Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Curahan 'Ilham Spontan Ramadan'

Penggiat seni Khair Yasin ketengah koleksi 60 sajak, lirik lagu dorong pembaca hayati kehidupan dan nilai murni
Mar 28, 2023 | 05:30 AM



IDEA mengilhamkan puisi secara spontan mencurah-curah buat penggiat seni, penyanyi dan penggubah lagu mapan Mohd Khair Mohd Yasin sewaktu Ramadan.



Dalam tempoh menjalani ibadah puasa sewaktu pandemik Covid-19 pada 2021, beliau mendapat rangsangan peribadi untuk berkarya dalam bentuk coretan puisi spontan pada pagi dan petang bulan mulia ini.



Baru-baru ini, kumpulan 60 sajak dan seni kata lagu Jiwa Ramadan disatukan dalam penerbitan buku Ilham Spontan Ramadan.



Lirik lagu bertema Ramadan itu dihasilkan bagi rakaman kumpulan tiga pemuda, The Wizdomz.



Melodinya digubah Ustaz Luqman Hakim dan Iskandar Jeff.



Pembeli buku terkini Mohd Khair, 56 tahun, juga boleh memperolehi akses kepada lagu tersebut di dalam Spotify melalui kod bar yang disediakan dan boleh diimbas langsung di dalam buku itu.



Kata Mohd Khair ketika dihubungi Berita Harian:



"Saya rasa teramat bertuah dan sungguh berbesar hati kerana Senator Tuan Haji Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia, sudi menulis sepanjang tiga muka surat kata pengantar untuk buku ini di bawah judul Catatan Tanggapan.



"Beliau telah sudi berkongsi sajaknya Kuasa Puasa di dalam buku Ilham Spontan Ramadan ini juga.



"Selain itu, saya juga rasa beruntung kerana saya mendapat sokongan idea yang segar dan menarik di mana buku terbaru saya ini berjaya direka bentuk dan disusun atur kulit mukanya oleh Abdul Bakar Abdullah, pemilik dan pengarah syarikat Adzen Touche yang juga pernah menghias buku-buku saya yang terdahulu seperti Gitar Sumbang dan 999 Ilham Spontan Pujangga."



Menurut Mohd Khair, yang merupakan anggota Rausyanfikir yang dikenali kerana lagu seperti Pesta Perut dan Dhikir Fikir Fikir, beliau ingin meneguhkan lagi konsep 'penulisan automatik' berdasarkan tujuannya menghasilkan buku ini untuk berkongsi dengan masyarakat rentetan ilham yang diraih ketika seseorang itu berpuasa di dalam bentuk sajak.



"Kepuasan melahirkan buku ini bermakna setiap kata-kata yang dibentangkan berlandaskan proses intuisi spontan tanpa perancangan awal dan tanpa memikir atau merisaukan kesudahannya dari sudut makna, tema dan fokus topik yang dibicarakan.



"Cabaran terbesarnya adalah setelah menghasilkan dan menerbitkan karya-karya spontan ini timbul persoalan apakah pembaca dapat melayan dan menghayati sambil mencari mesej-mesej yang terselindung di sebalik bait-bait metafora yang dihasilkan secara rambang dan rawak ini?"



Baginya, Ramadan adalah ruang murni dan suci yang dihadiahkan dan dibentangkan setiap tahun bagi setiap Muslim agar kembali ke fitrah mereka, iaitu kembali kepada kesedaran akan hakikat sebenar kehidupan dan juga kesempatan untuk mendekatkan diri lagi kepada Yang Maha Kuasa.



Ini dapat dilakukan dengan sentiasa memohon keampunan buat diri sendiri dan keluarga serta juga buat kededua ibu dan ayah tercinta.



"Keistimewaan bulan Ramadan ini secara harfiah dan juga secara peribadi mendekatkan dan mengeratkan lagi silaturahim di dalam kehidupan berkeluarga dengan kesempatan beriftar bersama serta duduk semeja apabila bersahur.



"Selain itu, keakraban di kalangan masyarakat juga terjalin dengan ibadah tarawih yang dilaksanakan secara berjemaah di masjid dan sebagainya," ujarnya lagi.



Mohd Khair berharap melalui Ilham Spontan Ramadan, masyarakat pembaca dapat meneliti dan menghayati idea-idea dan makna-makna yang tersirat dan tersurat di dalam sajak-sajak yang dihasilkan secara spontan.



Secara tidak langsung, ia juga memperkenalkan konsep penghasilan karya seperti ini untuk mengembalikan keberanian diri seseorang dalam menghasilkan sesuatu menerusi intuisi hati dan pemikiran yang spontan di dalam kehidupan seharian mereka.



"Bulan Ramadan yang suci ini yang diisi khususnya dengan ibadah berpuasa juga tidak semestinya dijadikan hambatan dan penghalang untuk seseorang itu berusaha di dalam segala urusan termasuklah berkarya di dalam bidang seni bahasa dan sastera kita," katanya.



Dari masa ke masa, beliau akan terus berusaha memasarkan buku terbarunya Ilham Spontan Ramadan ini di dalam bentuk deklamasi sajak dari masa ke masa dan dimuat naik ke Facebook dan Instagram untuk penghayatan dan renungan sahabat dan masyarakat yang sudah dan bakal mendapatkan karya ini.



"Saya juga sedang berbincang dengan beberapa pihak untuk melihat kemungkinan melancarkan buku ini tidak lama lagi. Terdapat juga tawaran untuk melagukan dan merakamkan salah sebuah sajak di dalam buku ini.



"Saya juga bakal mengendalikan beberapa sesi bengkel penulisan seni kata dan lagu serta penulisan puisi di salah sebuah maktab setempat pada Syawal yang mendatang ini," katanya lagi.



Ditanya adakah karya yang secara peribadi memberi impak buatnya dalam buku terkini ini, Mohd Khair berkata:



"Salah sebuah sajak Berpelitup Puisi mengemukakan perasaan sebenar saya mengenai keberanian untuk berkongsi jiwa dan akal kepada masyarakat di dalam bentuk kata-kata yang jujur dan luhur spontan.



"Saya berpendapat bahawa perjuangan mewariskan bahasa yang baik dan kaya demi bahasa dan masyarakat kita adalah 'bukan bagi meraih anugerah matlamat atau sahaja berkarya bukanlah mendapat pangkat dan darjat'.



"Berkarya adalah untuk mencari makam atau pendalaman jiwa. Konsep dan jati diri beginilah teras perjalanan saya sebagai seorang insan seni baik di dalam bidang penulisan seni kata dan lagu mahupun di dalam bidang sastera.



"Keluhuran dan kejujuran di dalam berkarya menjanjikan karya-karya yang kita hasilkan sepanjang hidup kita akan bertahan merentasi zaman dan era."



"Keistimewaan bulan Ramadan ini secara harfiah dan juga secara peribadi mendekatkan dan mengeratkan lagi silaturahim di dalam kehidupan berkeluarga dengan kesempatan beriftar bersama serta duduk semeja apabila bersahur.



Selain itu, keakraban di kalangan masyarakat juga terjalin dengan ibadah tarawih yang dilaksanakan secara berjemaah di masjid dan sebagainya.



Bulan Ramadan yang suci ini yang diisi khususnya dengan ibadah berpuasa juga tidak semestinya dijadikan hambatan dan penghalang untuk seseorang itu berusaha di dalam segala urusan termasuklah berkarya di dalam bidang seni bahasa dan sastera kita."



- Penyanyi dan penggubah lagu, Mohd Khair Mohd Yasin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >