Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Usah guna kerja sebagai alasan kurang dampingi anak... dan juga sebaliknya

Sep 19, 2022 | 05:30 AM



SELEPAS tujuh tahun menjadi bapa, saya lebih sedar sekarang waktu lena berpanjangan adalah satu kemewahan.



Begitu juga dengan 'me time' atau masa untuk saya berbasikal, tonton televisyen, baca buku, dan lain-lain yang sewaktu dengannya.



Malah, masa saya kini rata-rata boleh dibahagikan kepada dua bahagian besar - waktu sebelum dan selepas anak bangun tidur, dan bakinya.



Waktu sebelum dan selepas anak bangun tidur waktu penting - terutama bagi ibu bapa yang bekerja dan tiada pembantu rumah.



Itulah masa bagi kami melakukan kerja rumah, memasak dan banyak tugasan lain di rumah.



Masa selain itu pula boleh dibahagikan kepada waktu bertugas dengan waktu untuk mendampingi anak.



Bagi sesetengah bapa dan berdasarkan pengalaman diri saya sendiri, pandemik telah memudarkan sempadan antara kededua jenis kegiatan ini.



Hampir semalaman, kita diberikan peluang untuk mendampingi anak-anak bagi tempoh yang berlanjutan - sama ada semasa tempoh pemutus litar apabila pembelajaran di rumah dijalankan dan pada hari-hari biasa dan waktu cuti sekolah - apabila kita tidak boleh melakukan kegiatan riadah atau bercuti di luar negara.



Bagi saya, perkembangan ini mengundang kededua kesan yang baik dan mungkin yang kurang diingini.



Bagi keluarga ibu bapa yang bekerja seperti kami, tentu sekali masa 'tambahan' untuk mendampingi anak-anak adalah satu kemewahan yang kami hargai.



Memang, masa untuk diluangkan bagi diri sendiri terbantut dan kami terpaksa berkorban pelbagai kegiatan lain, tetapi masa bermutu dengan anak-anak tidak ada tolok bandingnya.



Malah saya yakin, selaras dengan pendapat ini, kempen kebapaan - yang sedang dijalankan oleh Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH) juga menggalak bapa memainkan peranan lebih aktif dalam pendidikan dan hidup anak-anak.



Namun, berhubung konteks pekerjaan dan menjadi bapa, saya prihatin apabila membaca komen di alam maya daripada sesetengah bapa yang berkata mereka memilih masa dengan anak-anak berbanding masa untuk bekerja.



Ada yang berkata mereka tidak akan mengkompromikan masa dengan anak-anak semata-mata untuk kerja makan gaji.



Betul, jika kita dipaksa memilih antara anak dengan kerja, jawapannya adalah ketara bagi kebanyakan bapa.



Namun, saya curiga mengapa kita sendiri memberikan dan mengehadkan diri kita dengan dua pilihan sedemikian apabila membincangkan tentang masa dengan anak dan kerja.



Mungkin, cara kita membuat pilihan ini bukan kesemuanya bergantung kepada diri kita sendiri semata-mata.



Profesor Madya Ioana Lupu, yang telah membuat beberapa kajian tentang usaha mencari keseimbangan antara kerja dengan hidup harian berkata cara kita mendekati topik ini dipengaruhi pengalaman kita dengan ibu bapa semasa mendewasa.



Kebanyakan individu akan mengikuti cara ibu bapa mereka mengimbangi waktu kerja dan waktu keluarga sama ada secara sengaja atau tidak.



Sebaliknya, ada yang akan menolak cara ibu bapa mereka menjalani hidup, juga secara sedar atau tidak.



"Secara am, pekerja tidak menyertai tenaga kerja tanpa sebarang jangkaan (mengenai waktu kerja dan waktu keluarga).



"Apa yang mereka percaya dan jangkaan mereka tentang keseimbangan yang sewajarnya antara kerja dengan keluarga biasanya dibentuk dari awal lagi, kebanyakannya dengan melihat cara ibu bapa mereka sendiri berbuat demikian'', kata Profesor Lupu, yang bertugas di Sekolah Perniagaan Perancis ESSEC, dalam artikel yang diterbitkan dalam Harvard Business Review.



Tapi bagi saya, selain pengaruh keluarga dari tempoh lebih awal, kita juga harus mempunyai pandangan sendiri yang lebih realistik apabila memikirkan tentang komitmen kerja dan kepada anak-anak.



Mungkin, adalah lebih berguna dan memanfaatkan bagi tempoh masa panjang - kerana saya percaya kita ingin bekerja dan menjadi bapa - bagi tempoh panjang - jika kita menyifatkan pekerjaan itu sebahagian daripada faktor yang membolehkan kita menjadi bapa yang terbaik kepada anak-anak kita.



Bagi saya, tak banyak manfaatnya jika kita mewarnakan pilihan antara kerja dengan menjadi bapa yang baik dengan warna hitam putih.



Dan adalah tidak adil bagi anak-anak jika kita gunakan mereka sebagai alasan kita tidak boleh menjadi pekerja yang baik.



Misalnya, bayangkan kesannya terhadap pembangunan anak-anak jika mereka sedar kita tidak menjalankan tugas di pejabat dengan sebaik-baiknya kerana menggunakan alasan hendak menjadi bapa 'misali' sedangkan perkara itu boleh dielakkan.



Bagi saya, pilihannya bagi bapa yang bekerja bukanlah untuk memilih antara menjadi pekerja yang baik dengan menjadi bapa yang baik, tetapi mengimbangi pekerjaan dengan komitmen sebagai bapa dengan sebaik-baiknya.



Bukankah menjadi pekerja yang baik - memenuhi komitmen kerja dengan sepenuh usaha - dan menyusuli itu, menjadi bapa dengan cara yang sebaik-baiknya - memberikan contoh yang terbaik kepada anak-anak kita?




Bagi saya, pilihan bagi bapa yang bekerja bukanlah untuk memilih antara menjadi pekerja yang baik dengan menjadi bapa yang baik, tetapi mengimbangi pekerjaan dengan komitmen sebagai bapa dengan sebaik-baiknya.
Bukankah menjadi pekerja yang baik - memenuhi komitmen kerja dengan sepenuh usaha - dan menyusuli itu, menjadi bapa dengan cara yang sebaik-baiknya - memberikan contoh yang terbaik kepada anak-anak kita?''
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >