Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

UAE berlumba sertai gergasi dunia teroka angkasa lepas

Aug 28, 2023 | 05:30 AM



Institut Timur Tengah (MEI) bekerjasama dengan Kedutaan UAE di Singapura baru-baru ini menganjurkan satu sesi webinar mengenai pencapaian cemerlang Amiriah Arab Bersatu dalam bidang penjelajahan angkasa.


Sesi webinar tersebut menampilkan Encik Ali Al Shehhi, Pengarah Pusat Sains dan Teknologi Angkasa Kebangsaan (NSSTC) yang merupakan seorang pakar ternama dalam teknologi satelit angkasa.


Bertajuk ‘Harapan & Pemantauan Arah Masa Depan: Sektor Angkasa Amiriah Arab Bersatu’, webinar tersebut menyentuh pencapaian signifikan UAE dalam penjelajahan angkasa lepas dan aspirasinya dalam Strategi Angkasa Kebangsaan 2030.


Perbincangan itu dikendalikan oleh Dr Clemens Chay, Ahli Kajian Penyelidikan di Institut Timur Tengah, Universiti Nasional Singapura (NUS).


Apabila angkasawan Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Sultan Al Neyadi, ‘berjalan’ selama tujuh jam di ruang angkasa pada Mei 2023, beliau menjadi orang Arab Muslim pertama yang melakukan perjalanan di angkasa lepas.

Beliau menjalankan tugas penting selama enam bulan termasuk memasang alat ganti baru, melakukan penyelenggaraan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), mengalih keluar perkakasan komunikasi lama dari bahagian luar ISS dan lain-lain.

Pengarah Pusat Sains dan Teknologi Angkasa Kebangsaan (NSSTC), Encik Ali Al Shehhi, dalam webinar anjuran Institut Timur Tengah (MEI) dengan kerjasama Kedutaan UAE di Singapura pada 16 Ogos lalu menganggap Encik Sultan Al Neyadi simbol kegigihan UAE meneroka angkasa lepas.

Apatah lagi melakukan ‘spacewalk’ merupakan salah satu kegiatan paling berisiko dilakukan oleh angkasawan semasa menjalankan misi angkasa lepas.

Menurut Encik Ali pencapaian itu juga adalah sebahagian daripada hasil program angkasa lepas UAE yang menyokong pencapaian sektor angkasa dan meningkatkan projek strategik serta penyelidikan negara.

Program Angkasawan UAE juga adalah salah satu projek yang diuruskan oleh Pusat Angkasa Mohammed Bin Rashid (MBRSC) di bawah Program Angkasa Negara UAE dan dibiayai oleh Dana ICT bagi Pihak Berkuasa Peraturan Telekomunikasi dan Kerajaan Digital (TDRA).

Terbaru, UAE mengumumkan dana tiga bilion dirham ($1.1 bilion) bagi menyokong program angkasa lepas dan daya usaha terkini untuk membangunkan satelit radar.

Antara projek yang diatur termasuk untuk melancarkan buruj satelit penderiaan jauh termaju menggunakan teknologi radar bagi menyediakan keupayaan pengimejan yang tiada tandingan.

Buruj itu akan dinamakan Sirb, istilah Arab untuk sekawan burung.

UAE turut merancang untuk mewujudkan ‘Kota Sains’ berkubah putih di kawasan gurun di luar Dubai untuk meniru keadaan di Marikh dan memajukan teknologi yang diperlukan untuk menjajah planet itu.

Cita-cita UAE lebih tinggi daripada itu, dengan matlamat untuk membina penempatan manusia di Marikh menjelang 2117.

Malah, UAE turut mengintai projek pelombongan masa depan di luar bumi selain pelancongan ke angkasa lepas.

Encik Ali berkata pencapaian seterusnya adalah pelancaran pesawat angkasa ‘Hope’ yang menurut pegawai, direka untuk memberi inspirasi kepada belia di rantau berkenaan dan menyediakan jalan bagi pencapaian saintifik.

Misi pertama UAE ke Marikh, dikenali ‘Hope probe’ adalah pelaburan masa depan selain menjadi sumber inspirasi kepada golongan belia untuk berani meneroka dunia angkasa lepas.

Hope probe membawa mesej kepada generasi akan datang bahawa tiada yang mustahil. Dengan tekad dan kemahuan, manusia dapat mengubah halangan menjadi peluang,” ujar Encik Ali.


Webinar tersebut dikendalikan Dr Clemens Chay, Ahli Kajian Penyelidikan MEI, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan turut disertai oleh Ketua Urusan Ekonomi di Kedutaan UAE di Singapura, Encik Mohamed AlZarooni.

Encik Mohamed berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, UAE telah mengorak langkah penting dalam penjelajahan angkasa.

“Komitmen kami yang kukuh terhadap inovasi dan kemajuan membawa kepada penubuhan Agensi Angkasa UAE, yang telah memainkan peranan penting dalam membimbing haluan negara kami dalam bidang angkasa,” ujar Encik Mohamed.

Encik Mohamed berkata UAE turut bekerjasama di peringkat antarabangsa dalam kejuruteraan angkasa, sains dan aplikasi penyelidikan ketika negara membina keupayaan negara dan mewujudkan kepelbagaian ekonomi serta menegaskan kedudukan UAE sebagai pemimpin dalam masyarakat angkasa sejagat.

Malah, data angkasa Marikh yang dikumpulkan oleh penyelidikan itu akan dikongsi dengan pusat penyelidikan dan institusi saintifik di seluruh dunia .

Hope probe yang dibangunkan selama enam tahun telah menjalin perkongsian sejagat dengan universiti dan pusat penyelidikan antarabangsa dengan komponen penyelidikan dibuat di UAE.


“Memahami atmosfera planet lain akan membolehkan kita untuk lebih memahami iklim bumi.

“Program angkasa lepas kami direka untuk memberi inspirasi kepada rantau yang selalunya diulit pergolakan dan mengingati kegemilangannya dalam kemajuan saintifik pada Zaman Pertengahan.

“Saya berasa amat gembira untuk berkongsi pandangan tentang perjalanan luar biasa UAE dalam bidang angkasa dan bagaimana kita sentiasa menerobos batasan yang diketahui oleh manusia,’‘ ujar Encik Ali.

Encik Ali turut memperluaskan undangan terbuka kepada rakan sejawatnya di Singapura untuk berkerjasama dengan UAE dalam usaha penerokaan angkasanya.

“Kami amat yakin bahawa perkongsian adalah kunci untuk mendorong kemajuan sains dan teknologi serta memacu inovasi.

“Kejayaan Singapura sendiri dalam sektor angkasa memberikan peluang berharga untuk penyelidikan bersama dan pertukaran pengetahuan dan mendorong kita untuk menjadi peneroka baru dalam penjelajahan angkasa,’‘ tambah Encik Ali.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >