Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

DAP ambil langkah strategik, ketengah calon Melayu

Nov 04, 2022 | 05:30 AM



SEORANG wanita Melayu berbaju kebaya pendek kelihatan tersenyum manis dan begitu mesra berbual dengan penduduk masyarakat Cina di sebuah kawasan pedalaman Pahang.



Cik Young Syefura Othman berusia 28 tahun sewaktu saya kali pertama bertemu beliau sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 pada 2018.



Hampir 45 peratus penduduk kampung di Ketari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang adalah masyarakat Cina.



Namun beliau diberi keyakinan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding di kawasan yang pernah menjadi kubu kuat Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Barisan Nasional (BN).



Kemenangan Cik Young Syefura yang mesra dengan panggilan YB Rara adalah satu kejutan dan kemenangan besar bagi DAP yang sering dianggap hanya mewakili kepentingan masyarakat Cina.



Untuk PRU15 akan datang, beliau diberi tanggungjawab lebih besar iaitu bertanding bagi kerusi Parlimen Bentong di Pahang.



Langkah ini adalah sebahagian usaha DAP menjadikan PRU15 detik perubahan persepsi pengundi Melayu tentang imej parti itu.



DAP akan bertanding di lapan kerusi DUN Pahang dan empat kerusi Parlimen, menampilkan tiga calon Melayu.



Selain Cik Young Syefura, dua lagi muka baru ialah Tengku Zulpuri bagi kerusi Parlimen Lipis dan Encik Mohammad Khairil bagi kerusi DUN Pulau Manis.



Menurut Setiausaha Agung DAP yang baru dilantik, Encik Anthony Loke, strategi jangka panjang itu adalah untuk merubah naratif parti itu yang sering digambarkan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.



"Di peringkat nasional, ini adalah naratif penting bagi kami kerana mulai PRU ini kami mahu mengunjurkan calon barisan berbilang kaum.



"Secara keseluruhan saya mahu menjadikan PRU ini untuk mengubah imej DAP dari segi pencalonan parti.



"Sebab itulah anda akan melihat ada sejumlah calon Melayu,' kata Encik Loke dalam satu wawancara dengan media Malaysiakini.



Dua lagi calon Melayu yang dicalonkan DAP untuk bertanding di kerusi Parlimen ialah Encik Syahredzan Johan di Bangi dan Sheikh Umar Bagharib Ali di Ayer Hitam.



Namun pencalonan Cik Young Syefura di Bentong kelihatan membawa risiko besar kerana dibantah Ahli Parlimen DAP yang memenangi PRU14, Encik Wong Tak.



Cik Young Syefura adalah Timbalan Ketua Belia DAP dan mempunyai pengalaman empat tahun sebagai Adun Ketari yang juga sebahagian daripada Parlimen Bentong,



Namun keupayaan beliau disangsikan kerana Bentong adalah kawasan lebih luas dengan penduduk hampir 70 ribu orang - tiga kali lebih ramai daripada Ketari.



Walaupun peratusan antara penduduk Melayu dan Cina di Bentong hampir serupa dengan Ketari, ia mempunyai ramai penyokong kuat BN-MCA.



Ini dirumitkan lagi kerana beliau bakal dicabar oleh Encik Wong, rakan parti sendiri yang dilaporkan akan bertanding sebagai calon bebas.



Menurut para penganalisis politik, langkah mengubah naratif politik DAP itu bertujuan melembutkan imej parti itu bukan sahaja di kalangan pengundi Melayu tetapi juga pemimpin parti lawan terutama dalam Umno.



Ini adalah untuk menghadapi kemungkinan BN-Umno perlu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP untuk membentuk satu kerajaan campuran.



Ramai penganalisis politik meramalkan tidak ada satu parti yang akan berupaya memenangi majoriti besar kerusi Parlimen dalam PRU15 ini untuk membentuk kerajaan yang mantap.




"Secara keseluruhan saya mahu menjadikan PRU ini untuk mengubah imej DAP dari segi pencalonan parti. Sebab itulah anda akan melihat ada sejumlah calon Melayu."
- Encik Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP.




  • Penulis mantan wartawan kanan BH yang kini menetap di Kuala Lumpur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >