Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PANDANGAN

Cabaran Anwar terajui kerajaan, kukuh hubungan antara kaum rakyat M'sia

BASIR SISWO Koresponden BM di KUALA LUMPUR

Nov 27, 2022 | 07:45 AM



KETIBAAN Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra kelmarin, disambut para pegawai tinggi kerajaan, dengan senyuman yang beralaskan pelbagai cabaran.



Datuk Seri Anwar, 75 tahun, yang dilihat segak berbaju Melayu - lengkap bersongkok, bersamping dan memakai capal - dalam keceriaannya seakan mengakui hal ini.



Malah, semasa ditemui pihak media, beliau secara terus terang menyatakan, keutamaan pertamanya adalah dalam meringankan bebanan rakyat, dengan mengurangkan kos sara hidup mereka yang semakin meningkat.



Jika tiada aral melintang, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dijangka bertemu dengan jabatan dan agensi kerajaan esok.



"Saya masih berasa keutamaan harus diberikan terhadap kos sara hidup dan harga barangan yang mencengkam serta menekan kehidupan rakyat," ujar tokoh politik asal Pulau Pinang itu.



Malah, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Datuk Seri Anwar mengekalkan empat inisiatif yang dijanjikan pentadbiran terdahulu kepada penjawat awam, termasuk Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas RM100 ($30.71) mulai Januari tahun depan.



Tiga lagi inisiatif terbabit ialah Bantuan Khas Kewangan RM700 ($214.95) juga bermula Januari tahun depan, Bantuan Khas Kewangan untuk Pesara (RM350) dan Bantuan Khas Aidilfitri RM600 mulai Mac 2023.



Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat, berkata, keempat-empat perkara ini berkait "segala pengorbanan dilakukan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab sebagai jentera pentadbiran negara".



Dianggarkan ada kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara diduduki seramai 32.7 juta orang itu - di mana 69.9 peratus adalah kaum Melayu dan Bumiputera.



Ramai penganalisis politik berpendapat, perlantikan Datuk Seri Anwar bertepatan waktu di kala negara memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat di saat suasana politik kurang menentu sejak empat tahun lalu.



Namun begitu, apakah takrif sebenar kerajaan perpaduan berbanding kerajaan gabungan?



Menjawab hal ini, Datuk Seri Anwar berkata, parti komponen Kerajaan Perpaduan akan mengusulkan nama yang diperlukan.



"Kita kena faham bahawa Kerajaan Perpaduan bermakna seorang Perdana Menteri harus merujuk parti masing-masing dan (parti terbabit) akan mengusulkan nama.



"Saya harus memberikan pertimbangan sedemikian," katanya dan memberi jaminan "ia akan diselesaikan sesegera mungkin".



Menariknya, sebaik sahaja dilantik mengetuai Kerajaan, Datuk Seri Anwar berlapang dada mengundang Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Seri Muhyiddin Yasin menyertai kerajaan perpaduan yang dibentuk.



Matlamatnya ialah untuk meredakan kesangsian ramai pengundi Melayu luar bandar yang menyokong PN tentang komitmen beliau pada mereka.



Malangnya, undangan itu ditolak PN yang mengambil keputusan bertindak sebagai pembangkang untuk memeriksa dan mengimbangi dasar-dasar kerajaan persekutuan.



Satu lagi cabaran terbesar Datuk Seri Anwar adalah merapatkan saf dan jurang perbezaan antara kaum Melayu dan bukan Melayu.



Ini kerana gandingannya bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP) sering memberi gambaran seakan-akan beliau bersimpati dengan politik perkauman parti itu yang sudah lama menjadi keresahan masyarakat Melayu.



Oleh kerana itu, langkah DAP memohon maaf pada rakyat dan kerajaan Sarawak baru-baru ini untuk menjernihkan keadaan disambut baik.



Tetapi timbul persoalan sama ada DAP juga perlu meminta maaf pada kaum Melayu di semenanjung?



Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, di Facebook menyarankan DAP berbuat demikian bagi meredakan perasaan masyarakat majoriti Malaysia.



Saranan Datuk Dr Mohd Asri itu mencetuskan pelbagai reaksi, malah ada yang menyarankan parti politik Melayu turut mohon maaf kepada masyarakat bukan Melayu kerana mereka juga sering menimbulkan sentimen perkauman.



Cabaran utama kerajaan perpaduan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim bukan saja untuk mendamaikan perbezaan agenda pelbagai parti politik demi kesejahteraan negara tetapi juga menjalin perpaduan kaum yang lebih teguh.



Yang jelas dapat dirasakan ialah reaksi rakyat yang agak berbeza berbanding 2018 semasa PH menumbangkan BN dan melantik Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.



Hampir sepanjang hari kelmarin, stesen radio berbahasa Inggeris sekan-akan meraikan perlantikan Dato Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai ucapan tahniah tanpa henti.



Ia mencerminkan suara hati golongan muda pelbagai kaum yang membawa gelombang perubahan tsunami politik menyokong perjuangan seorang pemimpin mengatasi pelbagai rintangan lebih dua dekad untuk menjadi Perdana Menteri sebuah kerajaan perpaduan.



Ramai penganalisis ekonomi berpendapat perlantikan Dato Seri Anwar Ibrahim akan merancakkan lagi pemulihan ekonomi negara kerana para pelabur berasa lebih yakin beliau akan berupaya memimpin sebuah kerajaan yang lebih mantap.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >