Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Teruja lihat semangat mahu bantu insan lain tingkat kehidupan

Nov 13, 2022 | 05:30 AM



ADA pepatah Melayu menyatakan 'rajin mengais tembolok berisi'.



Ia bermaksud jika seseorang itu rajin bekerja, rezekinya akan bertambah.



Lebih diberkati lagi jika tenaga empat kerat individu berkenaan dimanfaatkan untuk membantu golongan sepertinya yang memerlukan bantuan mempertingkat mobiliti sosial masing-masing.



Bak kata orang, bukit sama didaki, lurah sama dituruni.



Mobiliti sosial itu merujuk pada peralihan status sosial seseorang atau sebuah keluarga bagi membolehkan mereka merebut peluang untuk maju seiringan dengan orang lain. Mereka boleh menggarap potensi sebenar dari segi pendapatan, pekerjaan atau pendidikan.



Dalam dunia yang lelah dan terhenti pergerakan aktifnya selama dua tahun dek pandemik Covid-19, sejuk hati saya membaca kisah inspirasi Cik Nurhidayah Sazali, 32 tahun, yang mengatasi jerih payah untuk menjadi insan bermanfaat buat masyarakat.



Bulan lalu, Cik Nurhidayah yang berkelulusan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' dan pernah bertugas sebagai pekerja pembersihan, polis bantuan dan pembantu runcit dianugerahkan biasiswa pengkajian atau 'fellowship' oleh badan pemikir Institut Pengajian Dasar (IPS).



Beliau adalah individu bukan karyawan yang pertama menerima Fellowship Masyarakat Ngee Ann Kongsi yang diberi sejak tahun lalu untuk pemimpin masyarakat dan pembawa perubahan melaksanakan kajian penglibatan masyarakat yang menyumbang pada perubahan sosial.



Cik Nurhidayah menerima anugerah bagi tempoh setahun yang datang dengan gaji $1,500 sebulan untuk menjalankan kajian tentang kumpulan sokongan Mum's Collective.



Beliau dan seorang lagi ibu bekerjasama dengan agensi khidmat sosial Pusat Khidmat Keluarga (FSC) Masyarakat South Central untuk memulakan kumpulan sokongan itu buat ibu berpendapatan rendah yang menetap di flat sewa bersubsidi tinggi sekitar kejiranan Bukit Merah.



Apa yang saya dapati murni tentang usaha memulakan Mum's Collective adalah keinginan Cik Nurhidayah mencari jalan keluar pelbagai masalah bukan sahaja buat dirinya tetapi ibu lain yang senasib.



Mereka bertemu ketika beliau menjadi pemeriksa suhu sambilan di FSC itu di kala pandemik meragut 20 hingga 30 peratus daripada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pekerja pengiriman.



Sejak itu, mereka akan bertemu dua kali sebulan untuk berbincang dari hati ke hati tentang anak, kesihatan mental atau menjalankan kegiatan bersama seperti membakar kek dan pastri.



Pujian wajar diberi kepada IPS (dengan usulan FSC Masyarakat South Central) kerana keluar daripada kebiasaan menganugerahkan 'fellowship' untuk golongan bijak pandai yang mahir tentang metodologi kajian atau mempunyai sumber yang diperlukan untuk mengkaji sesuatu isu pada skala besar.



Saya bersetuju dengan usulan pihak FSC agar anugerah kajian ini diberi kepada individu yang terbabit sebagai subjek kajian agar pendekatannya kelak fokus mengenal pasti kekuatan individu dan melengkapi mereka dengan keupayaan menghurai masalah yang dihadapi.



Walaupun Cik Nurhidayah mungkin rasa serba kekurangan dari segi ilmu dan kefasihan bahasa Inggeris, niat murninya membantu wanita lain yang hidupnya dipukul badai kewangan merupakan langkah pertama yang dapat memperkasa semangatnya sendiri.



Beliau pastinya lebih mudah memahami naluri wanita lain yang terjerat dalam masalah sosioekonomi.



Beliau memburu Diploma Pengurusan Kepimpinan di sekolah swasta selepas dinaikkan pangkat sebagai penyelia pekerja pembersihan.



Kebiasaannya kesusahan yang pernah dialami akan membuat seseorang yang ingin keluar daripada lingkaran musibah lebih bersemangat memecahkan tembok penghalang jaya.



Nama besar seperti pelakon Leonardo DiCaprio, pengasas jenama Apple, Steve Jobs, bapa animasi Walt Disney dan pemain bola sepak Cristiano Ronaldo pernah hidup miskin tetapi kaya cita-cita dan usaha.



Tiada erti kata sudah terlambat memburu ilmu. Menjadi pelajar tercicir juga tidak sewajarnya menutup pintu hati seseorang untuk mencorak masa depan lebih cerah.



Pengasas Microsoft, Bill Gates; pengasas Facebook, Mark Zuckerberg; pengasas Dell, Michael Dell; pengasas bersama Twitter, Jack Dorsey serta perintis wadah penstriman Spotify, Daniel Ek, adalah antara yang keciciran tetapi tidak ketinggalan mencari tukikan dan menggali potensi kejayaan. Mereka bijak mengorak langkah membina jenama dalam era digital.



Empat tahun lalu, saya berkunjung ke Pusat Makanan Golden Mile dan bertemu Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee, lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan bekas pelajar aliran Normal (Teknikal) bekerja keras di gerai burger Burgs. Beliau komited mencari rezeki demi membiaya dua adiknya belajar di luar negara.



Hari ini, Encik Syafiq, 30 tahun, pemilik rangkaian gerai burger Ashes Burnnit yang menerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian baru-baru ini sudah menebar sayap membuka cawangan di luar Singapura, Ashes Burnnit NYC, di ruang penjaja Urban Hawker Food Hall, berdekatan Times Square di New York, Amerika Syarikat.



Encik Syafiq bersandarkan prinsip 'sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit'. Tak perlu terburu-buru.



Yang pasti, di sebalik apa jua kekurangan, jangan pernah sia-siakan peluang menaiktaraf kemahiran dan tetapkan nawaitu demi kebaikan orang lain juga.



Dalam mewujudkan Spotify misalnya, pengasasnya Ek berpendirian: "Saya bukan pencipta. Saya hanya mahu keadaan orang lain menjadi lebih baik."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >