Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tindak tanduk Ismail Sabri jadi tumpuan

Oct 05, 2022 | 05:30 AM



SHAH ALAM: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus diperhatikan dengan teliti sepanjang minggu ini terutama hari esok apabila dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong.



Hanya beberapa hari selepas Majlis Tertinggi Umno memutuskan bahawa Parlimen mesti dibubarkan tahun ini, Perdana Menteri Malaysia itu hadir pada mesyuarat khas semalam dengan pemimpin Umno bahagian dan presiden parti.



Walaupun ia mungkin hanya pertemuan mingguan, terdapat banyak cakap-cakap bahawa persoalan perkenan Agong untuk pembubaran akan timbul semasa mesyuarat itu.



Sehari selepas Datuk Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, kerajaan akan membentangkan Bajet 2023.



Beberapa sumber, bagaimanapun, memperkecilkan pertemuan dengan Agong, mengatakan ia adalah hanya pertemuan mingguan, lapor The Star.



Perdana Menteri Malaysia itu biasanya bertemu Agong pada hari Selasa atau Rabu sebelum mesyuarat Kabinet mingguan tetapi kali ini, ia dijadualkan pada hari Khamis.



"Perdana Menteri dijangka memberi taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai Belanjawan yang akan dibentangkan pada hari berikutnya (Jumaat). Tidak pasti sama ada Perdana Menteri akan membawa perkara pembubaran Parlimen," kata sumber kepada The Star.



Menjawab spekulasi tersebut, Datuk Ismail Sabri berkata pertemuan esok dengan Agong adalah rutin biasa bagi membentangkan keputusan dibuat dalam Mesyuarat Kabinet.



"Kita tak tahu lagi bila akan bubar. Perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong lebih kepada Kabinet. Biasanya sebelum Mesyuarat Kabinet, saya akan persembahkan kepada Agong perkara yang dibincangkan, termasuk perkara berbangkit," katanya selepas sesi dialog awam Idea Bina Negara (IBN) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).



Datuk Ismail Sabri berkata kuasa mencadangkan pembubaran Parlimen berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Perdana Menteri dan tiada parti politik boleh mempengaruhi keputusan itu.



Datuk Ismail Sabri berkata pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.



Beliau berkata, Perdana Menteri terdahulu juga tidak pernah membincangkan secara terbuka mengenai tarikh pembubaran itu, sebaliknya memutuskan sendiri bila ia akan dibubar.



"Keputusan pembubaran ini tiada kena mengena dengan parti politik yang lain. Sebelum ini juga ia (tarikh) tidak pernah dibincangkan secara terbuka.



"Bukan setakat perbincangan dengan parti lain, dengan parti sendiri pun tiada perbincangan. Kita tidak pernah cakap secara terbuka mengenai tarikh pilihan raya itu. Parti lain pun tak pernah, parti sendiri pun tidak pernah," katanya.



Namun Datuk Ismail Sabri berkata, beliau tetap mengambil kira dan mendengar setiap cadangan yang diberikan dalam parti sendiri atau parti pembangkang.



"Dia (Perdana Menteri) rasa wajar untuk bubar, dia bubarlah. Jadi apa yang dicadangkan parti lain itu tidak boleh mengubah atau mempengaruhi dari segi pembubaran Parlimen.



"Tetapi setiap cadangan dan pandangan itu, saya akan tengok, namun ia tidak boleh mempengaruhi kuasa untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.



Kelmarin Istana Negara menafikan laporan yang mendakwa Datuk Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen. Perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >