Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Trump didakwa ambil dokumen rahsia program senjata, nuklear

Berkotak-kotak dokumen sulit negara dibawa keluar dari Rumah Putih dan ditemui tersimpan di kediaman mewah Trump di Florida
Jun 10, 2023 | 03:04 PM



WASHINGTON: Encik Donald Trump telah mengambil dokumen rahsia berkaitan nuklear Amerika Syarikat dan program senjata daripada Rumah Putih selepas meninggalkan pejabat, justeru mendedahkan kuasa besar itu kepada risiko keselamatan negara, menurut kertas dakwaan ke atas mantan presiden itu.


Encik Trump, 76 tahun, yang merupakan calon utama bagi jawatan presiden Parti Republikan bagi Pilihan Raya 2024, mengambil “ratusan” dokumen rahsia pemerintah ke kediaman dan kelab beliau di Mar-a-Lago, Florida, menurut kertas dakwaan setebal 49 muka surat itu.

Encik Trump dikatakan menyimpan fail-fail tersebut, termasuk dokumen daripada Pentagon, CIA dan Agensi Keselamatan Nasional, dengan timbunan dokumen tersebut tidak dikawal di Mar-a-Lago – kediaman mewah milik beliau – yang biasanya menerima ramai tetamu dalam acara sosial melibatkan ribuan tetamu saban masa, kata dakwaan tersebut.

Sekurang-kurangnya dalam dua kejadian sebelum ini, Encik Trump dipercayai telah menunjukkan dokumen rahsia tentang operasi dan pelan ketenteraan Amerika kepada mereka yang tidak diluluskan untuk melihatnya di kelab golf Bedminster, New Jersey, kata dakwaan itu lagi.

Encik Trump menghadapi 37 tuduhan berasingan dalam dakwaan itu yang melibatkan 31 kesalahan “mengekalkan dengan sengaja maklumat pertahanan nasional,” yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan.

Dakwaan lain termasuk bersubahat untuk menghalang pengadilan, menyimpan dokumen dan kenyataan palsu.

“Dokumen rahsia Trump disimpan dalam kotak termasuk maklumat mengenai pertahanan dan kemampuan senjata bagi kededua Amerika Syarikat dan negara asing,” kata dakwaan itu lagi.

Rekod lain termasuk yang menguruskan program nuklear Amerika dan potensi kelemahan negara itu serta pihak bersekutu tentang serangan tentera berserta pelan membalas, katanya.

“Pendedahan tidak diluluskan bagi dokumen rahsia itu boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan nasional buat Amerika Syarikat, hubungan asing, keselamatan tentera Amerika Syarikat selain sumber manusia,” tambah dakwaan itu lagi.

Encik Trump akan tampil di mahkamah di Miami pada Selasa bagi perbicaraan awal kes itu, yang pertama melibatkan seorang mantan presiden Amerika yang berhadapan dengan tuduhan jenayah federal.

Mantan presiden itu yang berdepan pelbagai tuduhan – termasuk melakukan serangan seksual – telah umumkan di wadah sosial miliknya, Truth Social, tentang dirinya didakwa oleh “pentadbiran Biden yang tidak benar” yang dianggapnya “Kotak Penipuan.”

Dalam satu video, Encik Trump berulang kali mendedahkan yang dirinya tidak bersalah dan menganggap dakwaan itu sebagai campur tangan pilihan raya oleh Jabatan Pengadilan yang dikuasai pentadbiran Parti Demokrat, pimpinan seterunya, Presiden Joe Biden.

“Mereka datang pada saya kerana kini kami sedang mendahului undian dengan banyak berbanding Biden,” kata Encik Trump dalam sedutan video itu.

Mantan presiden yang berdepan pertuduhan jenayah berkaitan bayaran wang berjumlah AS$130,000 ($174,681) untuk menutup mulut seorang bintang filem lucah, Stormy Daniels atau nama sebenarnya,  Stephanie Clifford, yang dikatakan menjalin hubungan seksual dengan personaliti politik itu.

Dakwaan tersebut telah dikenakan oleh peguam daerah Manhattan pada Mac lalu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >