Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Ubah pemikiran terhadap isu

Jul 29, 2019 | 05:30 AM



BELUM ada anak? Bila nak ada anak? Tak nak ada anak lagi ke?



Inilah soalan-soalan 'cepumas' yang kedengaran di cuping telinga pasangan yang baru berkahwin mahupun sudah lama berkahwin.



Lagi-lagi waktu Raya...



Meskipun niat mak cik-mak cik, pak cik-pak cik hanya ingin berseloroh, kata-kata itu kadangkala boleh mengguris hati.



Mungkin bagi beberapa pasangan, keputusan untuk tidak mahukan anak adalah satu perancangan. Namun bagi segolongan yang lain, menimang cahaya mata adalah pergelutan bertahun lamanya.



Sepanjang masa saya mencari pasangan yang menjalani rawatan kesuburan untuk ditemu ramah, ramai yang menolak... angkanya secara khusus adalah 12.



Alasannya? Takut "membuka aib pasangan", ataupun dilihat sebagai "melawan takdir" kerana berpandu kepada Teknologi Membantu Kehamilan (ART) untuk hamil.



Ada pula yang risau rahsia mereka daripada keluarga bocor. Rahsia bahawa mereka mendapatkan anak dengan bantuan ART.



Namun, situasi ini memang sesuatu yang saya sudah jangkakan memandangkan topik ini tidak sering diperbualkan dalam masyarakat Melayu kita... mungkin diperbualkan, tetapi bukan dalam cara membina.



Masyarakat masih memandang isu ketidaksuburan ini sebagai satu kekurangan, seolah-olah kekurangan ini boleh dikawal sepenuhnya oleh individu itu.



Namun, perspektif ini perlu bertukar kerana isu kesuburan ini kebanyakan di luar kawalan seseorang individu.



Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph berkongsi sekitar 20 peratus kes ketidaksuburan tidak ada penjelasannya biarpun pasangan itu sihat.



"Dan beberapa punca ketidaksuburan, misalnya kegagalan ovari pramatang, boleh disebabkan keturunan dan di luar kawalan seseorang. Jika dilahirkan dengan keadaan anggota rahim yang tidak normal juga di luar kawalan," tambahnya.



Namun, disebabkan stigma yang bersangkut paut dengan isu kesuburan, ramai yang terpaksa meniti perjalanan ini keseorangan.



Menurut pemerhatian Dr Jazlan, kebanyakan pesakitnya merahsiakan rawatan kesuburan daripada keluarga mereka walaupun proses mendapat anak suatu yang memerah tenaga tubuh secara fizikal mahupun mental.



Apa lagi dengan tekanan orang yang mengajukan soalan yang tidak sensitif dan bertanya sekadar kerana mahu bertanya, bukan kerana betul-betul mengambil berat.



Salah satu orang yang ditemu ramah saya berkongsi bahawa ada saudara maranya bertanya, "Eh, belum lekat-lekat lagi?"



Waktu ini juga merupakan tempoh mencabar baginya yang masih berusaha mendapatkan anak.



Tidak salah sebenarnya untuk bertanya, tetapi perlu beralas dan pastikan perbualan itu membina.



Buat permulaan, keluarga dan rakan boleh membantu dengan berkongsi pengalaman kesihatan kesuburan mereka dan saling menggalak satu sama lain untuk membincang hal ini.



"Berbincang mengenai kesihatan kesuburan secara terbuka boleh membantu mewujudkan pemikiran positif mengenai kesihatan kesuburan di kalangan warga Singapura... Menerusi perbualan berterusan, kesuburan akan dibincang secara normal, dan mengizinkan warga Singapura sedar mereka perlu main peranan dan bertanggungjawab atas kesihatan kesuburan mereka sendiri, " menurut presiden I Love Children, Cik Joni Ong.



Ia juga membantu jika mereka yang sudah menjalani rawatan kesuburan dan berjaya mendapat anak berkongsi pengalaman mereka secara terbuka supaya dapat beri galakan kepada mereka yang ragu-ragu ingin memulakan perjalanan ini.



Tatkala saya layari media sosial untuk mencari kisah mereka menjalani rawatan kesuburan, kebanyakan pengalamannya dikongsi dalam kumpulan tertutup Facebook.



Isu LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), pendidikan seks, kesedaran mengenai autisme... Semua ini kini dibincangkan secara terbuka, lantas membuka mata masyarakat.



Alangkah baiknya jika isu ketidaksuburan juga boleh dibincang secara terbuka memandangkan niat bakal ibu ini murni - untuk mendapat cahaya mata.



Perbualan ini perlu juga dirancakkan di tempat kerja.



Misalnya, jika mengetahui rakan kerja anda sedang jalani rawatan kesuburan, anda boleh membantu meringankan beban pekerjaan serta memberi sokongan moral.



Oleh itu, perbualan ini perlu dua hala dan tidak boleh bertepuk sebelah tangan sahaja.



Pada peringkat universiti, kesedaran juga dapat dipertingkat.



"Universiti boleh mempertimbangkan kesihatan kesuburan sebagai sebahagian daripada perbincangan dan seminar tambahan mereka... Ini akan memulakan perbualan mengenai kesuburan di kalangan belia," kongsi Cik Joni.



Semoga masyarakat bukan sahaja mengubah minda dan pandangan terhadap isu kesuburan, tetapi juga memberi sokongan kepada bakal ibu bapa supaya harapan mereka untuk subur, tidak terkubur.



  • Penulis ialah wartawan Berita Harian.


"Masyarakat masih memandang isu ketidaksuburan ini sebagai satu kekurangan, seolah-olah kekurangan ini boleh dikawal sepenuhnya oleh individu itu."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >