Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Wacana

SINAR SYAWAL: ARTIS SEBERANG TAMBAK

Syukur walau beraya dalam ‘sekatan’

May 24, 2020 | 05:30 AM

Kedatangan 1 Syawal hari ini diraikan dengan cara berbeza apabila dunia masih lagi bertarung dengan wabak Covid-19. Walaupun terkilan tidak dapat membawa cahaya mata sulung yang meraikan Lebaran buat kali pertama ke rumah sanak-saudara, dua selebriti tempatan tetap ceria menyambut Hari Raya serba sederhana di rumah. Bagaimanakah sambutan Lebaran mereka dalam tempoh pemutus litar wabak Covid-19? Apakah pula yang dilakukan dua artis Malaysia apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sempena Covid-19 membataskan kunjung-mengunjung pada Hari Raya pertama sahaja dengan undang-undang jarak selamat perlu diperhatikan?


Alif yakin 'detik bahagia... akan kembali'

SUARA lunak personaliti serba boleh Malaysia, Alif Satar, berkumandang di Instagram menyanyikan lagu iklan jenama Perodua, Senyum Lebaran.

Antara bait liriknya yang sejajar dengan suasana Lebaran dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Malaysia yang membataskan kunjung-mengunjung buat sehingga 20 orang sahaja pada Hari Raya pertama berbunyi begini:

"Senyumlah sayang... di Aidilfitri... detik bahagia... akan kembali... nyanyilah sayang... hiburkan hati... semoga kita berjumpa lagi..."

Alif, 29 tahun, sekeluarga (isteri dan tiga anak kecilnya) juga terlibat dalam satu lagi iklan Raya buat jenama produk kecantikan dan jagaan rapi, Safi Rania.

Sambil menyanyi lagu asal Sudirman, Balik Kampung, yang diubah menjadi Tak Balik Kampung, tersebar pesanan walau ramai tidak berpeluang balik kampung, Aidilfitri tetap lebih manis berseri jika suka duka bersama dikongsi dengan keluarga yang duduk di rumah sahaja.

Ketika dihubungi dengan bantuan label rakaman Universal Music, Alif yang nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar, berkata:

"Bayangkan kerana PKP dan kemudian PKPB, selama 50 hari saya bekerja dari rumah. Alhamdulillah, rezeki menyiapkan iklan dengan tema PKP buat Perodua dan Safi Rania dianggap satu kesyukuran buat seisi keluarga.

"Kalau kebiasaannya sebelum PKP, saya bekerja sendiri, peluang bekerja dari rumah membolehkan saya libatkan isteri dan anak-anak dalam iklan Safia Rania. Secara semula jadi, saya memang seorang yang amat menitikberatkan nilai-nilai keluarga dan lebih luangkan masa buat mereka sesibuk mana pun.

"Hikmahnya kami lebih akrabkan hubungan kekeluargaan walaupun tidak mudah bekerja dengan anak kecil yang banyak ragamnya. Dalam penat nak melayan kerenah mereka, tetap ada keseronokannya. Apabila Alif mula bekerja di luar selepas 50 hari, isteri pula kata, beliau rindu Alif ada di rumah bersamanya dan anak-anak."

Alif, yang baru muncul dengan versi baru lagu nasyid Damba CintaMu bersama kumpulan Raihan, ingin mengekalkan semangat positif beraya walaupun merindui peluang mengunjungi sanak-saudara yang jauh dan dekat di musim Lebaran.

"Alhamdulillah, Hari Raya pertama dapat diluangkan bersama ibu bapa serta adik-beradik Alif yang sudah lama tidak ditemui.

"Dalam tempoh PKP dan PKPB, kami hanya mengutus pesanan WhatsApp. Selebihnya, pada Hari Raya dalam suasana dunia menentang wabak Covid-19, Alif dapat rasakan pengajaran buat umat manusia.

"Kita terlalu leka sehingga tidak dapat menghargai keluarga dan sahabat-handai kita. Kita pergi bercuti sesuka hati dan terlupa tanggungjawab sebagai manusia untuk menjaga bumi, memelihara kebajikan sesama manusia serta belajar hidup damai bersama-sama.

"Penularan wabak ini adalah satu panggilan buat kita bangkitkan diri. Bersabarlah dan jangan berputus harapan dunia sekeliling kita bakal kembali seperti biasa," katanya.


Kesempatan bagi Nabila rehat sebelum bangkit dengan semangat lebih gigih

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengisi masa dengan mencuba resipi baru, menghias semula bilik tidurnya dan merehatkan minda yang lelah dek kerja tanpa henti.

Dengan tibanya 1 Syawal hari ini, Nabila, 27 tahun, menanti masa rumahnya menerima tetamu anak-anak jiran yang selalu datang berkunjung saban tahun.

Bezanya, di bawah ketetapan kerajaan Malaysia, bilangan yang berhimpun dibataskan pada 20 orang sahaja dengan kunjungan boleh dibuat pada Hari Raya pertama sahaja.

Sebagaimana jelasnya yang dihubungi menerusi label rakaman Universal Music:

"Tahun ini, dengan adanya PKPB, sambutan Hari Raya agak berbeza. Masih ada anak-anak jiran datang dengan jumlah lebih terkawal.

"Mujurlah, ada kaedah teknologi. Kita boleh buat panggilan video atau gunakan Skype. Walau mood kurang sedikit kerana tidak boleh keluar beraya ke sana sini, saya masih beli baju Raya dan masak rendang bagi mewujudkan keceriaan."

Nabila, yang mencetuskan fenomena apabila lagu-lagu seperti Pematah Hati, Vroom Vroom dan kini Peluang Kedua tular di media sosial, akur projek drama dan video muziknya tertunda gara-gara langkah PKPB.

Beliau tidak sabar menanti masa merakam klip video bagi Peluang Kedua yang mendapat sambutan menggalakkan termasuk dalam kalangan artis seangkatan.

"Namun dalam mengharungi cabaran Covid-19, kita mencari hikmah di bulan mulia Ramadan dan kini Syawal. Maklumlah, bagi saya yang sibuk bertugas dengan tugasan tanpa henti, saya perlu segarkan semula minda, jiwa dan badan yang lelah.

"Inilah tempoh saya luangkan masa bersama keluarga dan hargai peluang bermain dengan anak-anak buah. Kalau tidak, saya pergi kerja pagi, balik lewat malam... ibu ayah pun dah tidur," jelasnya.

Lulusan ijazah seni bina dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu bagaimanapun melihat tempoh berlebaran dalam PKPB sebagai satu rangsangan bagi mempertingkat kesabaran dan mengasah kemahiran.

"Saya akui ada yang bosan dan rimas nak beraya hanya dengan duduk di rumah pada musim PKPB.

"Namun, kita harus fikir selepas PKPB nanti, kita nak balik kerja dan mulakan kehidupan seperti dahulu dengan semangat lebih gigih lagi," ujarnya.

Ternyata Hari Raya selalu membawa kenangan manis semasa kecil.

"Saya akan ingat kenangan naik basikal pusing satu taman dan selepas penat berkayuh, dapat duit Raya. Nak kumpul duit Raya sampai boleh beli barang yang diinginkan seminggu... tapi duit tu habis sekelip mata!" katanya seraya tertawa.