Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Ekonomi S’pura tumbuh 2.7% suku pertama 2024

Apr 12, 2024 | 06:05 PM



Ekonomi Singapura dalam suku pertama 2024 tumbuh paling lemah dari suku ke suku dalam setahun, apabila sektor perkilangan berkembang perlahan.

Namun, pakar ekonomi meramalkan pertumbuhan semakin kukuh pada masa hadapan, lapor The Straits Times.


Dari segi suku ke suku yang terlaras secara bermusim, ekonomi Singapura berkembang 0.1 peratus pada suku pertama 2024, turun daripada pertumbuhan 1.2 peratus pada suku keempat 2023.

Demikian menurut anggaran awal yang dikeluarkan pada 12 April oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Ketua ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, menyatakan pertumbuhan suku ke suku itu adalah yang paling perlahan sejak suku pertama 2023. Ia juga lebih rendah daripada unjuran 0.5 peratus yang diramalkan oleh penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.


Berbanding tempoh sama tahun lalu, ekonomi berkembang 2.7 peratus, lebih tinggi daripada 2.2 peratus pada suku keempat 2023.

Bagaimanapun, angka ini juga terlepas daripada ramalan Bloomberg yang sebanyak 3 peratus.


Tetapi Cik Ling berkata: “Yang penting, tiada perubahan pada unjuran pertumbuhan rasmi 2024 yang sebanyak 1 peratus hingga 3 peratus tahun ke tahun, atau ramalan inflasi teras 2.5 peratus hingga 3.5 peratus.

“Pertumbuhan Singapura dijangka mengukuh pada suku 2024 berikutnya, berdasarkan peningkatan dalam sektor perkilangan, terutamanya bagi elektronik, dan diiringi oleh sektor kewangan dengan jangkaan bahawa kesanggupan mengambil risiko harus dirangsang oleh kitaran pelonggaran dasar kewangan global pada separuh kedua 2024.”

Pakar ekonomi Maybank, Dr Chua Hak Bin, berkata ekonomi Singapura sedang berkembang sekali lagi, tetapi pertumbuhannya agak tidak setara.

Beliau berkata pemulihan sektor perkilangan dan elektronik lebih lemah daripada yang dijangka, manakala industri perkhidmatan rancak kerana pengecualian visa bagi pelancong China, sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan lebih kukuh, dan rangsangan konsert Taylor Swift.

Dalam sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan secara kolektif meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama – naik daripada 1 peratus pada suku sebelumnya.

Sektor kewangan dan insurans, maklumat dan komunikasi, serta perkhidmatan profesional meningkat 4.2 peratus pada suku pertama, lebih cepat daripada pertumbuhan 3.6 peratus pada suku sebelumnya.

MTI berkata pertumbuhan dalam sektor maklumat dan komunikasi disokong oleh permintaan kukuh yang berterusan bagi teknologi maklumat dan huraian digital.

Perkhidmatan penginapan dan makanan, hartanah, pentadbiran dan sokongan serta sektor perkhidmatan lain berkembang 2.9 peratus pada suku pertama – meningkat daripada 2 peratus pada suku sebelumnya.

Bagaimanapun, pertumbuhan sektor perkilangan agak perlahan kepada 0.8 peratus pada suku pertama – lebih rendah daripada pengembangan 1.4 peratus pada suku sebelumnya.

Sektor pembinaan berkembang 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama, turun daripada pertumbuhan 5.2 peratus pada suku sebelumnya, diterajui oleh penurunan dalam pengeluaran pembinaan sektor swasta.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >