Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ARTIS SEBERANG

Menghibur, sambil kongsi kosa kata Melayu

Cinta Suki Low pada bahasa Malaysia kian mekar selepas nyanyi OST 'The Assistant, Nelangsa'
Jun 27, 2022 | 05:30 AM



RAMAI pencinta seni dan pengamat filem yang kagum dengan penghayatan penyanyi dari seberang Tambak, Suki Low, ketika menyanyikan runut bunyi (OST) filem aksi The Assistant, Nelangsa.



Bahkan, ada yang menyamakan dendangannya dengan bintang antarabangsa Adele ketika membawa OST filem James Bond, Skyfall, sedekad yang lalu.



Bagi Suki yang merupakan juara peraduan realiti One In A Million ketika masih berusia 16 tahun, dirinya cukup bersyukur diberi peluang keemasan merakam Nelangsa tatkala baru sahaja tamat bertanding dalam program kesukaan ramai, Gegar Vaganza 8 (GV8).



Memandangkan Nelangsa juga ibarat perkataan baru (bermaksud sedih dan sengsara) yang menambah kosa kata pengguna bahasa Melayu, Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee, 32 tahun, lebih gembira dapat sama-sama berkongsi keindahan bahasa Melayu bersama peminatnya.



Suki, ibu tiga anak kecil, yang juga usahawan bunga dan kek, berkongsi kebangkitan dunia seninya sejak kembali ke pentas GV8 bersama Berita Harian, dalam satu wawancara Zoom baru-baru ini.



JIWAI MAKNA SENGSARA DALAM 'NELANGSA'



Ditanya mengenai perasaannya dilibatkan sebagai penyanyi OST filem pecah panggung The Assistant arahan sutradara filem aksi yang disegani, Adrian Teh, Suki berkata:



"Saya memanglah teruja untuk rakam Nelangsa sebab ia projek OST filem pertama yang saya jayakan.



"Saya lihat ada pelakon hebat seperti Hairul Azreen dalam filem ini. Pengarahnya pula Adrian Teh yang bukan calang-calang dalam genre filem aksi.



"Hanya sempat tonton treler dan baca sinopsis untuk dapatkan bayangan mengenai jalan cerita ini sebelum merakam lagu tersebut.



"Selebihnya, saya gunakan imaginasi saya untuk hidupkan semangat lagu ini.



"Saya bersyukur sebab komposer Farouk Roman menawarkan lagu ini kepada saya dan yakin saya dapat memberikan sentuhan peribadi saya.



INSPIRASI DARI ADELE



"Apabila disamakan dengan lagu Adele, Skyfall, ia satu penghormatan besar buat kami walaupun saya rasa ada banyak aspek lagi untuk diperbaiki.



"Adele selalu menjadi rujukan untuk saya sebagai seorang penyanyi. Penghargaan harus diberi kepada penulis lirik Nelangsa, Senna.



"Kerana filem ini sarat emosi, saya salurkan segala tenaga dan jiwa raga saya, apa yang termampu dalam lagu ini agar ia dapat disejajarkan dengan jalan cerita The Assistant yang penuh ulitan plot dan kejutan."



The Assistant mengisahkan tentang Zafik (lakonan Dzuhrie Alaudin) yang secara tersilap dipenjarakan kerana kesalahannya.



Selepas kehilangan segalanya, dia bertemu dengan Feroz (Hairul) yang sentiasa muncul dalam hidupnya tepat pada masanya.



Daripada pertemuan bersama Feroz, Zafik merancang untuk membalas dendam di atas segala penganiayaan yang berlaku dalam hidupnya.



Filem ini yang sudah ditayangkan dalam sesi perdana dunia di Pesta Filem Udine Far East di Italy telah menerima kutipan box-office sebanyak RM$1 juta ($315,416), hanya dalam empat hari tayangan di Malaysia.



KONGSI ISTILAH MELAYU



Sebagai penyanyi berbangsa Cina yang menumpukan perhatian pada pasaran lagu Melayu bahkan memiliki beberapa lagu 'hit' seperti Terlalu Mencintaimu dan Untuk Kamu, Suki gembira dapat sama-sama menyebarkan keindahan bahasa Melayu yang dicintai.



Baru-baru ini, beliau turut diundang bagi satu episod Facebook Live Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia bagi satu perbincangan tentang penggunaan bahasa dalam lagu.



"Sebenarnya, Suki masih belajar lagi. Kalau tak faham, tanya rakan niaga saya atau suami saya yang memang memiliki penguasaan bahasa Melayu yang lebih baik.



"Bagi Suki, sebagai rakyat Malaysia, saya harus mahirkan diri dengan bahasa Melayu itu sendiri.



"Apabila diberi lagu Nelangsa, saya sampai cari kamus dalam talian untuk tahu maknanya.



"Makna 'Ngelangsa' itu sedih dan sengsara. Lagu ini berlegar di sekitar rasa sakit. Orang boleh bayangkan jalan cerita The Assistant apabila mendengar lagu ini.



"Penulisan liriknya indah. Ada perkataan 'puing-puing' yang bermaksud runtuhan atau serpihan.



"Dalam soal bahasa ni, memang Suki anggap kita ni bertuah. Duduk di Malaysia, saya dapat kuasai bahasa Cina, Inggeris dan Melayu sekali gus," ceritanya.



REZEKI MURAH SELEPAS GV8



Pengalaman di pentas GV8 yang payah dilupakan kerana banyak membuka pintu rezeki buat Suki akan selama-lamanya terpahat di hati.



"Banyak perkara baru yang saya nanti-nantikan. Ada rezeki berlakon dalam telefilem Bintang GV Dikejar Zombie bersama dua rakan saya dalam GV8, Abang Bandi Amuk dan Abang Yassin," kata Suki yang terbukti serba boleh kerana mampu menyanyikan lagu di luar zon selesanya seperti hip- hop, K-Pop dan irama Melayu.



"Tentunya dalam GV8, kami diberi kebebasan mencorak persembahan kami. Ketika di One In A Million, saya masih budak baru yang mencuba nasib.



"Saya diadili Datuk Syafinaz Selamat yang bertahun selepas itu menjadi juri GV8 pula.



"Di luar pentas, beliau memberitahu saya agar tunjukkan diri saya yang matang kini dan gunakan pengalaman yang saya raih sebagai artis selepas kemenangan di One In A Million.



"Dulu mungkin saya tak begitu sedar apa yang perlu dibuat atau tidak ketika menyanyi.



"Sekarang saya lebih berpengalaman. Tapi saya harus tidak lupa untuk menikmati setiap persembahan saya. Apabila saya enjoy, orang pun terhibur," tambahnya.



SAMBIL MENIAGA, AJAR ANAK ERTI TANGGUNGJAWAB



Menyentuh tentang arena perniagaan bunga dan kek yang diceburi sewaktu dunia dilanda pandemik hingga mendesak ramai duduk di rumah sahaja, Suki berkata:



"Ibu saya seorang penjual bunga. Saya mewarisi minat ibu dan atas saranan suami, kami bangunkan perniagaan yang kami rasa diperlukan pelanggan dalam tempoh pandemik di mana kita hanya mampu kirim hadiah kepada orang tersayang.



"Sebab kita terpisah dan tidak boleh saling kunjung mengunjung sewaktu Covid19.



"Perniagaan kecil-kecilan sahaja awalnya dengan saya dan rakan niaga saya, Nabila Asyiqin, mengendalikannya dalam talian.



"Masanya memang tepat. Perniagaan dapat sambutan. Kami semua, dari rakan niaga hingga kakitangan kami, tinggal serumah dan mengendalikan segalanya sebagai sebuah keluarga besar.



"Ini memberi kami peluang mengurus anak-anak sekali gus dalam sekitaran yang sihat dan selamat.



"Secara tidak langsung, ia mengajar anakanak tentang bagaimana kita boleh menjalin persahabatan dan bergotong-royong dalam perniagaan serta bersifat inklusif untuk libatkan semua orang di bawah satu bumbung.



"Sikap bertanggungjawab dan kerja keras itulah harus diajar pada anak-anak sejak mereka kecil sebab mereka pun turut membantu kami dalam perniagaan.



"Sejauh ini, saya selesa dengan urusan sebegini," jelas Suki.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >