Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Bagaimana teknologi menggembirakan pekerja di firma Singapura?

Pasar raya Sheng Siong dan syarikat binaan Lum Chang Building Contractors menggunakan teknologi untuk melancarkan lagi proses pekerjaan kakitangan mereka. Perjalanan syarikat dalam transformasi pendigitalan sejajar dengan Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025 bagi Majlis Ekonomi Masa Hadapan yang dipimpin pengerusinya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat.

Laporan ini dibawakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Dec 08, 2022 | 05:00 AM



BIARPUN bertugas sebagai juruwang di pasar raya Sheng Siong, Cik Rosnani Mohd Yunos, kini tidak perlu melaksanakan proses pembayaran buat pelanggan. 



Beliau kini sekadar perlu mengimbas harga, membungkus barang dan melayani pelanggan dengan adanya sistem pembayaran hibrid sendiri di pasar raya Sheng Siong. 



Pelanggan kemudian diberi bil dan mereka akan bayar di sebuah mesin pembayaran sendiri. 



Cik Rosnani, 57 tahun, yang telah bekerja bersama Sheng Siong selama enam bulan tetapi mempunyai pengalaman sebagai juruwang selama 10 tahun, pernah mengendalikan kaunter pembayaran tradisional di syarikat runcit lain.



Beliau berkata, sistem pembayaran hibrid sendiri ini menjimatkan masa dan membolehkan beliau melayani pelanggan dengan lebih baik dan cepat. 



Kaunter pembayaran tradisional memerlukan seorang juruwang untuk mengimbas harga, membungkus barang dan mengendalikan bayaran buat pelanggan. 



Transaksi elektronik seperti Nets dan kad kredit mengambil tambahan masa dan juruwang tidak boleh melayan pelanggan seterusnya. 



“Sistem ini boleh mengurangkan masa pelanggan menunggu giliran mereka sebanyak 30 saat dan menjimatkan tenaga kerja sehingga 40 peratus,” kata jurucakap Sheng Siong, dan menambah bahawa stesen imbas dan bungkus tersebut boleh menggantikan lima kaunter tradisional. 



“Saya suka sistem ini kerana saya tidak lagi perlu datang kerja awal atau balik lambat untuk mengira wang,” ujar Cik Rosnani. 



Sheng Siong bermula dengan satu cawangan pada 1985 dan kini merupakan antara peruncit terbesar di Singapura dengan 66 cawangan di serata negara. 



Sistem pembayaran hibrid sendiri merupakan antara projek inovatif Sheng Siong dalam usaha pendigitalan aliran kerja pekerja yang telah bermula sejak tahun 2000-an.



Projek inovatif lain seperti tag harga e-kertas, proses transaksi Titik Sistem Jualan (POS) bersatu juga adalah antara yang “pertama” di industri pasar raya yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka.



Hasil projek inovatif tersebut, Sheng Siong berjaya meraih kemenangan Anugerah Kecemerlangan Inovasi oleh SPRING Singapore pada 2015.



ANTARA “PERTAMA” DI INDUSTRI PASAR RAYA



Bagi membangunkan sistem teknologi maklumat (IT) yang memenuhi keperluan perniagaan Sheng Siong, syarikat ini telah menubuhkan sebuah pasukan IT yang bekerjasama dengan jabatan operasi dan pengurusan mereka untuk membina sistem inovatif, menurut jurucakap Sheng Siong. 



Lantaran itu, aliran kerja dipermudah untuk para pekerja dengan menggabungkan automasi dengan tugasan mereka dan ini telah memperbaiki produktiviti dan skop pekerjaan.



Sebagai contoh, sistem perolehan digital Sheng Siong, antara “pertama” dalam industri runcit, akan membuat Pesanan Pembelian (PO) secara automatik kepada Pusat Pengagihan atau pembekal mereka sejurus stok di stor mencecah kuantiti minimum. 



“Dahulu, kami perlu mengira stok barang sendiri setiap hari. Sekarang, jumlah barang yang diperlukan ditaip di dalam sistem digital dan stok yang berkurangan akan diisi semula secara automatik,” kata Eksekutif Kanan Sheng Siong, Encik Sivakumar A/L Simanchal yang telah bertugas sejak 2016. 



Ini menjimatkan dua jam daripada masa Encik Sivakumar untuk mengira dan membuat pesanan stok. 



Satu lagi inovasi Sheng Siong yang pertama di industri runcit adalah proses transaksi Titik Sistem Jualan bersatu (UPOS). 



Menurut jurucakap Sheng Siong, sementara kebanyakan peruncit mempunyai pelbagai terminal bank seperti kad kredit, kad ATM, kad tanpa sentuh dan kad Diners di kaunter pembayaran mereka yang boleh menyebabkan pelanggan keliru, Sheng Siong meminta Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menggabungkan pelbagai terminal menjadi satu pada 2015. 



Saranan mereka mendapat sokongan MAS dan SPRING Singapore (sekarang dikenali sebagai Enterprise Singapore), di mana, pelbagai bank seperti DBS Bank, UOB, American Express (AMEX) dan Diners membenarkan kad mereka digunakan untuk membuat bayaran di terminal Nets UPOS. Sistem UPOS ini juga boleh menerima pembayaran telefon bijak. 



Justeru, tempoh pembayaran yang dahulu mengambil masa sekitar lapan hingga 14 saat kini dapat dikurangkan pada empat hingga lapan saat dengan sistem UPOS.



BANTU TINGKAT KEMAHIRAN



Usaha Sheng Siong menuju pendigitalan telah meningkatkan kepuasan pelanggan berdasarkan Indeks Kepuasan Pelanggan Singapura (CSISG), di mana Sheng Siong menduduki tempat pertama di indeks CSISG bagi sektor pasar raya pada 2022.



Bagi membantu Sheng Siong dalam projek pendigitalan mereka, syarikat ini telah menggunakan Geran Pembangunan Perusahaan (EDG), Geran Pembangunan Keupayaan (CDG) dan Skim Pembangunan Keupayaan (CDS) dari Enterprise Singapore serta Program Perkembangan Inklusif (IGP) dan Geran Workpro dari Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).



Lebih penting lagi, Sheng Siong mengutamakan latihan buat para pekerja mereka berdasarkan keperluan operasi. 



Sheng Siong mempunyai 3,000 pekerja berusia antara 18 dengan 83 tahun. 



Pada tahun ini, Sheng Siong menghantar pekerja kanan gudang mereka menyertai program ‘Digital for Life’ supaya mereka dapat mendalami pembelajaran digital. 



Pada tahun lalu, Sheng Siong juga telah bergabung dengan SkillsFuture Singapore bagi program Queen Bee untuk menyokong pembekal Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) membina keupayaan untuk mempercepat pendigitalan.



Menerusi program SkillsFuture Queen Bee (SFQB), Sheng Siong berupaya berkongsi pengalaman, pengetahuan dan keupayaan mereka dengan rakan dagangan mereka bagi membantu melancarkan perjalanan peningkatan kemahiran mereka, menurut jurucakap Sheng Siong.



“Operasi Sheng Siong sangat bergantung pada kecekapan rangkaian pembekal. Kegagalan dan ketidakcekapan dalam operasi pengeluaran atau rantaian bekalan pembekal Sheng Siong pasti akan mengakibatkan rak kosong di kedai kami. Oleh itu, peningkatan dalam kecekapan dan produktiviti pembekal akan memberi manfaat kepada kami, antaranya dari sudut kesediaan inventori.



“Justeru, kami harap kami dapat membina huraian kemahiran dan latihan untuk meningkatkan keupayaan kemahiran keseluruhan pembekal SME menerusi program SFQB dari SkillsFuture,” kata jurucakap Sheng Siong.







Firma binaan Lum Chang perintis transformasi model digital 3D







APABILA pengurus projek syarikat binaan terkemuka, Lum Chang Building Contractors (LCBC), Encik Brydon Eng, 35 tahun, pergi ke tapak binaan bangunan dahulu, beliau akan berbincang dengan arkitek, jurutera atau sub kontraktor yang terlibat mengenai bangunan yang bakal dibina berdasarkan lukisan pelan bangunan dua dimensi (2D – lukisan kertas).



Ini memerlukan mereka menggambarkan bangunan tersebut di dalam minda.



Namun, dengan menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), mereka dapat melihat bangunan yang bakal dibina dalam bentuk tiga dimensi (3D - lukisan model digital).



Ini membolehkan mereka merancang, menyuarakan keprihatinan mereka dan mencari penyelesaian masalah dengan lebih cepat dan berkesan. 



Menggunakan teknologi BIM dalam proses pembinaan bangunan adalah titik permulaan pendigitalan syarikat Lum Chang pada 2011. 



Bagi membantu menubuhkan prasarana BIM dan pendigitalan pada peringkat awal, syarikat ini telah memanfaatkan Dana Produktiviti dan Keupayaan Pembinaan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) sejak 2011. 



Lum Chang ditubuhkan pada 1940-an dan bermula sebagai perusahaan tunggal dalam bidang kontraktor. 



Ia kini mempunyai 400 pekerja dan telah mengembangkan perniagaannya yang turut merangkumi pembangunan hartanah, pelaburan, kerja kemasan dalaman dan pembinaan. 



Antara projek terkini syarikat ini adalah projek Mandai Resort. 



Sehingga kini, portfolio pembinaan Lum Chang yang luas bernilai melebihi $10 bilion yang terdiri daripada pelbagai projek terkemuka yang merangkumi keseluruhan spektrum industri pembinaan di Singapura.



GUNA TEKNOLOGI



Penggunaan teknologi BIM telah mengembangkan syarikat ini kepada persekitaran data biasa (common data environment) - di mana semua maklumat berkenaan projek pembinaan seperti dokumentasi model grafik, data bukan grafik, jadual pembinaan dan sebagainya disatukan dalam satu hab digital.



Pada 2018, syarikat ini melaksanakan dua lagi teknologi – Pembinaan dan Rekaan Mata (VDC) yang menggunakan model 3D BIM dan maklumat lain untuk merancang secara digital semua aspek projek pembinaan daripada menganggar kos kepada penjadualan dan pengurusan risiko; dan Penghantaran Digital Bersepadu (IDD) yang menyepadukan proses reka bentuk, fabrikasi, pemasangan di tapak serta operasi dan penyelenggaraan bangunan secara digital. 



Gedung Northpoint City adalah antara projek perintis Lum Chang yang menggunakan teknologi VDC dan telah meraih Anugerah Kecemerlangan Pembinaan BCA. 



Mengulas tentang penggunaan teknologi dalam projek pembinaan Lum Chang, Encik Eng yang terlibat dalam projek Northpoint City dan Tekka Place berkata:



“Menggantikan lukisan pelan bangunan 2D kepada 3D membantu kami dari segi koordinasi dan mengurangkan kesilapan. Ia juga lebih senang untuk kami komunikasikan keprihatinan kami sambil merujuk pada model 3D. Maka, ia meningkatkan produktiviti dan memperbaiki komunikasi.”



Beliau menambah bahawa teknologi VDC membolehkan mereka menunjukkan pada klien bagaimana sebuah bangunan boleh dibina secara virtual menerusi video. 



“Saya tidak perlu lagi mengkaji lukisan urutan pembinaan yang boleh mencecah sehingga 60 muka surat. VDC membolehkan kami menterjemahkan urutan pembinaan itu pada sebuah video yang mudah difahami dalam tempoh lima minit.



“Selain itu, VDC membolehkan kami lihat jika kami boleh membina sebuah bangunan dengan lebih selamat atau cepat,” kata Encik Eng yang telah bertugas di Lum Chang selama melebihi sembilan tahun.



Menurut Penolong Pengurus, Teknikal, Cik Lim Chai Yun, 34 tahun, penggunaan teknologi tersebut telah menghasilkan sebanyak 30 hingga 35 peratus peningkatan dari segi produktiviti dan kecekapan dalam proses pembinaan syarikat ini. 



Penggunaan teknologi bermula dari pihak pengurusan Syarikat Lum Chang merupakan antara perintis transformasi pendigitalan dalam industri sekitaran binaan.



Ini termasuk pendigitalan bagi sistem sumber tenaga syarikat ini.



Namun, sebagaimana sebuah projek pembinaan tidak boleh lengkap tanpa kerjasama anggota pasukan yang antaranya terdiri daripada pembina, sub-kontraktor, konsultan reka bentuk, pembekal dan pengurusan fasiliti, syarikat ini perlu meyakinkan anggota pasukan yang sama untuk menerima penggunaan teknologi dalam proses pembinaan mereka.



Lantaran itu, pihak pengurusan syarikat ini adalah yang pertama menjalani latihan teknologi BIM, VDC dan IDD. 



Kata Pengurus Kanan, Digital, Cik Jennifer Loh:



“Pihak pengurusan Lum Chang melihat nilai dalam pendigitalan. Maka, mereka mempelajari teknologi BIM, VDC, IDD. 



“Apabila bos-bos syarikat ini tahu bagaimana hendak menggunakan teknologi tersebut, ia mendorong pekerja lain termasuk mereka yang terlibat dalam pembinaan bangunan kami seperti jurutera dan sub-kontraktor untuk menjalani latihan. 



“Kemudian, mereka juga dapat lihat nilai teknologi digital tersebut kerana ia boleh meningkatkan produktiviti dan menghasilkan proses pembinaan yang lebih cekap.”



TINGKAT KEMAHIRAN PEKERJA



Cik Loh, pensyarah adjunct di Akademi BCA bagi diploma pengkhususan dalam VDC dan diploma pengkhususan dalam BIM, telah menganjurkan latihan buat pekerja syarikat Lum Chang serta mereka di dalam industri persekitaran binaan ini seperti sub- kontraktor dan klien mereka.



“Apa yang kami lakukan selama ini, untuk melatih mereka dalam industri persekitaran binaan ini adalah untuk sama-sama meningkatkan kemahiran pekerja dan mengembangkan industri ini,” ujar Cik Loh.



Beliau menambah bahawa aset utama sebuah syarikat adalah para pekerja.



“Maka, ia penting untuk mengasuh perkembangan pekerja kami sebagai usaha untuk mengekalkan bakat di dalam syarikat kami,” ujar Cik Loh.



Selain menjalani latihan di tempat kerja, para pekerja Lum Chang juga berpeluang menyertai pelbagai kursus anjuran BCA.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >