Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27
Wacana

BHALAL: RUANG INFO HALAL

Yuk langgani makanan sihat!

Pilihan kini lebih rencam termasuk sajian sihat bagi penuhi keperluan warga yang kian sibuk
Mar 01, 2020 | 05:30 AM

LANGGANAN makanan serta penghantaran makanan 'mangkuk tingkat' boleh menjadi penyelamat ramai warga Singapura yang sibuk bekerja.

Pilihan yang ditawarkan juga kini semakin rencam dengan banyak pilihan bagi hidangan sihat.

Dengan adanya khidmat langganan makanan yang sedia ada di depan pintu, ini mungkin mampu mendorong lebih ramai menukar tabiat makan.

Antara yang menawarkan khidmat langganan makanan sihat termasuk Kafe Limaa dan penyedia makanan yang hanya menghantar makanan ke rumah seperti YOLO serta AMGD.

Menurut pengasas bersama Kafe Limaa, Cik Nuraidah Abdul Rauf, melanggan makanan bukanlah sesuatu trend yang baru.

"Selain daripada makanan pantang, langganan makan popular dalam kalangan ramai orang sejak dulu lagi.

"Sekarang, makanan yang disediakan lebih sihat dan memberi banyak manfaat yang diperlukan dalam diet harian," kata beliau yang berumur 35 tahun.

Walaupun Kafe Limaa baru menawarkan khidmat langganan makanan pada Januari lalu, perniagaan itu mendapati pesanan yang diterima telah meningkat.

Sebelum ini, ia hanya bergantung kepada khidmat penghantaran makanan seperti GrabFood dan foodpanda, tetapi kerana lokasi kafenya di kawasan tengah Singapura, pelanggan yang tinggal di timur dan barat tidak dapat menikmati makanan mereka disebabkan jarak penghantaran terhad.

"Kebanyakan makanan sihat bukan mudah didapatkan kerana lokasi perniagaan yang menjualnya selalu sukar dikunjungi. Jadi kami telah membuat keputusan untuk membawa makanan kami kepada golongan ini," kata Cik Nuraidah yang bekerja bersama sepupunya, Cik Zakiah Ismawi, pengasas bersama kafe itu.

Kafe Limaa menawarkan hidangan makanan fusion Barat dan Asia yang rendah karbohidrat, berprotein tinggi dan juga makanan yang berasaskan sayuran seperti bunga kubis yang menggantikan beras dalam hidangan 'nasi lemak'.

Dengan kehidupan masyarakat yang kian sibuk, peniaga sedar tentang perlunya menyediakan pilihan yang boleh menepati jadual pelanggan.

Pengarah YOLO, Encik Alexis Bauduin, 36 tahun, berkongsi bahawa ramai yang menghadapi cabaran mengimbangi kehidupan dengan kerjaya.

"Jika mereka ingin menyediakan makanan sendiri, ia selalunya mengambil masa yang lama.

"Jadi langganan makanan memberi pilihan bagi pelanggan untuk menikmati hidangan yang berlainan dan juga mempunyai nilai yang berbaloi," ujar beliau sambil menambah setiap pelan makanan YOLO sehari termasuk makanan tengah hari, makan malam dan juga snek.

Menurut Cik Rita Zahara, pengasas bersama AMGD, makanan sihat hari ini bukan sekadar trend, malah sesuatu yang diperlukan untuk menjaga kesihatan.

Matlamat AMGD ialah menyediakan makanan lazat dan sihat kepada masyarakat.

"Sebagai syarikat yang menyediakan makanan sihat, kami menawarkan kemudahan, pilihan yang berlainan dan juga sajian yang dijamin sihat," kata Cik Rita.

Beliau menambah warga Singapura kini lebih meneliti apa yang mereka makan.

Cik Rita, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Li Da Foods yang merupakan syarikat induk AMGD, berkata beliau berharap khidmat langganan makanan seperti yang ditawarkan syarikatnya akan mendorong pelanggan menukar diet kepada yang lebih sihat dalam jangka masa yang panjang.

Bagi pengarah kecerdasan di The Eaqlia Studio, Cik Siti Zubaidah Md Isa, makanan ringkas yang dapat mengisi perut memang dicari oleh mereka yang sibuk.

Sebagai seorang jurulatih peribadi, beliau sering menikmati oat semalaman (overnight oats) sebagai makanan sebelum atau selepas mengajar kelas senaman.

Ini mendorong beliau menjual oat itu kepada kenalannya.

"Pada awalnya, saya buat beberapa cawan untuk mereka dan akhirnya mendapat pesanan oat yang turut meningkat," katanya sambil berkongsi bahawa kebanyakan pelanggannya memesan sajian itu untuk dijadikan makanan tengah hari ataupun sarapan ringkas.


Selain daripada makanan pantang, langganan makan popular di kalangan banyak orang sejak dulu lagi. Sekarang, makanan yang disediakan lebih sihat dan memberi banyak manfaat yang diperlukan dalam diet harian.
- Pengasas bersama Kafe Limaa, Cik Nuraidah Abdul Rauf.

Jika mereka ingin menyediakan makanan sendiri, ia selalunya mengambil masa yang lama. Jadi langganan makanan memberi pilihan bagi pelanggan untuk menikmati hidangan yang berlainan dan juga mempunyai nilai yang berbaloi,".
- Pengarah YOLO, Encik Alexis Bauduin,

Sebagai syarikat yang menyediakan makanan sihat, kami menawarkan kemudahan, pilihan yang berlainan dan juga sajian yang dijamin sihat.
- Pengasas bersama AMGD, Cik Rita Zahara,

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian