Walau sendiri hidup susah, penerima zakat tetap bantu orang lain

HAMPIR setiap minggu, Cik Rasidah Ebus meluangkan masa melakukan pelbagai kerja sukarela membantu orang lain.

Ada kalanya, beliau bantu mengagihkan makanan kepada mereka yang memerlukan di sekitar kejiranannya bersama Project Goodwill Aid - sebuah kumpulan sukarelawan yang membantu masyarakat kurang bernasib baik.

Ada kalanya pula, Cik Rasidah menyingsing lengan menabur bakti di Masjid Jamiyah Ar-Rabitah berdekatan rumahnya di Bukit Merah.

"Saya memang suka tolong orang. Ia membuat saya gembira," ujar Cik Rasidah, 55 tahun.

Namun, dalam beliau menolong orang lain, Cik Rasidah sendiri berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupannya.

Anaknya, Mikail, dilahirkan dengan masalah celebral palsy, sejenis penyakit yang menjejas otot dan pergerakan. Mikail, yang kini berusia 12 tahun, tidak mampu berjalan dan bercakap, dan perlu diawasi sepanjang masa.

Dia kini menghadiri sekolah bagi kanak-kanak istimewa di Pusat Rainbow.

Setelah berhenti kerja pada 2013 untuk menjadi suri rumah dan menjaga anaknya sepenuh masa, Cik Rasidah mula berasa payah bergantung sepenuhnya pada gaji suaminya yang bekerja sebagai seorang tukang gunting rambut sambilan.

Atas nasihat teman-temannya, beliau telah mendekati Masjid Jamiyah Ar-Rabitah untuk mendapatkan bantuan zakat.

"Duit zakat yang kami dapat buat tokok tambah perbelanjaan harian, air api, lampin pakai buang dan khidmat pengangkutan untuk Mikail ke Pusat Rainbow. Selebihnya kalau ada, kami simpan untuk masa-masa kecemasan.

"Alhamdulillah, kadangkala ada juga orang yang datang dermakan lampin pakai buang untuk Mikail," kata Cik Rasidah yang menerima bantuan zakat secara tetap setiap bulan.

Beberapa tahun lalu, beliau berdepan dengan satu lagi dugaan. Cik Rasidah sendiri diserang angin ahmar.

Namun kini, beliau sudah beransur pulih.

"Saya tak mahu 'manjakan' penyakit. Kalau tak, nanti siapa nak jaga Mikail. Jadi saya usahakan buat senaman," kata Cik Rasidah.

Beliau merupakan antara lebih 6,700 keluarga dan individu yang dibantu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerusi institusi zakat.

Setiap tahun, separuh daripada zakat yang dikumpulkan pusat-pusat pungutan zakat rasmi di masjid-masjid dan Muis, diagihkan kepada golongan tersebut, khususnya daripada asnaf fakir dan miskin.

Tahun lalu, sekitar $20 juta daripada lebih $40 juta yang dikumpulkan diagihkan bagi tujuan membantu dan memperkasa golongan tersebut.

Ditanya apa yang membuat beliau terus dan gemar membantu orang lain, meskipun beliau seorang penerima bantuan zakat, Cik Rasidah berkata:

"Jangan ingat tentang kesusahan kita. Kita kena tawakal dan reda... jadi tidak terlalu stres," kata Cik Rasidah.


KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT HARTA/FITRAH

SECARA TUNAI ATAU CEK

a. Di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), 273 Braddell Road, Singapura 579702. Cek harus dipangkah dan bayaran ditulis atas nama Muis.

b. Di masjid-masjid iaitu Pusat-Pusat Pungutan Zakat Bertauliah yang dilantik Muis

c) Bayaran Zakat Fitrah dan Zakat Harta boleh dibuat melalui Nets atau CashCard di stesen-stesen AXS yang terletak di serata Singapura.

SECARA ONLINE MELALUI ENETS DEBIT

Sila lungsuri laman www.zakat.sg

SECARA ANSURAN BULANAN MELALUI GIRO

Muat turun borang Giro di www.zakat.sg, isi dan hantarkan kepada Muis.

INSTITUSI KEWANGAN

- EKSKLUSIF UNTUK PELANGGAN

a. Portal CIMB Clicks

b. Akaun Al-Wadiah OCBC

c. DBS/POSB

i. ATM

ii. Perbankan Internet

di https://internet-banking.dbs.com.sg

iii. Aplikasi telefon Bijak DBS, POSB atau PayLah!