Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA: MALAYSIA

Implikasi di sebalik usaha mohon ampun diraja Najib

Apr 29, 2023 | 05:30 AM



PARTI Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) tampaknya mengharapkan 'sentuhan' mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak dalam berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung tidak beberapa lama lagi.



Menyusuli kekalahan yang signifikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Umno dikhuatiri akan terus kecundang dan menjejas reputasinya.



Sebilangan penganalisis melihat permohonan pengampunan diraja untuk Encik Najib antara lain dilihat dapat menghindari kekalahan Umno seperti dalam PRU-15.



Bagi sesetengah pemerhati, pembebasan mantan Perdana Menteri itu (jika mendapat pengampunan awal) dikatakan dapat mengembalikan sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN).



Namun ada yang berpendapat ia bukanlah satu strategi yang bijak - sebaliknya langkah tersebut seolah-olah memberi amunisi politik kepada pihak pembangkang untuk menyerang Umno.



Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata:



"Kesan yang paling jelas pengampunan Najib akan menjejas kelangsungan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.



"Dengan Najib layak bertanding dalam pilihan raya dan masih popular dalam Umno, pembebasannya akan membawa kepada kehancuran kerajaan perpaduan dari dalam.



"Ia secara serius akan menjejas reputasi PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan memberikan senjata kepada parti (Parti Islam Se-Malaysia) PAS dan (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) Bersatu yang telah mempersoalkan tentang moral awam.



"Banyak yang dipertaruhkan dalam landskap politik Malaysia ini.''



Terdahulu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memohon pertimbangan supaya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi pengampunan penuh kepada Encik Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International.



Pembebasan Encik Najib diyakini memiliki potensi untuk mengembalikan suara Melayu kepada BN yang telah menyaksikan Bossku (gelaran Encik Najib) menjadi faktor utama kemenangan Umno dalam PRN Johor dan Melaka.



Namun perubahan suara Melayu dalam PRU15 terhadap Umno adalah hasil penolakan mereka terhadap korupsi.



Terjadi pergeseran suara pengundi Melayu ke Perikatan Nasional (PN), yang menyebabkan beberapa benteng kuat BN dan Pakatan Harapan (PH) jatuh.



PN muncul sebagai blok kedua terbesar setelah PH dengan meraih 74 kerusi, sedangkan BN mengalami kekalahan yang amat teruk dengan hanya memperoleh 30 kerusi - ia juga merupakan kekalahan terburuk dalam sejarah koalisi tersebut.



Penganalisis kanan ehwal antarabangsa, Dr Mustafa Izzuddin, dari firma Solaris Strategies Singapore, pula berpendapat:



"Bagi pengkritik dan mereka yang skeptik, pengampunan ini menggambarkan bahawa tiada apa yang benar-benar berubah di Malaysia dalam menangani rasuah politik secara adil dan berkesan.



"Ini walaupun terdapat perubahan kepada kerajaan yang lebih reformis, dan kerajaan di bawah Anwar Ibrahim yang berikrar melaksanakan toleransi sifar terhadap rasuah.



"Bagi mereka, kerajaan telah gagal disebabkan oleh kepentingan politik dan Anwar perlu mengekalkan kerajaan perpaduan dan dirinya sebagai Perdana Menteri."



Kini terdapat ura-ura bahawa pemimpin di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu sepakat bahawa masa paling sesuai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan PRN adalah dalam dua minggu terakhir Jun.



Pemerhati politik, Dr Oh Ei Sun, yang juga Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, tidak menolak kemungkinan bahawa Encik Najib bakal mendapat pengampunan diraja.



"Golongan progresif mungkin terlalu kecewa sehingga mereka enggan keluar mengundi pada pilihan raya negeri akan datang, sekali gus boleh memberikan kemenangan kepada PAS yang tersusun rapi dan seterusnya Bersatu yang cekap menggerakkan pengundi mereka.



"Tetapi ada juga aliran pemikiran bahawa Bossku yang telah dibebaskan boleh turun padang untuk berkempen bagi Umno dan berharap Umno dapat menang semula beberapa kerusi seperti yang dilakukannya dalam kemenangannya di Melaka dan Johor.''



Namun Profesor Madya Tan berpendapat sebaliknya dan katanya jika mengikut merit, tidak ada asas bagi mantan Perdana Menteri itu menerima pengampunan diraja.



"Ini lebih-lebih lagi terdapat keresahan di kalangan orang ramai sekiranya Najib diampunkan. Ia berpotensi melihat institusi pengampunan diraja mahu dimansuhkan."




PANDANGAN 1



"Dengan Najib layak bertanding dalam pilihan raya dan masih popular dalam Umno, pembebasannya akan membawa kepada kehancuran kerajaan perpaduan dari dalam. Ia secara serius akan menjejas reputasi PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan memberikan senjata kepada parti (Parti Islam Se-Malaysia) PAS dan (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) Bersatu yang telah mempersoalkan tentang moral awam. Banyak yang dipertaruhkan dalam landskap politik Malaysia ini.''
- Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).



PANDANGAN 2



"Bagi pengkritik dan mereka yang skeptik, pengampunan ini menggambarkan bahawa tiada apa yang benar-benar berubah di Malaysia dalam menangani rasuah politik secara adil dan berkesan. Ini walaupun terdapat perubahan kepada kerajaan yang lebih reformis, dan kerajaan di bawah Anwar Ibrahim yang berikrar melaksanakan toleransi sifar terhadap rasuah."
- Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan ehwal antarabangsa dari firma Solaris Strategies Singapore.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >