Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sidang Puncak Asean ke-42

Asean perlu kekal bersepadu, bersatu atasi cabaran dunia berubah bersama: PM Lee

May 10, 2023 | 12:00 PM



LABUAN BAJO: Asean perlu kekal bersepadu dan bersatu di peringkat tertinggi supaya ia dapat terus memperdalam kerjasama, termasuk dalam usaha membangun ekonomi dan hal antara negara, berlatar dunia yang bermasalah, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.





Ini memerlukan sokongan politik yang kuat, tambah Encik Lee, sementara Asean berusaha memperkukuh institusi tersebut dan menggapai wawasan yang dikongsi bagi masa depan Asean.





“Semasa pandemik, negara anggota Asean bekerjasama dengan baik.

“Berdasarkan pandangan dunia yang bermasalah, kita harus terus bersepadu dan bersatu di peringkat tertinggi, termasuk mendakap wawasan yang dikongsi bagi masa depan Asean,” kata Encik Lee.





Menambah, Encik Lee berkata wawasan pasca 2025 itu, antara lain menggesa negara anggota bersikap kekal terbuka, telus dan inklusif dan berurusan berdasarkan undang-undang, selain mengadakan hubungan luar yang lebih mendalam.





Ini termasuk mencari bidang kerjasama baru, termasuk dalam kemampanan, keselamatan siber dan dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau, kata Encik Lee.





“Singapura mengalu-alukan usaha menyemak keupayaan (capacity) dan keberkesanan institusi Asean. Kita harus menyelaras dan mengoptimumkan proses Asean serta memperkukuh Sekretariat Asean dan peranan Setiausaha Agung Asean untuk membolehkan mereka melaksanakan perkara yang diutamakan dengan lebih berkesan,” kata beliau lagi.





Encik Lee berkata demikian dalam ucapannya di hari pertama Sidang Puncak Asean ke-42 di Labuan Bajo di Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada 10 Mei.





Bercakap dalam sesi pleno di sidang puncak di Pusat Konvensyen Meruorah itu, Encik Lee berkata walau dunia telah mengharungi cabaran pandemik Covid-19, keadaan masih tidak menentu dan terus bermasalah.





Namun Asean perlu teruskan usaha menyepadukan rantau ini, kata beliau.

Selain itu, Encik Lee juga berkata Asean harus memperdalam kerjasama ekonomi dan memperluas kerjasama ini ke bidang pertumbuhan baru seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau.





Berhubung ekonomi digital, Encik Lee berkata Singapura menyokong kuat usaha Indonesia membangun Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (DEFA) dan mengalu-alukan Kenyataan Ketua yang mengusul untuk membangun DEFA, dan dijangka dikeluarkan tahun ini. 





“Kita boleh meraih manfaat ekonomi besar dengan memperbaiki keterhubungan digital dan pemahaman digital rakyat masing-masing,” kata Encik Lee.





Menyentuh berkenaan ekonomi hijau pula, Encik Lee menampilkan Projek Penyepaduan Kuasa (Elektrik) Laos-Thailand-Malaysia-Singapura sebagai contoh perdagangan kuasa elektrik berbilang negara di rantau ini boleh dilakukan,.

Beliau menggesa negara anggota Asean berusaha membangunkan Grid Kuasa (Elektrik) Asean, yang akan memperkukuh keterjaminan dan keselamatan tenaga bagi negara anggota Asean dan memajukan usaha serantau untuk kian kurang bergantung pada karbon.





“Penyepaduan ekonomi telah lama menjadi keutamaan Asean dan harus kekal sedemikian,” kata Encik Lee, yang berkata ini adalah asas kepentingan Asean atau Asean Centrality. 

“Kita harus mengemas kini dan mempertingkat perjanjian-perjanjian teras kita, seperti Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (ATIGA), supaya ia terus relevan kepada amalan perniagaan yang berubah.”





Melebihi kerjasama ekonomi, Asean harus mempertingkat kerjasama bagi isu antara negara, termasuk melindungi rakyat dari ancaman merentas sempadan yang kian canggih, kata Encik Lee, dalam menyuarakan sokongan Singapura bagi inisiatif Indonesia berhubungn Pengisytiharan Menentang Perdagangan Manusia menerusi Salah Guna Teknologi





Menggesa kerjasama dipertingkat dalam keselamatan siber, Encik Lee berkata ada kemajuan baik bagi usulan Pasukan Respons Kecemasan Komputer Serantau Asean (CERT)





“Ini akan memperkukuh kerjasama siber serantau dan keupayaan respons bagi insiden Asean dalam menentang ancaman siber canggih,” kata Encik Lee.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >