KAJANG (Selangor): Beberapa ekor kucing peliharaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mati dalam kebakaran di rumahnya di sini, hari ini. (22 Apr)
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, jentera dan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Kajang dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 1.30 petang, lapor Harian Metro.
"Dilaporkan kebakaran membabitkan sebuah rumah banglo dua tingkat milik Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden Umno itu.
"Kebakaran membabitkan bangunan kelas A terbakar 15 peratus di bahagian bilik simpanan kucing berukuran 1.85 meter persegi x 1.85 meter persegi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, kucing peliharaan keluarga Ahmad Zahid mati akibat lemas di dalam asap kebakaran itu dan ada yang terselamat, bagaimanapun jumlahnya tidak didedahkan.