Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Susah senang bersama tetangga 'best friend' lebih 40 tahun

Aug 04, 2019 | 05:30 AM



Seikat bak sirih, serumpun bak serai. Kehidupan berjiran menjadi lumrah masyarakat di pelbagai pelosok dunia dan Singapura tidak terkecuali. Dalam kita hidup dengan orang lain, pasti ada perbezaan dan mungkin ketidakselesaan yang timbul sekali-sekala. Di sinilah sifat seperti tolak ansur, mudah memaafkan dan hormat-menghormati memainkan peranan penting dalam memastikan kita tidak menjadi 'jiran cekik darah' seperti yang mendapat perhatian media baru-baru ini. Masih adakah jiran yang baik dalam kalangan kita? Apa pula pandangan agama mengenai isu kehidupan berjiran? Ikuti laporan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg) dan ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg).



JIRAN yang tinggal sederet dengan Cik Haja Robiah Abdul Rahim semuanya berbangsa Cina, namun mereka sudah "macam adik-beradik".



Malah, seorang lagi jiran yang tinggal satu tingkat di atas ibarat 'best friend' atau teman rapatnya yang telah melalui susah senang bersama selama lebih 40 tahun.



Melihat kemesraan antara Cik Robiah, 72 tahun, dengan Cik Soh Ah Hiam, 73 tahun, atau dipanggil dengan gelaran mesra 'Mak April', terdetik dalam hati betapa untungnya memiliki jiran yang mempunyai hubungan begitu baik.



Kunjungan wartawan ke rumah Cik Robiah satu malam awal minggu ini disambut Cik Soh yang sedang duduk di sofa ruang tamu jirannya itu.



Berbaju kemeja-T dan seluar tiga suku, wanita yang cukup peramah dan fasih berbahasa Melayu itu menjemput kami masuk.



Wah, ada sambutan apa dengan belon dan bunga dalam rumah, sempat kami bertanya tatkala melangkah masuk ke rumah Cik Robiah di kawasan Bedok South itu.



"Besok princess punya birthday! Masuk, masuk, duduk!" seloroh Cik Soh, sambil menambah bahawa jirannya itu bakal mencecah usia 72 tahun keesokan harinya.



Mendengar perkongsian kisah mereka, tidak dapat dinafikan keselesaan yang wujud antara kedua-dua wanita tersebut yang seolah-olah tahu segala butiran mengenai kehidupan satu sama lain.



"Waktu kita susah, sama-sama susah, sekarang anak-anak semua dah besar... dah ada anak-anak sendiri pun.



"Kita sini tak pernah ada kecil hati antara satu sama lain," kata Cik Robiah, membuka cerita.



"Anak perempuan saya dah anggap dia macam mak sendiri!" tambah Cik Soh, dan dengan pantasnya Cik Robiah mengusik:



"Ah, dia sayang saya lebih daripada mak dia, nanti dia jealous!"



Lalu kedua-dua mereka ketawa.



Anak-anak mereka - Cik Robiah mempunyai enam orang sementara Cik Soh, seorang - membesar bersama.



Pada zaman sekolah dahulu, anak-anak perempuan Cik Robiah akan ke rumah Cik Soh di tingkat 12 untuk belajar kerana suasana di situ tidak terlalu bising.



Kini, mereka sudah pun berpindah setelah berumah tangga dan mempunyai anak sendiri.



Cik Soh pula pernah menjaga cucu Cik Robiah selama dua tahun dari bayi lagi.



Malah, ketika satu-satunya anak Cik Soh remaja dahulu dan pulang malam setelah keluar dengan teman-temannya, Cik Robiah dan arwah suaminya akan tunggu di bawah blok untuk membawanya pulang.



"Dia lambat balik, takut nanti bapak dia mengamuk 'kan, jadi saya dengan pak cik (arwah suami Cik Robiah) tunggu dekat bawah," cerita nenek 11 cucu itu.



Ketika anak Cik Soh berkahwin, Cik Robiah sibuk memasak nasi beriani dan ayam masak merah di koridor luar rumahnya untuk dimakan jiran tetangga.



Beliau sering memberi apa sahaja yang dimasaknya kepada jiran-jiran lain.



"Kalau masak, saya selalu masak lebih. Nanti dah siap, telefon, suruh mereka datang ambil, atau saya suruh anak-anak hantarkan," katanya.



Selain berkongsi makanan, Cik Robiah, Cik Soh dan jiran mereka yang lain akan saling melawat satu sama lain jika ada yang sakit atau dimasukkan ke hospital.



Mengenang pemergian suaminya enam tahun lalu, nenek yang cukup bersemangat itu berkata:



"Pak cik meninggal betul-betul pada Hari Raya Cina. Orang Cina pantang tak boleh lawat orang mati (pada hari bertuah seperti Tahun Baru Cina), tapi mereka datang juga.



"Jiran Serani kat bawah tu pun datang, tak kisah."



Kini, setiap hari pastinya Cik Soh akan ke rumah Cik Robiah. Ia sudah ibarat rumah keduanya.



Malah, jika beliau tidak ada di rumahnya sendiri, kemungkinan besar di rumah Cik Robiahlah tempatnya.



Demikian dikongsi Cik RachelleVictoria Boon, salah seorang pemimpin akar umbi di kawasan tersebut yang turut berada di sana ketika temu ramah dijalankan.



Cik Boon, 64 tahun, yang sudah bergiat dalam kerja-kerja akar umbi sejak lebih 20 tahun lalu tersenyum lalu menambah:



"Kalau saya ke rumahnya dan Cik Soh tak ada, saya dah tahulah di mana nak cari dia!"



Bahkan, anak Cik Soh juga sudah cukup faham dengan 'rutin' harian ibunya itu.



Kadang-kadang beliau akan menonton televisyen bersama Cik Robiah di rumahnya sehingga malam, kongsi Cik Soh.



"Tengok TV sama-sama sampai malam, nanti anak saya telefon tak dapat. Apabila saya telefon balik dia tanya pergi mana, jadi saya cakap 'tengok TV Aunty punya rumahlah'.



"Dia tanya saya 'rumah sendiri tak ada TV ke?'."



Terbahak-bahak Cik Soh dan Cik Robiah ketawa mengenangkan perbualan tersebut.



Mereka yang sudah kehilangan suami sejak bertahun lalu menghabiskan banyak masa bersama.



Oleh itu, bukan satu keganjilan bagi Cik Soh, yang mempunyai kunci rumah Cik Robiah, keluar masuk rumah jirannya itu bila-bila masa sahaja.



Malah, kalau tak berjumpa rasa sunyi, ujar Cik Robiah.



Justeru, beliau sentiasa bersyukur dengan kemesraan dan kepercayaan yang wujud setelah terjalin hubungan akrab berdekad lamanya.



"Hidup ada jiran yang baik, hati senang," katanya.



Cik Soh setuju dengan senyuman terukir di bibirnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >