Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Niaga Melayu/Islam di kawasan Yishun kian rancak

Pasaran Melayu yang tersendiri jadi tarikan buka kedai di pusat beli-belah Junction 9
Jan 26, 2023 | 10:26 PM



DARIPADA khidmat jahitan kepada kedai makanan halal hingga ke kedai menjual produk Islam, perniagaan Melayu/Islam kini tumbuh bak cendawan di pusat beli-belah Junction 9.



Berdasarkan tinjauan, terdapat lebih 10 kedai dan gerai milik peniaga Melayu/Islam di pusat beli-belah yang terletak di Yishun itu.



Menurut beberapa peniaga yang ditemuramah, mereka perhatikan lebih ramai rakan peniaga menembusi ruang runcit di bahagian utara Singapura itu sejak beberapa tahun lalu sedang permintaan dari pengguna Melayu di kawasan itu semakin rancak.



Antara perniagaan yang ada di sana pusat makanan kendalian firma Melayu, Wak Min Food Court; kedai produk Islam dan gaya hidup, Hannan Islamic Gifts & Lifestyle; kedai menjual produk kesihatan dan kecantikan yang mempunyai cawangan di Joo Chiat dan Haig Road, Al Nusra SG; kedai barang kemas, Glisten Grandeur, dan kedai makan Eastern Wok.



Bagi mereka yang sudah berniaga lama di sana, seperti Cik Jamaliah Alias, pertumbuhan perniagaannya agak signifikan.



Cik Jamaliah, pemilik Kamaliah Alterations & Tailoring, yang dibuka pada 2016 - tempoh awal pembukaan pusat beli-belah tersebut - berkata masyarakat Melayu membentuk separuh daripada pelanggannya berbanding 30 peratus sebelumnya.



"Semasa saya mula-mula berniaga di sini, memang tidak ramai peniaga, cuma ada dua atau tiga lain.



"Namun, lama-kelamaan semakin ramai yang masuk sini, lebih-lebih lagi selepas Covid-19. Peniaga menjual pakaian agak ramai, tetapi ada yang tidak kekal berniaga di sini," ujar beliau.



Kata Cik Jamaliah, ini mungkin didorong oleh penduduk Melayu yang bertambah di sekitar daerah itu dengan kehadiran banyak flat Bina Mengikut Tempahan (BTO) baru di kawasan itu.



Seperti beliau, pemilik Eastern Wok, Encik Adlee Nazree Suparman, yang membuka kedai makanannya pada 2019 menyaksikan pelanggan Melayunya bertambah - sebanyak 5 peratus kepada 55 peratus.



Menurutnya apabila mula-mula berniaga, beliau perhatikan banyak ruang runcit yang kosong, tetapi kini sudah penuh dengan banyak ruang kosong itu diambil oleh peniaga Melayu/Islam.



"Pada akhirnya, ini bergantung kepada bekalan dan permintaan. Selagi peniaga Melayu boleh menyediakan produk yang diperlukan masyarakat lebih luas, mereka akan dapat bertahan dan berjaya.



"Umumnya, saya rasa ini adalah hab yang baik untuk masyarakat Melayu, khususnya semasa Ramadan, dan boleh dikatakan seluruh estet Yishun kini sudah biasa dengan kegiatan di Junction 9," jelas beliau.



Pada masa sama, Encik Adlee menarik perhatian jika kadar sewa meningkat, ia boleh menjejas perniagaan yang ada mahupun yang baru.



Seorang lagi peniaga yang agak lama di pusat beli-belah itu ialah Cik Suraya Ahmad, pemilik Wak Min Food & Catering, yang mengendalikan pusat makanan utama dalam Junction 9.



Beliau, yang berniaga sejak 2019, berkata memang lanskap perniagaan berkaitan produk atau khidmat Melayu/Islam agak senyap pada masa itu.



"Sekarang kalau kita nak bandingkan dengan dahulu, memang jauh berbeza. Kini 80 peratus daripada pelanggan saya merupakan orang Melayu.



"Mungkin lebih ramai peniaga lihat sini ada pasaran Melayu yang tersendiri jadi mereka tertarik untuk membuka kedai di sini," jelas Cik Suraya.



Sentimen serupa turut dilihat oleh pemilik kedai pakaian dan produk kecantikan, The Guzel Cloth, Cik Zahina Yahya, yang membuka kedainya pada 2020.



Perniagaannya sendiri melihat pelanggan Melayu meningkat sebanyak 70 peratus sejauh ini.



Justeru, Cik Zahina bersetuju jika pusat beli-belah itu dianggap sebagai pusat tumpuan masyarakat Melayu.



"Kita lihat sekarang aliran pelanggan ke Junction 9 lebih baik sebab ada lebih banyak pilihan terutama untuk orang Melayu.



"Saya terima maklum balas pelanggan yang kini mereka tidak perlu pergi jauh seperti Geylang untuk membeli barangan keperluan mereka.



"Jadi saya setuju kalau orang anggap ini sebagai 'port' orang Melayu," kongsi beliau.



Cik Zahina juga berkata pihak pengurusan memainkan peranan penting dalam memastikan daya tarikan pusat beli-belah itu seperti memastikan kebersihan, keselamatan dan tempat pejalan kaki yang bertutup.



Berkongsi pandangannya pula, pemilik Glisten Grandeur, Cik Ainun Mohd Ainuddin, yang membuka kedainya pada 2021 dan memilih lokasi itu kerana sekolah anaknya yang berdekatan, berkata:



"Kami melihat permintaan pasaran Melayu telah berkembang sejak kami dibuka memandangkan kami lebih tertumpu kepada cincin perkahwinan untuk orang lelaki Muslim.



"Jadi produk kami mendapat sambutan baik kerana bukan mudah untuk kaum Adam mencari cincin yang sesuai dan dimampui."



Tambah beliau lagi, mereka berhasil menarik pelanggan baru di samping sokongan pengikut yang mengikuti perkembangan mereka sejak berniaga dari rumah pada 2018.



"Kami agak beruntung dari segi lokasi sebab semasa itu pusat beli-belah yang kosong ekoran pemutus rantaian jangkitan. Makanya kami mempunyai kelebihan untuk memilih lokasi kedai yang baik."



Bagi para pelanggan seperti Cik Katijah Nadin, 65 tahun yang menetap hanya lima minit dari pusat beli-belah itu, khidmat yang disediakan di pusat beli-belah itu cukup lengkap.



"Satu tarikannya ialah kepelbagaian produk untuk masyarakat Melayu. Misalnya, kalau inginkan pakaian ada, produk keluaran artis Melayu dan khidmat jahit pun ada.



"Kalau menjelang Ramadan, ada beberapa kedai menjual kuih-muih untuk berbuka puasa seperti dendeng dan kuih jongkong. Jadi tidak perlu ke bazar Geylang.



"Manakala, kalau mereka yang ingin beli kuih atau biskut mahupun baju raya untuk Hari Raya, di sini pun ada kedai menjualnya cuma tengoklah selera dan citarasa seseorang itu macam mana," terang suri rumah itu.



Kemeriahan semasa Ramadan dan Hari Raya di pusat beli-belah itu turut dirasakan oleh seorang lagi pelanggan tetap, Cik Nur Azlin Kasmani, 40 tahun.



Beliau yang menetap di Yishun dan membeli-belah di Junction 9 setiap dua minggu, berkata:



"Keperluan asas untuk masyarakat Melayu memang sedia ada di sana dan kepelbagaian produk pun ada.



"Apabila bulan puasa, rasanya agak meriah sebab sebagai penduduk, kami boleh membeli pelbagai jenis juadah berbuka puasa."




"Kita lihat sekarang aliran pelanggan ke Junction 9 lebih baik sebab ada lebih banyak pilihan terutama untuk orang Melayu.



Saya terima maklum balas pelanggan yang kini mereka tidak perlu pergi jauh seperti Geylang untuk membeli barangan keperluan mereka."



- Pemilik kedai pakaian dan produk kecantikan, The Guzel Cloth, Cik Zahina Yahya.



"Umumnya, saya rasa ini adalah hab yang baik untuk masyarakat Melayu, khususnya semasa Ramadan, dan boleh dikatakan seluruh estet Yishun kini sudah biasa dengan kegiatan di Junction 9."



- Pemilik Eastern Wok, Encik Adlee Nazree Suparman.



"Keperluan asas untuk masyarakat Melayu memang sedia ada di sana dan kepelbagaian produk pun ada.



Apabila bulan puasa, rasanya agak meriah sebab sebagai penduduk, kami boleh membeli pelbagai jenis juadah berbuka puasa."



- Penduduk Yishun dan pelanggan tetap, Cik Nur Azlin Kasmani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >