Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Swee Keat: Pemimpin S'pura akan beri terbaik bagi perbetul kelemahan

Feb 12, 2019 | 05:30 AM



Baru-baru ini, Menteri Kewangan Heng Swee Keat menulis satu rencana yang menyangkal pendapat bahawa kejadian baru-baru ini, termasuk kematian semasa latihan dalam Perkhidmatan Negara dan serangan siber, adalah disebabkan sikap sambil lewa oleh pihak kepimpinan politik. Berikut petikan rencana beliau.



ADAKAH sikap sambil lewa punca siri kegagalan yang menyedihkan baru-baru ini - daripada kematian semasa latihan dalam Perkhidmatan Negara hingga ke serangan siber SingHealth; daripada bekalan elektrik yang terputus hingga ke surat yang tidak dihantar?



Adakah kita telah menjadi lalai dengan kejayaan kita sehingga kita membenarkan piawaian yang tinggi menjadi lemah?



Lidah pengarang Zaobao pada 1 Februari menimbulkan soalan serius yang saya dan rakan saya tidak akan elak. Rakyat Singapura menjangkakan yang terbaik daripada pemerintah mereka dan diri mereka.



Kami tidak teragak-agak meneliti diri kami setiap kali berlaku kegagalan dan melakukan apa jua yang perlu untuk membetulkannya.



Tetapi, saya menolak saranan sesetengah orang bahawa kepimpinan politik telah membenarkan sistem secara keseluruhan menjadi lalai.



Dan lebih buruk, kita berlembut dengan diri kita dan perkhidmatan awam, gagal meletakkan pegawai kanan bertanggungjawab apabila berlaku kesilapan.



MEMPERKUKUH SISTEM KITA



Setiap generasi berdepan dengan cabaran masing-masing.



Singapura juga mengalami insiden serius pada masa lalu.



Runtuhan Hotel New World, kemalangan kereta kabel Sentosa dan letupan Spyros di Limbungan Jurong misalnya, menyebabkan banyak kematian.



Setiap kali, generasi perintis kita meraih pengajaran pedih dan membetulkannya.



Atas usaha kolektif ini, Singapura telah mencapai tahap pembangunan yang tinggi.



Ia tidak mudah tetapi kita sentiasa berusaha mengekalkan piawaian yang tinggi dan memperbaikinya.



Hari ini, kita mengendalikan sistem lebih besar dan lebih rumit.



Sedang sistem baru ini telah mempertingkat kehidupan kita, ia juga membawa risiko baru.



Kita perlu menjangkakan dan menguruskannya, dans edar bahawa tiada apa yang benar-benar bebas daripada risiko.



Satu contoh ialah keselamatan siber.



Kami tahu untuk menjadi Negara Bijak akan mendedahkan kita kepada ancaman dalam talian yang serius.



Namun, tidak memanfaatkan IT bukan satu pilihan.



Menyusuli serangan "Anonymous" atas sistem IT pemerintah pada 2013, kami membentuk Agensi Keselamatan Siber Singapura.



Kemudian, kami melaksanakan pengasingan melayari Internet dalam agensi awam meskipun terdapat suara bantahan.



Ini telah meningkatkan keselamatan siber kita tetapi tidak menghapuskan semua risiko.



Satu lagi contoh ialah MRT.



Sedang sistem kereta api semakin menua dan masalah mula muncul, kami bertindak untuk menyelesaikannya.



Kami memperkenalkan sistem isyarat baru pada laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat.



Kami membeli kereta api baru dan sedang membina lebih banyak laluan rel untuk menambahkan kapasiti. Kami menetapkan piawaian setaraf dengan yang terbaik di dunia bagi kebolehpercayaan dan piawai perkhidmatan.



Kami seharusnya memulakan usaha memperbaharui sistem MRT lebih awal.



Tetapi, kita pelajari daripada pengalaman ini dan akan terus membaiki sistem itu.



Kita belum lagi mencapai apa yang ingin dikecapi. Tetapi, tinjauan mengesahkan penumpang mendapati kereta api tidak sesesak dulu dan menikmati khidmat lebih baik.



MEMASTIKAN KEBERTANGGUNGJAWABAN



Kegagalan berlaku dan akan berlaku. Dan apabila ia berlaku, kita menyiasat dengan teliti. Dalam kes yang serius, kita akan membentuk Jawatankuasa Siasatan (COI) bebas bagi mendapatkan punca sebenar.



Dapatan COI, walau tidak menyenangkan, didedah kepada orang awam seperti COI mengenai pelanggaran keselamatan siber SingHealth baru-baru ini.



Perdana Menteri memastikan menteri bertanggungjawab dalam mengendalikan kementerian mereka dengan betul dan membetulkan sebarang kelemahan yang ditemui.



Menteri juga perlu menjelaskan kepada Parlimen dan orang awam.



Apabila kesilapan berlaku, kita menanganinya dengan telus dan jujur.



Ini adalah caranya untuk memulihkan keyakinan dalam sistem kita dan mengekalkan kepercayaan rakyat kita.



Di mana ada individu yang didapati bersalah atau tidak cukup baik, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.



Dalam kes serangan siber SingHealth, pegawai kanan dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan disiplin.



Pegawai yang gagal dalam tanggungjawab mereka dihukum dan ada yang dipecat.



Begitu juga, individu yang terlibat dalam pembocoran maklumat pesakit yang positif HIV sedang disiasat dan ditangani di mahkamah; dan SAF telah mendisiplin pegawai kanan dan melucutkan mereka daripada memegang kuasa atas kemalangan semasa latihan.



Pemimpin perlu memikul tanggungjawab.



Apabila sesuatu yang salah berlaku, ketua pertubuhan, sama ada menteri, setiausaha tetap atau CEO, perlu bertanggungjawab dan membetulkan perkara.



Jika kesilapan yang berlaku menunjukkan pemimpin itu tidak menjalankan tugas dengan baik, cuai atau tidak berupaya, tindakan serius perlu diambil termasuk meminta pemimpin itu berhenti.



Namun, kita tidak harus secara rutin memecat pegawai setiap kali perkara salah berlaku, tidak kira fakta atau keadaannya.



Melakukan demikian mungkin memberi gambaran masalah telah diselesaikan apabila perkara itu tidak semestinya berlaku.



Adalah lebih penting melaksanakan tugas sukar menyelesaikan masalah pada dasarnya, yang memerlukan usaha bersepadu semua orang.



Tindakan kita juga tidak harus menghalang inovasi, kesediaan memikirkan secara kreatif dan mencuba huraian baru.



Encik Ting Kheng Siong, yang menulis di Zaobao pada 3 Februari, betul dalam memberi amaran terhadap mewujudkan sebuah budaya perkhidmatan awam di mana "Melakukan lebih banyak bererti membuat lebih banyak kesilapan; melakukan kurang bererti melakukan kurang kesilapan; dan jika kita tidak melakukan apa-apa, kita tidak akan membuat kesilapan".



Itu akan menjadi kesilapan paling serius yang boleh kita buat.



Singapura mencapai kedudukannya kini kerana generasi perintis kita berani mengambil risiko.



Kesemua usaha yang kita banggakan sekarang - daripada Estet Perindustrian Jurong hingga ke Lapangan Terbang Changi - telah diteruskan tanpa kepastian ia akan berjaya.



Jika pegawai awam tidak berani mengambil risiko kerana takut diberhentikan kerana perkara buruk boleh berlaku, ia akan menyebabkan kita tidak akan dapat membina sebuah negara yang cemerlang.



BUDAYA



Budaya ditentukan daripada peringkat atas, namun ia menjadi kenyataan setiap hari menerusi tindakan setiap individu dalam pertubuhan.



Kita berusaha mengekalkan standard kecemerlangan tertinggi di Singapura.



Setiap daripada kita mesti berusaha bagi mutu dan keselamatan dan berbangga dengan apa yang kita lakukan.



Walaupun beberapa kegagalan menunjukkan kelemahan sistemik yang perlu dibaiki, kegagalan yang lain berlaku kerana sikap individu yang sambil lewa terhadap kerja.



Sebagai sebuah masyarakat, kita boleh belajar daripada yang lain seperti Jepun dan Switzerland, yang mempunyai rasa tanggungjawab peribadi yang kuat dan perhatian teliti terhadap perincian.



Kita harus mengukuhkan set minda peribadi sedemikian dalam setiap tahap masyarakat, daripada ketua pertubuhan hingga ke pekerja barisan depan, dalam sektor swasta dan pemerintah.



Walaupun ia menyebabkan jangkaan tinggi bagi setiap rakyat Singapura, kita harus meneruskan laluan ini. Jika kita mengambil sikap sambil lewa dan lalai, habislah kita.



Ia perlu ada dalam DNA kita, diteruskan daripada generasi ke generasi - agar sentiasa berusaha untuk melakukan lebih baik buat rakyat Singapura dan buat Singapura.



Kepimpinan politik komited kepada etos ini.




APA KATA MENTERI MENGENAI:



MEMPERBETUL KEADAAN



"Kami tidak gentar untuk meneliti diri kami setiap kali berlakunya kegagalan dan melakukan apa jua yang perlu untuk menjadikan ia betul. Tetapi, saya menolak saranan sesetengah orang bahawa kepimpinan politik telah membenarkan sistem secara keseluruhan menjadi lalai. Apa yang lebih buruk, kita tidak tegar dengan diri kita dan perkhidmatan awam, serta gagal menyebabkan orang kanan dipertanggungjawabkan apabila keadaan menjadi buruk."



KEBERTANGGUNGJAWABAN



"Jika kesilapan yang berlaku menunjukkan pemimpin itu tidak menjalankan tugas dengan baik, cuai atau tidak berupaya, tindakan serius perlu diambil termasuk meminta pemimpin itu berhenti. Namun, kita tidak harus secara rutin memecat pegawai setiap kali perkara salah berlaku, tidak kira fakta atau keadaannya.



Melakukan demikian mungkin memberi gambaran masalah telah diselesaikan apabila perkara itu tidak semestinya berlaku.



Adalah lebih penting melaksanakan tugas sukar menyelesaikan masalah pada dasarnya, yang memerlukan usaha bersepadu semua orang."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >