Subuh
5:30
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Wacana0

Zaqy: Kadar kelulusan tinggi tak lagi cukup bagi masyarakat Melayu

Pendidikan sepanjang hayat, peningkatan kemahiran kini jadi penekanan dan Yayasan Mendaki main peranan kian penting ke arah itu
Mar 23, 2020 | 05:30 AM

DENGAN berubahnya masa, cabaran yang dihadapi masyarakat juga berubah.

Jika dahulu meningkatkan kadar kelulusan masyarakat Melayu diberi tumpuan, hari ini, penekanan diberikan pada pendidikan sepanjang hayat dan pentingnya masyarakat mengamalkan konsep tersebut agar dapat mencapai peluang lebih baik yang timbul.

Pada masa sama, masyarakat Melayu perlu ada minda dinamik yang mampu melihat potensi atau peluang tersedia, serta mempunyai komitmen terhadap pendidikan dan kemahiran kita.

Berkongsi pandangan itu semasa ditemui Berita Harian di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Negara (MND), Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata cara masyarakat Melayu mendekati pendidikan harus berubah, sesuai dengan masa.

Di sini, Yayasan Mendaki memainkan peranan dalam membantu masyarakat dengan menyediakan sokongan pendidikan yang lebih holistik, kata Encik Zaqy.

"Ia bukan dari segi prasekolah atau sekolah sahaja, bahkan bagi mereka yang sedang bekerja juga.

"Pembelajaran sepanjang hayat amat penting dan harus dipupuk daripada di bangku sekolah lagi.

"Kita lihat dengan keadaan ekonomi tidak menentu, peningkatan kemahiran amat penting supaya kita dapat akses pekerjaan lebih produktif, efektif dan sesuatu yang dapat meningkatkan gaji," ujar beliau, yang juga naib pengerusi Mendaki.

Selaras dengan Belanjawan tahun ini, beliau berkata Mendaki akan memberi fokus pada penukaran pertengahan kerjaya dan peningkatan kemahiran serta latihan semula agar pekerja dapat menukar kerjaya kepada sektor yang lebih mantap.

Menurutnya, Mendaki Sense juga sedang melihat peranan yang boleh dimainkannya agar dapat menjadi lebih relevan untuk menyokong pekerja hari ini melalui skim-skim pemerintah yang menitikberatkan pembelajaran sepanjang hayat.

Jika langkah yang diatur masyarakat Melayu cukup pantas untuk mendapatkan akses ke sektor atau pekerjaan baru, mereka mempunyai kelebihan penggerak pertama atau first mover advantage, jelas Encik Zaqy.

Akur pencapaian pelajar Melayu/ Islam kian bertambah baik, beliau berkata: "Cabaran pendidikan masyarakat kita hari ini berbeza daripada dulu. Dulu kita bincangkan tentang kadar kelulusan, kini dah semakin baik.

"Sekarang ialah bagaimana kita boleh padankan anggota masyarakat kita dengan pekerjaan lebih baik."

Oleh itu, adanya program bimbingan seperti pementoran belia yang dijalankan Mendaki memberi sokongan kepada anak muda untuk memilih kerjaya dan kursus baik dan sesuai.

"Perkembangan kini lebih pesat, ibu bapa tidak selalu dapat memikirkan kerjaya-kerjaya baru yang ada.

"Jadi bila mereka (belia) dapat melihat karyawan daripada pekerjaan berbeza, mereka dapat dorongan dan dapat memilih kerjaya baru, atau kursus di sekolah untuk membolehkan mereka menuju kerjaya tersebut," ujar Encik Zaqy.

Beliau menambah bahawa program-program lain yang dijalankan telah membuahkan hasil cukup positif.

Misalnya, Kelas MateMatika (KMM) yang memperkasa ibu bapa yang mempunyai anak prasekolah, mendapat sambutan baik tahun lalu.

"Kita melihat lebih 1,200 ibu bapa dan anak mengikuti program ini. Lebih 90 peratus daripada mereka berjaya memasuki darjah satu tanpa memerlukan bantuan khas bagi Matematik.

"Ini amat baik dan kita ingin menggalak lebih ramai daripada anak kita (ikut serta) supaya mereka lebih bersedia apabila mereka memasuki darjah satu," katanya.

Sementara itu, semakan yang dilakukan ke atas Skim Tuisyen Mendaki (MTS) sejak setahun lalu juga membantu dalam mengoptimmumkan skim tersebut.

Pendekatan yang diambil MTS harus berubah sejajar dengan perubahan yang dilakukan Kementerian Pendidikan (MOE) agar MTS kekal relevan dan efektif bagi pelajar, misalnya dengan memerintis pendekatan pengumpulan berdasarkan subjek (SBB) di beberapa pusat MTS.

Namun, lebih daripada itu, beliau menekankan bahawa peranan MTS perlu berubah daripada fokus hanya pada pembelajaran kepada memberikan motivasi juga.

Memberi contoh, Encik Zaqy berkata sesi latihan (coaching session) yang diperintiskan tahun lalu dengan 70 pelajar membuahkan hasil memberangsangkan.

Pelajar-pelajar yang menyertai sesi itu mendapat gred D bagi Matematiks pada peperiksaan akhir tahun ketika di darjah lima.

Setelah mengikuti sesi tersebut, majoriti mereka berjaya meningkat gred dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) di darjah enam.

"Memandang ke hadapan, fasa selanjutnya ialah bagaimana kita boleh memastikan masyarakat Melayu sejajar dengan masyarakat lain di Singapura.

"Saya rasa peluang yang tersedia hari ini lebih baik, anak-anak kita berpendidikan lebih tinggi. Kalau kita boleh percepatkan lagi masyarakat kita untuk memikirkan tentang pekerjaan, sektor dan industri baru, potensinya ada.

"Lebih cepat kita terima, lebih cepat kita menukar minda, lebih cepat kita meraikan program-program baru ini, lebih cepatlah kita dapat lakukan yang lebih baik," ujar beliau.


APA KATA MOS ZAQY

TENTANG KEPENTINGAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Pembelajaran sepanjang hayat amat penting dan harus dipupuk daripada di bangku sekolah. Kita lihat dengan keadaan ekonomi tidak menentu, peningkatan kemahiran amat penting supaya kita dapat akses pekerjaan lebih produktif, efektif dan sesuatu yang dapat meningkatkan gaji.


TENTANG KEJAYAAN MEMBERANGSANGKAN PROGRAM YAYASAN MENDAKI

Kita melihat lebih 1,200 ibu bapa dan anak mengikuti program ini (Kelas MateMatika). Lebih 90 peratus daripada mereka berjaya memasuki darjah satu tanpa memerlukan bantuan khas bagi Matematik. Ini amat baik dan kita ingin menggalak lebih ramai anak kita (ikut serta) supaya mereka lebih bersedia apabila mereka memasuki darjah satu.


TENTANG PERBEZAAN CABARAN DAHULU DAN SEKARANG

Dulu kita bincangkan tentang kadar kelulusan, kini dah semakin baik. Sekarang adalah bagaimana kita boleh padankan anggota masyarakat kita dengan pekerjaan yang lebih baik.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian