Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kontroversi Peguam Negara

Sep 02, 2022 | 05:08 AM



Sebaik sahaja mantan Perdana Menteri Najib Razak dipenjarakan 12 tahun atas kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dua minggu lalu,  isterinya Rosmah Mansor pula dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas kesalahan menerima rasuah.   



Pada masa yang sama, tiga lagi ahli politik Umno diheret ke mahkamah  juga atas tuduhan rasuah – Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan mantan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Azeez Abdul Rahim. 



Sejak Mei 2018, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN)-Umno tumbang, ramai ahli politik Umno diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah  dan salah guna kuasa.



Oleh kerana itu timbul tanggapan dan tuduhan bahawa Peguam Negara (AG) yang baru dilantik, Tan Seri Tommy Thomas, melakukan pendakwaan terpilih terhadap ahli politik Umno.  



Beliau dikatakan menerima arahan berbuat demikian oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad waktu itu.



Tuduhan itu semakin lantang disuarakan sejak Najib Razak dipenjarakan. Apatah lagi apabila  kes melibatkan isterinya dan Presiden Umno  Datuk Seri Zahid Hamidi dibicarakan di mahkamah hanya selang seminggu berikutnya.



 Walaupun  pada 2020, seorang AG baru, Tan Sri Idrus Harun, dilantik oleh kerajaan campuran Pakatan Nasional (PN) dan BN-Umno  yang dipimpin Tan Seri Muhyiddin Yassin, pihak Umno masih tetap dengan pendirian mereka.   



 Datuk Seri Zahid Hamidi  yang menghadapi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram mendakwa beliau menjadi mangsa pendakwaan bermotif politik. 



Menurutnya sejak 2018, lebih 20 pemimpin BN telah diheret ke mahkamah bagi menghadapi pendakwaan bermotif politik dan balas dendam sementara 15 pemimpin PH pula dibebaskan daripada pertuduhan masing-masing.



Isu perlantikan AG menjadi semakin panas apabila Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia) Datuk Seri Azalina Othman Said membangkitkannya dalam satu taklimat khas Umno baru-baru ini



"Pelantikan AG adalah atas nasihat PM dan PM harus melantik 'orang dia' sebagai peguam negara untuk mudahkan segala urusan.



"Jika kuasa penukaran AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM. Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh," katanya. 



Kenyataan itu mencetuskan pelbagai kritikan kerana ia membayangkan bahawa institusi pendakwaan negara dipengaruhi dan dikawal oleh seorang Perdana Menteri.



Akibat tengkarah itu, Datuk Seri Azalina meletakkan jawatan beberapa hari kemudian. 



Usul untuk memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah dibincangkan sejak 2021. 



Ia bertujuan menjamin aspek keadilan dan memenuhi prinsip keluhuran undang-undang serta mengelakkan berlakunya percanggahan kepentingan.



Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar, walaupun kerajaan pada prinsipnya setuju dengan usul itu, langkah tersebut  memerlukan kajian terperinci kerana melibatkan banyak implikasi perundangan dan pindaan Perlembagaan Persekutuan. 



Namun oleh kerana kontroversi  perlantikan AG itu semakin membara berikutan hukuman penjara Najib Razak, terdapat gesaan supaya pemisahan antara Pejabat  AG dan Pejabat Pendakwa Raya dilakukan sebelum Pilihan Raya  Umum 15(PRU 15).



Ini adalah untuk memastikan sekiranya kerajaan baru dibentuk selepas PRU15, tidak akan wujud lagi tuduhan bahawa AG baru yang dilantik akan dipengaruhi oleh sebarang parti politik. 



Tekanan politik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri kelihatan semakin memuncak.  



Keputusan beliau untuk membentangkan Belanjawan 2023 pada awal Oktober membayangkan PRU15 akan diadakan November tahun ini.  



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >