Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Wacana

KORONAVIRUS

'Wajib elakkan orang lain dijangkiti penyakit kita'

Mar 19, 2020 | 05:30 AM

UMAT manusia di merata dunia sedang diuji oleh Allah swt dengan ujian hebat melalui wabak virus yang diturunkan ke atas kita.

Kita dimaklumkan jumlah orang yang dijangkiti virus ini sebanyak ratusan ribu dan jumlah kematian telah melebihi lima ribu orang di seluruh dunia.

Dengan keadaan sangat merisaukan ini, bagaimanakah seorang Muslim harus menghadapi ujian ini?

Jangan berputus asa

Sebelum itu, mari kita memerhatikan sebuah hadis mengenai jangkitan penyakit yang kerap disalah fahami.

Daripada Anas bin Malik ra, Nabi saw bersabda: "Tidak ada jangkitan dan tidak ada tilikan. Aku menyukai al-fa'lu (optimis baik) dan aku menyukai kalimah baik. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Al-Lajnah Ad-Daimah (Jawatankuasa Arab Saudi) dan ulama masa kini, seperti Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan Dr Ali al-Qurah Daghi, menjelaskan hadis ini dengan menyatakan bahawa sesuatu penyakit itu tidak berjangkit dengan sebab dirinya tetapi ia berjangkit dengan izin Allah swt.

Islam mengajarkan kita bahawa segala yang berlaku ke atas diri manusia ialah berdasarkan ketetapan Allah swt.

Allah berfirman dalam surah AlTaubah, ayat 51: "Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang beriman harus bertawakal"."

Allah swt berfirman dalam surah Al-Taghabun, ayat 11: "Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang berlaku itu dengan tenang dan sabar), dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

Maka itu, jika kita masih dalam keadaan sihat waafiat, janganlah berbangga dengan keadaan kita itu.

Namun jika kita ditimpa penyakit, usahlah berputus asa.

Langkah-langkah

Bagi yang sihat, amalkanlah langkah-langkah berikut:

1. Bersyukur kepada Allah di atas kesihatan yang diberikan saat ini.

2. Bertawakal kepada Allah kerana itulah ciri-ciri sebenar seorang mukmin

3. Jangan membiarkan jiwa kita dipenuhi dengan ketakutan dan kerisauan melampau terhadap virus yang sedang menular.

4. Serahkan urusan kehidupan kita kepada Allah swt dengan keyakinan kuat.

Bagi yang sakit, wajiblah mengamalkan amalan berikut:

1. Reda dengan ketentuan dan ujian yang diberikan Allah kepada kita

2. Bersabar di atas kesakitan yang dialami

3. Mengharapkan pahala dan ganjaran daripada Allah swt.

Ini kerana semua penyakit dan kesakitan yang dihadapi oleh manusia ialah atas izin Allah swt.

Bersangka baik pada Allah kerana boleh jadi penyakit dan kesakitan yang kita alami ialah sebagai ingatan supaya kita lebih mengingati-Nya atau sebagai kafarah bagi dosa-dosa yang kita lakukan.

Tanggungjawab individu

Islam juga mengajarkan kita supaya berhati-hati dan mengambil pendekatan sewajarnya untuk memastikan diri kita tidak dijangkiti penyakit yang sedang menular.

Jika kita yang dalam keadaan sakit, wajib kita berusaha untuk tidak membiarkan orang lain dijangkiti penyakit yang kita alami. Ini berdasarkan sabda Nabi saw: "Tiada kemudaratan atas diri sendiri dan orang lain." (Hadis riwayat Ahmad)

Adalah kewajipan orang yang tidak sakit:

1. Tidak mendekati pesakit yang ditimpa penyakit berjangkit jika tiada keperluan mendesak.

2. Gunakan cara atau teknik yang dapat menghalang jangkitan penyakit, seperti pelitup dan sebagainya, jika ingin mendekati pesakit tersebut.

3. Berlembut dan jangan menyakiti perasaan orang sedang sakit.

Bagi yang pesakit, kewajipan mereka ialah:

1. Berusaha merawat penyakit sekiranya mampu, dan dia berdosa jika tidak merawatnya.

2. Mengelakkan percampuran dengan orang lain demi mengelakkan menyebarkan penyakit tersebut. Hukumnya wajib.

3. Tidak keluar rumah melainkan kerana keadaan darurat.

Demi kesejahteraan umat

Ketahuilah bahawa Islam sangat menjaga kesejahteraan nyawa seseorang. Maka itu amatlah silap jika seseorang itu enggan berubat, sedangkan dia mampu, atas nama tawakal kepada Allah swt.

Sebenarnya Allah swt tidak hanya menguji orang yang sedang mengalami penyakit. Sesungguhnya Allah juga sedang menguji orang yang sihat dengan tingkah laku dan akhlak kita.

Ini kerana terdapat situasi di mana orang sihat menyangka bahawa dirinya lebih mulia dan baik dibandingkan dengan orang sakit.

Bukan itu sahaja, terdapat segolongan orang yang memandang serong dan jijik terhadap individu terlibat dalam sektor perubatan yang terpaksa berhadapan dengan pesakit berjangkit.

Sebagai anggota masyarakat, jadilah individu bertanggungjawab.

Kita perlu memberi kerjasama sewajarnya kepada pihak berkuasa dan patuh pada arahan yang dikeluarkannya.

Bertawakal kepada Allah dan pelihara fikiran dan jiwa kita daripada bersangka buruk terhadap mereka yang sanggup mengorban diri mereka demi kesihatan dan kesejahteraan kita.

Semoga Allah swt melindungi kita daripada virus yang sedang melanda umat manusia dan memberi kesembuhan kepada mereka yang mengalami penyakit berjangkit ini.

Semoga Allah swt memberi kita kesabaran dan ketabahaan pada saat getir ini.


  • Penulis, 35 tahun, Naib Presiden 1, Persatuan Muhammadiyah. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah manakala prauniversiti di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Beliau lulusan sarjana muda dalam bidang Usuluddin (Hadis) daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, dan sarjana falsafah daripada Universiti Teknologi Malaysia.
Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian