Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Tidak diduga 'Mak' pergi akibat Covid-19

Jan 09, 2022 | 05:30 AM



Sudah hampir dua tahun penularan Covid-19 mencengkam dunia dan sepanjang waktu itu wartawan akhbar ini sibuk membuat liputan, menyampaikan perkembangan terkini virus yang telah merubah kehidupan manusia. Namun, kemusnahan penuh Covid-19 ini hanya benar-benar dirasakan apabila ia menjejas orang tersayang seperti yang dilalui dua wartawan BERITA MINGGU. Mereka berkongsi kisah mereka, dengan mesej bahawa meskipun kita tidak sabar meneruskan kehidupan seperti biasa dan 'meninggalkan' Covid-19, hakikatnya Covid-19 masih belum mahu meninggalkan kita.



SUDAH hampir dua tahun saya dan rakan wartawan membuat laporan tentang pelbagai aspek pandemik Covid-19.



Sejak krisis ini melanda, ada sahaja taklimat atau sidang berkaitan pandemik yang harus dihadiri dan perkembangan terkini yang perlu diambil tahu.



Pelbagai individu dan pihak menjadi bahan temu ramah untuk menyelami pengalaman mereka agar sebagai wartawan, saya dapat lebih memahami isu bersangkutan dengan pandemik ini.



Bagaimanapun, tiada maklumat yang benar-benar dapat mempersiap diri seseorang secara mental dan dari segi emosi apabila Covid-19 menimpa diri sendiri, apatah lagi, apabila diri diuji dengan pemergian insan tersayang akibat jangkitan.



Hari ini sudah lebih sebulan saya dan suami pulih daripada jangkitan Covid-19.



Lebih memilukan, sudah lebih 40 hari, insan yang saya kasihi meninggalkan kami sekeluarga ekoran jangkitan virus tersebut.



PENGALAMAN BUKA MATA, MINDA



Insan bergelar Mak, menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas melawan jangkitan Covid-19 selama lebih dua minggu.



Pemergiannya yang syahid - mahupun pengalaman peribadi sebagai pesakit Covid-19 - walaupun merenggut sanubari, cukup membuka mata dan minda saya.



Sebelum Covid-19, arwah Mak sudah mengalami barah usus tahap lewat, selama lebih setahun.



Sejujurnya, secara mental, saya sudah agak bersedia menerima sekiranya pemergiannya disebabkan oleh penyakit barah.



Maka itu, kematian beliau akibat jangkitan Covid-19 ibarat satu mimpi buruk dan terlalu mengejutkan.



Pemergiannya tidak dijangkakan sebab selama sekitar 10 hari pertama jangkitan, beliau dianggap dalam keadaan stabil walau belum menerima vaksin. Arwah ditempatkan dalam Program Pemulihan di Rumah (HRP) kerana tidak menunjukkan gejala membimbangkan seperti demam panas atau tahap oksigen rendah.



Namun, pada hari-hari terakhir, beliau mengalami batuk agak teruk dan apabila tahap oksigennya menjunam, beliau terpaksa dikejarkan ke hospital.



Di hospital, arwah diberikan bantuan oksigen dan antibiotik, namun radang di paru-paru akibat Covid-19 sudah agak teruk.



Setelah empat hari, Mak meninggalkan alam yang fana ini, dua minggu sebelum usianya mencecah 74 tahun.



Pada tika itu, baru saya terasa realiti jangkitan Covid-19 - betapa ia penuh dengan ketidaktentuan.



Hakikatnya, kematian di tengah-tengah pandemik adalah sesuatu yang agak asing bagi kita di Singapura.



Lebih-lebih lagi bagi generasi seperti saya, yang seingat saya, belum pernah ditimpa krisis kesihatan sebesar ini.



Walaupun Singapura sudah memasuki tahun kedua dalam perjuangan Covid-19, masih banyak aspek yang janggal, kurang jelas dan kurang difahami oleh masyarakat umum.



Ini termasuk hal berkaitan dengan prosedur standard bagi pesakit, penjaga pesakit dan kematian disebabkan jangkitan Covid-19.



DIRI, SUAMI JUGA DIJANGKITI



Pengalaman sendiri dijangkiti Covid-19; menjaga Mak dan suami yang dijangkiti lebih awal dari saya, di samping pemergian Mak, telah mendedahkan saya kepada banyak perkara dan kenyataan dalam pandemik ini.



Jelasnya, masih ada ruang untuk memperhalusi proses yang ada.



Misalnya, tuntutan menjalani Arahan Pengasingan (IO) sehingga 10 hari sepenuhnya meskipun seseorang itu sudah negatif dalam ujian antigen pantas (ART) lebih awal dari 10 hari, mungkin boleh disemak semula.



Ini boleh memanfaatkan dan memudahkan individu yang ada urusan keluarga, seperti menjaga warga emas dan mereka yang mengalami keadaan darurat, seperti kematian.



Buat masa ini, peraturan bagi IO mengandaikan seseorang itu sudah bebas sepenuhnya daripada jangkitan di akhir 10 hari, sebab tiada tuntutan untuk individu menjalani ART atau ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) bagi mengesahkannya.



Satu lagi contoh, ialah apabila arwah Mak saya sudah dalam keadaan tenat dan tidak responsif terhadap bantuan perubatan, kami telah meminta agar ujian PCR dijalankan supaya beliau dapat dipindahkan ke wad biasa.



Pada saat itu, beliau sudah 14 hari selepas jangkitan Covid-19. Kalau mengikut protokol, beliau dianggap bebas jangkitan.



Keluarga kami meminta ini kerana mahu menghabiskan saat-saat terakhir bersamanya, daripada arwah bersendirian di wad pengasingan - dengan syarat, semestinya, ujian PCR beliau negatif.



Permohonan kami ditolak kerana doktor mengatakan "ia sesuatu yang tidak harus anda fikirkan pada ketika ini".



Saya dan keluarga menghormati keputusan doktor dan menuruti arahannya. Namun, dari sudut penjaga, permohonan itu sebenarnya dapat memberikan semacam ketenangan kepada keluarga dan 'closure' atau penutup kepada satu pengakhiran yang menyayat hati.



Saya harap, dalam negara meneliti dan memperhalusi prosedur pesakit Covid-19, pertimbangan juga akan diberikan kepada penjaga dan keluarga mereka.



Realitinya, kematian akibat satu pandemik tidak sama dengan kematian ketika masa-masa biasa.



Ini sukar difahami ramai, sekiranya tidak terkena pada batang hidung sendiri.



Pada masa sama, jika pada masa itu, Mak sudah bebas jangkitan, makanya, ia dapat meredakan bebanan wad pengasingan.



Pada akhirnya, masyarakat boleh memainkan peranan dalam bermacam sudut untuk sama-sama meringankan bebanan sistem penjagaan kesihatan dalam pandemik ini.



Bagi saya, dan mereka yang lain yang pernah menghidapi koronavirus, kami tidak mahu hanya menjadi 'kes yang menyumbang kepada perangkaan negara', sekadar menjadi laporan atau data.



Tetapi, harapnya, pengalaman ini dapat membantu memperbaiki keadaan dalam kita menuju ke arah Covid-19 sebagai endemik.



Apa pun, kami sekeluarga cukup menghargai peranan yang dimainkan oleh doktor dan jururawat dalam memberi penjagaan yang tersusun dan sentiasa memberi perkembangan terkini tentangnya, sekali gus meredakan kegelisahan kami.



Ini kerana saya maklum keadaan begitu sibuk di unit pengasingan untuk pesakit Covid-19 di hospital, kadangkala 'huru-hara' terutama jika ada kes-kes tenat. Pernah sekali kedengaran doktor semasa dalam panggilan, sedang bergegas dan berlari-lari anak kerana ada kecemasan.



PENGALAMAN BERI MAKNA MENDALAM



Berikutan pengalaman sebagai pesakit Covid-19 dan kematian Mak, pandemik ini telah memberi makna yang berbeza dan mendalam bagi diri saya.



Selepas lebih sebulan pulih, saya masih batuk-batuk dan semput sekali-sekala (saya memang menghidapi semput sebelum ini tetapi menjadi lebih teruk semasa Covid-19).



Apabila tubuh sendiri menanggung gejala dan kesan virus, baru saya dapat menghayati pandemik ini - sesuatu yang tidak mungkin saya timba daripada mana-mana wawancara atau sidang taklimat.



Bagi yang belum divaksin bukan kerana sebab perubatan, tidak perlulah menunggu sehingga jangkitan 'menjelmakan diri' dalam diri atau orang tersayang.



Doa saya bagi mereka yang berkongsi nasib serupa saya, yang masih berhiba dan berdukacita di atas pemergian orang tersayang kerana Covid-19, semoga kita sama-sama diberi ketabahan mengharungi mendung ini.



Yang hidup, pasti mati. Namun, yang hilang tidak berganti.



Semoga roh Mak dan mereka yang berpergian, dicucuri rahmat Allah swt.




Pemergiannya yang syahid - mahupun pengalaman peribadi sebagai pesakit Covid-19 - walaupun merenggut sanubari, cukup membuka mata dan minda saya. Sebelum Covid-19, arwah Mak sudah mengalami barah usus tahap lewat, selama lebih setahun... Maka itu, kematian beliau akibat jangkitan Covid-19 ibarat satu mimpi buruk dan terlalu mengejutkan...
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >