Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tentera China teruskan latihan dekat Taiwan susuli lawatan penggubal AS ke Taipei

Aug 16, 2022 | 05:30 AM



TAIPEI/WASHINGTON: Tentera China mengumumkan ia sedang menjalankan latihan lanjutan berhampiran Taiwan semalam sedang satu kumpulan penggubal undang-undang Amerika Syarikat melawat pulau itu dan dijadual bertemu dengan Presiden Taiwan, Cik Tsai Ing-wen.



Delegasi itu tiba di Taiwan kelmarin bagi lawatan dua hari - kumpulan kedua peringkat tinggi Amerika yang melawat pulau itu.



Ini sedang terdapat ketegangan tentera antara pulau yang diperintah sendiri dengan China.



Beijing telah mula menjalankan latihan ketenteraan di sekitar pulau itu sebagai melahirkan kemarahannya terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Amerika, Cik Nancy Pelosi, ke Taipei pada awal bulan ini.



China menganggap Taiwan sebagai wilayah pemberontak yang sedang menantikan penyatuan semula dengan tanah besar, secara paksa jika perlu.



Taiwan berkata ia akan mempertahan kebebasan dan demokrasinya.



Kedutaan de facto Amerika di Taipei menyatakan delegasi itu diketuai Senator Encik Ed Markey, yang disertai empat anggota penggubal undang-undang Amerika, sebagai apa yang disifatkannya sebagai sebahagian lawatan lebih luas ke rantau Indo-Pasifik.



Tindak balas China terhadap lawatan penggubal AS tidak akan jejas Taiwan



Memberi butir lanjut latihan yang dilakukan pihaknya, pasukan tentera China yang bertanggungjawab di kawasan berdekatan Taiwan, Komand Kawasan Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), menyatakan ia telah mengadakan latihan sedia tempur bersama pelbagai perkhidmatan tentera di ruang laut dan udara sekitar Taiwan semalam.



Latihan itu adalah "tindak balas tegas kepada Amerika Syarikat dan Taiwan yang terus bermain helah politik dan menjejas keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan", tambahnya.



Kementerian Pertahanan China berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa lawatan penggubal undang-undang Amerika Syarikat itu melanggar kedaulatan dan kewibawaan wilayah China dan "mendedahkan sepenuhnya wajah sebenar Amerika Syarikat sebagai perosak keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan".



"Tentera Pembebasan Rakyat China terus berlatih dan bersiap sedia untuk berperang, dengan tegas mempertahankan kedaulatan negara dan kewibawaan wilayahnya, dan dengan tegas akan menghancurkan sebarang bentuk pemisahan 'kemerdekaan Taiwan' dan campur tangan asing".



Kedua-dua kenyataan itu tidak memberi butiran latihan tentera yang dilakukan.



Sementara itu, Perdana Menteri Taiwan, Encik Su Tseng-chang, berkata pihaknya tidak akan terjejas dengan tindak balas China terhadap lawatan itu oleh rakan asingnya.



"Kita tidak boleh berdiam diri sahaja kerana ada jiran jahat di sebelah kami dan tidak berani membenarkan pelawat atau rakan datang," katanya kepada pemberita.



Lawatan kali ini tidak berprofil tinggi seperti lawatan Cik Pelosi, dengan pertemuan Cik Tsai dengan kumpulan itu tidak disiarkan secara langsung di laman media sosialnya, yang merupakan amalan biasa apabila tetamu asing peringkat tinggi datang ke pulau itu.



Kumpulan itu meninggalkan Taiwan lewat petang semalam.



Kedutaan de facto Amerika di Taipei menyatakan sebelumnya kumpulan itu juga bertemu Menteri Luar Taiwan, Encik Joseph Wu, dan anggota jawatankuasa parlimen ehwal luar dan pertahanan.



Pejabat presiden Taiwan menyatakan kumpulan penggubal Amerika itu bertemu Cik Tsai pagi semalam.



"Pada masa China meningkatkan ketegangan di Selat Taiwan dan rantau ini dengan latihan ketenteraan, Encik Markey mengetuai delegasi untuk melawat Taiwan dan sekali lagi menunjukkan sokongan kukuh Kongres Amerika Syarikat kepada Taiwan," katanya dalam satu kenyataan.



Encik Markey mempengerusikan Jawatankuasa Kecil Perhubungan Luar Senat Asia Timur, Pasifik dan Keselamatan Siber Antarabangsa.



Kedutaan China di Washington berkata kelmarin bahawa "anggota Kongres Amerika harus bertindak selaras dengan dasar satu China yang dipegang pemerintah Amerika" dan berhujah lawatan terbaru anggota Kongres "sekali lagi membuktikan bahawa Amerika tidak mahu melihat kestabilan di seluruh Selat Taiwan, dan tidak melepaskan sebarang peluang untuk mencetuskan konfrontasi antara dua pihak dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman China".



Namun, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih pula berkata anggota Kongres telah pergi ke Taiwan selama beberapa dekad lalu dan akan terus berbuat demikian, sambil menambah bahawa lawatan sedemikian adalah mengikut dasar satu China yang telah lama diambil pihak Amerika. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >