasama dengan pelajar-pelajar universiti seperti Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) untuk mendekati anak-anak muda kita di Pusat Pemulihan Masyarakat (CRC) dan masyarakat umum untuk memberi peringatan mengenai kemudaratan akibat penyalahgunaan dadah.



Gabungan bersama masjid-masjid, sekolah-sekolah dan pertandingan dianjurkan di bawah sepanduk DIH, juga telah meraih tarikan yang hebat.



Sebagai contoh, Minggu Keluarga yang dianjurkan Masjid Maarof baru-baru ini untuk anak-anak muda kita telah menekankan mesej anti-dadah di acaranya dan mendapat sambutan baik.



DIH Infleuncer, pelakon Aaron Aziz, seorang pegawai CNB, seorang Ustaz dan seorang bekas penagih turut mengongsi pengalaman dan pengajaran mengenai kemusnahan akibat penyalahgunaan dadah.



Para peserta telah mendapat manfaat daripada acara tersebut.



Khususnya, mereka sangat terkesan dengan pengongsian bekas penagih dadah yang berjaya memulakan hidup baru setelah menjalani hukuman penjara.



Mereka dapat memahami tentang rintangan yang dihadapi bekas penagih untuk pulih daripada ketagihan mereka itu dan betapa mudahnya mereka terpengaruh semula kepada penyalahgunaan dadah.



PROGRAM PEMULIHAN DI PENJARA



Usaha juga telah diterapkan untuk melakarkan program pemulihan yang lebih berstruktur dan menyeluruh untuk pesalah kerana perjalanan mereka kembali ke pangkal jalan bermula di penjara.



Dengan adanya program yang menyeluruh dan menekankan perubahan positif, ini memberi asas yang kuat untuk mereka melalui rintangan dan onak duri kehidupan terutama setelah dibebaskan nanti.



Program dan usaha yang berterusan juga telah disediakan untuk bekas pesalah bagi membimbing mereka supaya tidak terjerumus semula dalam kancah jenayah atau penyalahgunaan dadah.



Saya telah berpeluang bertemu bual bersama pesalah-pesalah yang mengikuti program-program pemulihan semasa lawatan saya ke penjara.



Mereka sangat menghargai program pemulihan yang disediakan pihak perkhidmatan penjara dan akur bahawa ia dapat mencorak perubahan dalam diri mereka dan memberi semangat dan keyakinan diri supaya tidak kembali ke jenayah.



Antaranya ialah Siti (bukan nama sebenar), yang mendapati bahawa program Perniagaan Mikro AMP sangat bermanfaat kerana peserta seperti beliau dapat menggunakan kemahiran dan ilmu yang dipelajarinya untuk memulakan perniagaan sendiri supaya dapat menampung diri dan keluarganya setelah dibebaskan nanti.



Beliau juga akan diberi bimbingan selepas dibebaskan nanti untuk memulakan perniagaannya itu.



SOKONGAN UNTUK KELUARGA



Kami juga bekerjasama dengan beberapa badan masyarakat untuk memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga pesalah supaya mereka dapat meneruskan kehidupan harian mereka semasa salah seorang ahli keluarga menjalani hukuman penjara.



Kami menggembleng tenaga bersama Fitrah (Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga), M3 dan kawasan-kawasan akar umbi kejiranan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga pesalah.



Sokongan ini dapat memastikan keluarga tersebut tidak terlalu terjejas dan boleh menampung kos kehidupan harian mereka, terutama memastikan bahawa pendidikan anak-anak mereka tidak terjejas.



Sebagai contoh, kanak-kanak ini diberi baucar buku dan alat tulis untuk membantu dalam pelajaran mereka.



Kami juga mendapatkan Mendaki untuk memberi tuisyen kepada anak-anak pesalah yang masih di bangku sekolah.



Sokongan dan bimbingan yang diberi dapat mencegah anak-anak mereka daripada mengikuti jejak langkah ibu atau ayah mereka yang terlibat dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah.



SOKONGAN BERTERUSAN DAN MENYELURUH



Banyak usaha dan program pemulihan yang telah dilakarkan sejak beberapa tahun ini atas gabungan bersama badan-badan masyarakat.



Kami memastikan usaha dan sokongan yang diberi kepada pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka adalah menyeluruh dan berterusan.



Usaha-usaha ini dapat membendung mereka daripada kemungkaran dan penyalahgunaan dadah.



Namun, keluarga juga memainkan peranan penting mencegah anak-anak mereka daripada terlibat dalam pergaulan negatif dan anasir-anasir yang tidak baik.



Keluarga harus lebih prihatin dan ambil peduli atas pergaulan anak-anak mereka.



Keluarga yang rapat akan lebih terbuka berkongsi sesama ahli keluarga tentang masalah-masalah yang dilalui dan ini dapat mencegah daripada memilih penyalahgunaan dadah sebagai jalan keluar.



Dalam kita menutup tirai 2021 ini, mari kita ambil masa seketika untuk berpesan-pesan kepada keluarga dan sahabat handai kita tentang kebaikan, dan sentiasa mengambil peduli atas perihal dan pergaulan anak-anak kita supaya dapat menjauhkan diri daripada kemungkaran dan penyalahgunaan dadah.



Marilah kita berjuang bersama sebagai satu masyarakat untuk mencegah penyalahgunaan dadah supaya dapat memberi harapan yang lebih cerah untuk generasi yang akan datang.



Saya akhiri dengan serangkap pantun ini dan semoga tahun hadapan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya:



Kalau ada sumur di ladang,

boleh saya menumpang mandi;

Kalau ada umur yang panjang,

boleh saya mengongsi lagi.




  • Penulis Menteri Negara (Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >