Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SIDANG PUNCAK ASEAN KE-42

Timor-Leste tidak sendirian tempuhi cabaran jadi anggota Asean

May 11, 2023 | 05:30 AM



PROSES bagi Timor-Leste menjadi anggota Asean yang bermula sejak lebih sedekad lalu mendapat suntikan rangsangan yang diperlukan apabila ia diterima berdasarkan prinsip sebagai anggota pada 2022.



Perkembangan bersejarah itu antara lain merancakkan proses yang telah berlarutan itu dan mengalihkan tumpuan pada usaha membantu Timor-Leste memenuhi syarat-syarat tertentu dan menjadi anggota rasmi sebagaimana ditetapkan Asean menerusi road map atau peta jalan.



Menjadi anggota Asean adalah antara matlamat yang ditetapkan oleh pemimpin pengasas Timor-Leste dan sebagaimana yang dikatakan Perdana Menteri, Encik Taur Matan Ruak, dalam ucapan sulung di Sidang Puncak Asean pada 10 Mei, ia juga antara matlamat ehwal luar terpenting bagi negaranya.



Negaranya belum lagi menjadi anggota rasmi Asean, tetapi beliau diberi penghormatan menghadiri Sidang Puncak Asean ke-42 sebagai pemerhati.



Bagi saya, Encik Taur, yang dalam ucapannya itu turut memohon kerjasama dan sokongan daripada negara anggota Asean tidak perlu berasa bimbang ia keseorangan dalam usaha menjadi anggota Asean.



Sekurang-kurangnya dua negara, Singapura dan Indonesia, selaku pengerusi Asean kali ini, telah memberikan keyakinan kepada Timor-Leste bahawa sokongan yang diperlukan akan terus diberikan.



Dalam ucapannya di sesi pleno pada 10 Mei, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura akan terus membantu Timor-Leste membangun keupayaannya dalam usaha menyertai Asean.



Ini termasuk menerusi pakej latihan Sokongan Kesediaan Asean Singapura-Timor-Leste (STARS) yang dilancar pada Disember 2022, yang antara lain menawarkan pakej latihan bagi 300 pegawai Timor-Leste, merangkumi tujuh kursus.



Ini termasuk melatih pegawai sektor pendidikan, termasuk guru, pentadbir sekolah dan pegawai pendidikan teknikal dan vokasional.



Singapura, yang pada 2022 menyambut ulang tahun ke-20 hubungan diplomatik dengan Timor-Leste mempunyai hubungan jangka panjang yang kukuh dengan negara itu.



Singapura juga adalah rakan dagangan dan destinasi eksport utama bagi Timor-Leste pada 2021, dengan dagangan dua hala meningkat sehingga 46 peratus tahun demi tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda.



Presiden Timor-Leste, Encik José Ramos-Horta, juga mengadakan lawatan negara pertama ke Singapura pada Disember 2022, atas undangan Presiden Halimah Yacob.



Indonesia juga telah memberikan komitmen yang serupa untuk membantu Timor-Leste.



Semasa mengumumkan kehadiran Encik Taur di Sidang Puncak Asean ke-42 yang berlangsung 10 hingga 11 Mei ini sebagai pemerhati, jurucakap Kementerian Ehwal Luar Indonesia, Teuku Faizasyah, berkata perkembangan itu menunjukkan komitmen Indonesia untuk menggalak Timor-Leste menjadi anggota Asean.



"Indonesia, secara konsisten menyokong penerimaan Timor-Leste sebagai anggota Asean yang ke-11," kata Teuku Faizasyah.



Selaku pengerusi Asean, Indonesia berkata Kumpulan Bekerja Majlis Penyelarasan Asean bagi Timor-Leste akan memberi sokongan berterusan kepada Timor-Leste mencapai matlamatnya.



Semasa bertemu media di Labuan Bajo pada 8 Mei, Pengarah-Jeneral Kerjasama ASEAN, Encik Sidharto Suryodipuro, yang juga Ketua Pertemuan Pegawai Kanan Asean-Indonesia berkata beliau tidak dapat memberikan garis masa bila Timor-Leste akan menjadi anggota penuh Asean, tetapi berkata Indonesia sedang memainkan peranan untuk membantu.



Ini termasuk menawarkan program 'suai kenal' di Indonesia bagi sekumpulan 30 pegawai awam dari Timor-Leste. Antara lain, pegawai ini akan disertakan dalam beberapa agensi pemerintah yang relevan dengan tugas mereka supaya dapat menimba pengalaman dan pengetahuan.



Lebih banyak sokongan bagi Timor-Leste boleh diumumkan oleh negara anggota lain di masa depan.



Dalam pada itu, Encik Taur, saya duga, enggan Timor-Leste menjadi negara penerima bantuan semata-mata.



Dalam ucapannya pada 10 Mei, Encik Taur melakar wawasan kerjasama pertingkat dengan negara anggota Asean lain dalam sektor tenaga, pendidikan, khidmat kesihatan dan perkilangan untuk memberi manfaat bersama.



Beliau juga menggesa Asean memanfaatkan penglibatan Timor-Leste dalam Asean untuk menjalin hubungan yang dipertingkat antara satu sama lain yang boleh memakmurkan Asean.



Memberi sokongan kepada Timor-Leste bak melabur bagi masa depan Asean yang lebih kukuh.



Dan di akhir sidang puncak dua hari ini, Timor-Leste mungkin memperkukuh keyakinan negara muda itu akan sokongan padu yang diperlukan untuk menjadi anggota ke-11 Asean.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >