Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Keputusan mahkamah 2 pemimpin Umno boleh kuatkan parti, tingkat peluang pilihan raya: penganalisis

Oct 08, 2022 | 05:30 AM



DUA pemimpin parti Umno menjadi perhatian dalam beberapa minggu lalu.



Pertama, bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ($65.75 juta) pada lewat Ogos lalu selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta ($13.15 juta) milik SRC International Sdn Bhd.



Selain itu, Presiden Umno yang juga bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini pula dibebaskan daripada semua 40 tuduhan rasuah melibatkan kes Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).



Namun, beliau sedang dibicarakan atas kes pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan wang Yayasan Akalbudi.



Apakah kesan dua keputusan kehakiman itu ke atas Umno dan juga peluang parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PU15) akan datang, yang diramalkan beberapa pihak bakal diadakan tahun ini?



UMNO SEMAKIN KUAT?



Pengamat menyatakan dua perkembangan itu, khususnya pembebasan Datuk Ahmad Zahid, boleh menguatkan Umno di samping mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden Umno.



Felo Kanan Akademi Nusantara NASR, Profesor Azmi Hassan, berkata keputusan mahkamah itu memberi kesan positif kepada Umno.



"Pembebasan tuduhan Ahmad Zahid akan menguatkan struktur kepimpinan Umno kerana umumnya beliau akan kurang dikaitkan dengan apa yang disebut pembangkang sebagai pemimpin kluster mahkamah.



"Ia juga akan memberi kebebasan kepada Ahmad Zahid untuk menasihati atau mendesak PM Ismail Sabri tentang tarikh paling sesuai dibubarkan Parlimen dan diadakan PRU15



"Sebelumnya, Ahmad Zahid sering dituduh bersungguh-sungguh mahu adakan PRU15 demi menyelamatkan dirinya daripada pertuduhan mahkamah," katanya kepada Berita Harian (BH).



Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata dua perkembangan itu mendorong Umno untuk cuba membuktikan bahawa selama Pakatan Harapan (PH) berkuasa sebelum ini, terdapat pertuduhan terpilih dilaksanakan.



"Naratif ini memberi kesan kepada keyakinan akar umbi Umno untuk bangkit dan melawan PH dengan lebih bersemangat pada PRU15.



"Keputusan mahkamah ke atas Umno secara dalamannya, terutama kes Ahmad Zahid, memberi kesan besar apabila label kluster mahkamah tidak lagi dilihat relevan digunakan sebagai naratif pembangkang.



"Maka mereka (pembangkang) dilihat guna isu seperti bencana banjir dan inflasi untuk berdepan dengan BN (Barisan Nasional) yang diketuai Umno," katanya.



KES NAJIB



Mengenai Encik Najib yang disabitkan kesalahan pula, Profesor Azmi berkata adalah satu strategi bijak bagi Umno untuk tidak memutuskan hubungannya dengan Encik Najib, yang masih berpengaruh di kalangan penduduk Melayu, walaupun dia kini dalam penjara.



"Umno menggunakan naratif bahawa Najib tidak diberi peluang pengadilan sepenuhnya untuk pertahankan diri seperti mahkamah menolak penggunaan Queen Counsel, menolak bukti baru, dan tidak memberi peluang kepada barisan peguam baru Najib bersedia.



"Jadi naratif ini digunakan sebagai Najib menjadi orang yang teraniaya, dan dalam masyarakat Melayu, orang yang teraniaya mudah mendapat simpati, dan simpati ini bukan sahaja ditujukan kepada Najib bahkan juga Umno, kerana Najib sinonim dengan Umno," jelasnya.



PELUANG UMNO DALAM PRU15



Mengenai peluang Umno jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat, Profesor Awang Azman berkata peluang parti itu menang bertambah besar.



Mentelah, pembangkang masih kurang bersatu sesama mereka.



Profesor Azmi pula berkata ekoran keputusan kehakiman kes Encik Najib dan Datuk Ahmad Zahid, Umno dilihat bertambah kuat, termasuk dalam kalangan akar umbi dan penyokongnya.



"Perkara ini akan memberi kesan langsung kepada peluang Umno dalam PRU15, dengan menguatkan parti itu dalam kalangan pemimpin dan penyokongnya.



"Ia juga membuatkan strategi pembangkang serba salah yang selama ini menggunakan strategi bahawa Umno dikawal pemimpin kluster mahkamah seperti Najib dan Ahmad Zahid," katanya.



Memandangkan Encik Najib sudah dipenjara dan Datuk Ahmad Zahid dibebaskan dalam satu kes rasuah besar, justeru boleh dianggap bahawa tiada lagi kluster mahkamah dalam Umno katanya.



"Mentelah pembangkang sendiri lemah kerana tiada kesepakatan dalam kalangan mereka, dan ini juga membuatkan Umno kelihatan kuat," jelas Profesor Azmi.



Beliau menambah, Umno dalam keadaan baik menjelang PRU15 kerana dalam kalangan akar umbi dan penyokong Umno kini hampir 100 peratus menyokong parti itu, tidak seperti PRU lalu di mana berlaku sokongan berbelah bahagi terhadap calon Umno sendiri.



Pembangkang pula lebih mahukan PRU15 diadakan tahun depan, dengan alasan musim banjir sudah begitu dekat dan akan menyusahkan rakyat jika pilihan raya diadakan pada lewat tahun ini.



Ia juga berusaha mengelak pertandingan tiga penjuru atau lebih, yang jika berlaku boleh meningkatkan peluang BN menang dalam pertandingan seperti itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >