Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Rakyat M’sia perlu tunggu 146 tahun untuk tunai haji

Tabung Haji perjelas sebab dan usaha pendekkan tempoh menunggu yang lama, termasuk merayu kuota tambahan, perkenal pelbagai inisiatif 
Jun 10, 2023 | 05:30 AM



Rakyat Malaysia perlu menunggu sekitar 146 tahun untuk mengerjakan ibadah haji dan kerajaan negara itu mengambil maklum perkara tersebut serta akan terus memohon bantuan daripada Arab Saudi untuk mendapatkan kuota tambahan.

Mendedahkan perkara itu secara eksklusif kepada Berita Harian (BH) Singapura, dalam satu jawapan bertulis pada Khamis, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman, berkata kini terdapat seramai 3.8 juta rakyat Malaysia yang telah mendaftarkan nama dan meletakkan sejumlah deposit (pendeposit) dan menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.


“Tahun ini, kerajaan Arab Saudi telah meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

“TH mengamalkan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep ‘Mendaftar Dahulu, Didahulukan’, yang dilaksanakan sejak 1995.

“Tempoh menunggu yang lama bagi giliran tunai haji adalah disebabkan jumlah pendaftaran haji yang tinggi iaitu 3.8 juta orang, namun hanya 31,600 orang dibenarkan menunaikan haji dari Malaysia setiap tahun.

“Bagi yang baru daftar, tempoh menunggu adalah anggaran sekitar 146 tahun,” jelas Datuk Syed Saleh, yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia, sebagai menjawab pertanyaan BH mengenai tempoh menunggu bagi jemaah negara itu untuk menunaikan haji.


Bagi Singapura, kuota haji rasmi bagi jemaah Singapura adalah seramai 900 orang, manakala jumlah yang telah mendaftar dalam Sistem Pendaftaran Haji Awal (AHRS) sehingga April 2023, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), ialah seramai 48,000 orang.

Menurut laman rasmi Direktorat Jenderal Penyelenggaraan Haji dan Umrah Kementerian Agama Republik Indonesia, tempoh menunggu giliran bagi jemaahnya bergantung pada kuota wilayah, daerah, kota dan pakej haji sama ada ‘haji reguler’ (yang diuruskan pemerintah) atau ‘haji khusus’ iaitu antara belasan hingga 40-an tahun.

Menyambung penjelasannya mengenai inisiatif TH untuk mengurangkan tempoh menunggu itu, Datuk Syed Saleh menambah:

“TH ambil maklum akan tempoh menunggu giliran haji adalah lama. Bagaimanapun, TH akan terus memohon bantuan daripada Arab Saudi untuk menambah kuota bagi jemaah haji Malaysia.

“Pada masa yang sama, TH telah menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji, tidak lagi dibenarkan mendaftar haji semula untuk mengerjakan ibadat berkenaan buat kali kedua.

“Bakal jemaah haji juga boleh membuat rayuan untuk mengerjakan haji walaupun di luar tahun giliran kerana kebiasaannya akan ada bakal jemaah yang akan menunda giliran mereka atas pelbagai sebab seperti kesihatan dan pendidikan anak.

“Keutamaan bagi rayuan haji adalah bagi rayuan mereka yang lanjut usia dan juga rayuan mahram.”

Menurut Datuk Syed Saleh lagi, kuota haji rasmi negara-negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia, adalah berpandukan pada Mesyuarat OIC pada 1988 di Amman, Jordan.

Saudi telah menetapkan kuota haji bagi setiap negara pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Oleh itu, katanya, penentuan tahun giliran menunaikan haji di Malaysia adalah berdasarkan siapa yang ‘mendaftar dahulu, didahulukan’.

“Sehubungan itu, pemilihan bakal haji untuk menunaikan fardu haji setiap tahun adalah berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji mereka.

“Tawaran untuk menunaikan haji ke Tanah Suci akan dibuat kepada mereka yang telah tiba giliran pada tahun semasa.

“Melalui sistem pendaftaran terbuka ini, pendeposit TH boleh mendaftar menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1,300 ($381),” ujar beliau.

Datuk Syed Saleh menambah, setiap pendeposit yang telah mendaftar akan diberi giliran tahun peruntukan menunaikan haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

Dalam jawapan bertulisnya, beliau berkata TH juga telah mengambil inisiatif untuk mempromosi pendaftaran haji seawal mungkin bagi memudahkan pendeposit menunaikan haji.

“Sebagai contoh, ibu bapa boleh membuka akaun TH serta mendaftar haji buat anak yang baru lahir dan mula membuat simpanan.

“Hasil usaha promosi ini, semakin ramai ibu bapa telah membuka akaun TH dan mendaftar haji bagi anak mereka,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >