Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Calon presiden Indonesia Ganjar hadapi cabaran besar ekoran langkah Jokowi sokong calon bukan parti sendiri

Feb 12, 2024 | 04:32 PM



JAKARTA: Sebagai bekas gabenor daripada luar kumpulan elit politik dan tentera Indonesia, Encik Ganjar Pranowo bergantung pada daya tarikan popular dan daya tarikan rakyat untuk terus kekal dalam Pilihan Raya Presiden pada 14 Februari.

Dengan latar belakang seorang yang sederhana, mesra, dan hampir sama perwatakan seperti presiden dua penggal Encik Joko Widodo (Jokowi), Encik Ganjar mulanya dijangka boleh berjaya, dengan sokongan Encik Jokowi yang amat popular.

Tetapi pengaruh politik Encik Ganjar banyak merosot selepas Encik Jokowi ‘mengkhianati’ parti sendiri dan mula secara tidak langsung berkempen untuk calon bekas lawannya dan bekas anggota tentera Encik Prabowo Subianto.

Encik Ganjar kini mendapati dirinya berada di tempat rumit, terikat dengan kempen dan visi politik yang dibentuk Encik Jokowi, tetapi tanpa sokongan pentingnya.

Encik Ganjar telah menolak sokongan Encik Jokowi kepada Encik Prabowo sebagai “politik”, dan segera menggandakan agenda popularnya yang telah membantunya memenangi dua penggal sebagai gabenor Jawa Tengah, sambil berjanji mewujudkan 17 juta pekerjaan baru, mengembangkan kebajikan sosial, dan meningkatkan akses pendidikan kepada golongan miskin jika dipilih sebagai presiden.

Anak kepada seorang anggota polis yang keluarganya mengendalikan gerai kecil, bekas aktivis pelajar berusia 55 tahun itu telah berkhidmat di wilayah Jawa Tengah selama dua dekad, dengan dua penggal masing-masing sebagai ahli Parlimen dan gabenor.

Encik Ganjar membina reputasi pada dasar promiskin yang mengurangkan kadar faedah bagi pinjaman mikro, membantu petani membeli baja, dan mewajibkan kakitangan awam untuk memberi 2.5 peratus daripada gaji bulanan mereka untuk menyokong program kesihatan, pendidikan dan bantuan bencana.

Tetapi beberapa isu telah menjejas rekod pencapaian beliau, termasuk keputusan kontroversial pada 2023 untuk menghalang Israel daripada mengambil bahagian dalam Piala Dunia Bola Sepak Bawah 20 tahun, dengan Indonesia kemudian digugurkan sebagai tuan rumah.

Pada 2016, beliau menghadapi bantahan meluas oleh petani berkaitan pembinaan kilang simen yang diluluskannya.

Encik Ganjar telah memberi tumpuan kepada kempen akar umbi yang sengit, melawat masyarakat miskin dan tinggal semalaman di rumah kampung yang sederhana. Dalam talian, penyokong melihatnya sebagai berimej aktif dan gemar bersukan.

“Kekuatan kami adalah untuk terus bergerak, bertemu rakyat dan menggerakkan semua sumber yang kami ada,” katanya pada Disember 2023.

Namun beliau masih terkebelakang dalam tinjauan pilihan raya kali ini dengan ketinggalan 32 mata di belakang Encik Prabowo dalam satu tinjauan yang dikeluarkan lewat minggu lalu oleh Indikator politik dan Lembaga Survei Indonesia, walaupun tidak jauh di belakang calon ketiga, bekas gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan.

Di bawah peraturan pilihan raya Indonesia, jika tidak ada calon yang mendapat lebih 50 peratus undi, pertandingan itu akan berlangsung dalam pusingan kedua antara dua calon teratas pada Jun depan. – Reuters




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >