Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Bangkitkan sunah, eratkan silaturahim

NABILAH MOHD JUMLI

Sep 30, 2022 | 05:30 AM



BULAN Rabiulawal sudahpun tiba. Pada bulan di mana kekasih Allah, Nabi Muhammad saw, dilahirkan, haruslah kita membangkitkan semangat untuk berusaha mengikuti jejak sunahnya. Baginda saw disifatkan sebagai rahmatal lil 'alamin atau Rahmat bagi seluruh alam di dalam Al-Qur'an, Surah Al-Anbiya' ayat 107.



Maka, haruslah kita memanfaatkan bulan yang penuh dengan barakah ini dengan mempelajari dan mencontohi akhlak Baginda saw. Di antara sunah dan akhlak beliau yang boleh kita contohi pada bulan Rabiulawal ini termasuk mengeratkan silaturahim sesama manusia.



Erti Silaturahim



Meskipun terdapat pelbagai definisi bagi perkataan silaturahim, kebanyakannya memberikan makna yang tidak jauh beza. Silaturahim yang sering didengari ini adalah istilah bahasa Arab yang berasal daripada dua perkataan; Shilah, iaitu hubungan atau tali dan Rahim, iaitu rahim wanita.



Maka apabila digabungkan, silaturahim secara umum memberi erti menghubungkan tali kekerabatan dan kasih sayang sesama manusia, sama ada ahli keluarga, kaum kerabat mahupun jiran tetangga.



Perbuatan Digalakkan Agama



Memelihara hubungan silaturahim ditekankan di dalam beberapa ayat Al-Qur'an dan hadis. Di antaranya, di Surah An-Nisaa' ayat 1, Allah swt berfirman:



"Wahai manusia! Bertakwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam as), Dia (Allah) menciptakan dan daripada pasangannya Hawa, Dia (Allah) mengembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta serta peliharalah hubungan silaturahim kaum kerabat. Sesungguhnya Allah adalah Maha Menguasai (Memerhati) kamu."



Juga pada hadis kudsi - hadis yang secara makna datang daripada Allah swt, sementara lafaznya daripada Rasulullah saw - di mana Baginda saw bersabda:



"Allah berfirman, "Aku adalah Maha Pengasih dan ia adalah Rahim; nama itu diambil daripada sebahagian nama-Ku, siapa yang menyambungnya, maka Aku memberikan rahmat-Ku kepadanya, dan siapa yang memutuskannya, maka Aku memutuskan rahmat-Ku daripadanya." (HR Abu Daud).



Maka dengan itu, hukum mengeratkan hubungan silaturahim sesama saudara adalah wajib. Manakala sebaliknya, iaitu memutuskan tali persaudaraan, adalah haram.



Jubair bin Muth'im pernah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim." (HR Muslim).



Jenis Silaturahim



Terdapat tiga jenis silaturahim menurut perspektif Islam:



Pertama, silaturahim umum, iaitu silaturrahim sesama Muslim.



Kedua ialah silaturahim khusus, iaitu silaturrahim antara keluarga dan kaum kerabat.



Dan terakhir ialah silaturahim antara yang bukan seagama.



Justeru, menjalin hubungan sesama manusia dari sudut Islam tidak terhad kepada yang seagama sahaja. Malah, Islam menggesa supaya berlaku baik bukan sahaja terhadap manusia tetapi dengan makhluk-makhluk lain juga seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan.



Seperti yang berlaku di zaman Rasulullah saw ketika Asma binti Abu Bakar ra menerima sebuah hadiah daripada ibunya, lalu menolak hadiah tersebut disebabkan ibunya seorang musyrik pada ketika itu.



Sayidatina Aisyah ra yang melihat kejadian tersebut, bertanya kepada suaminya, Baginda saw. Maka turunlah ayat 8 dairpada Surah Al-Mumtahanah di mana Allah swt berfirman:



"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."



Bagaimana Caranya?



Cara mengerat dan mengekalkan hubungan silaturahim dalam agama bukanlah sesuatu yang sukar. Malah, semudah-mudah amalan ialah senyum atau menampakkan wajah gembira. Sepertimana sabda Baginda saw:



"Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah ceria (gembira)." (HR Muslim)



Memberi hadiah, mengunjungi sesama lain dan saling mendoakan juga merupakan antara amalan yang digalakkan Islam. Rasulullah saw pernah berkata:



"Tidak seorang hamba Mukmin yang berdoa untuk saudaranya dari kejauhan melainkan Malaikat berkata, 'dan bagimu seperti itu'." (HR Muslim)



Keutamaan Menjalin Hubungan



Dengan menuruti perintah Allah swt untuk berbuat baik sesama manusia, kita juga sebenarnya telah mendekatkan diri kepada-Nya.



Memperkukuh tali silaturahim bukan sahaja memanfaatkan seseorang di dunia sahaja, malah juga di akhirat kelak.



Selain mencontohi sifat dan akhlak Baginda saw, menjalin hubungan silaturahim dapat melapangkan rezeki dan memperpanjangkan umur seorang Muslim. Disabdakan oleh Baginda saw:



"Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah tali silaturahmi." (HR Bukhari dan Muslim)



Justeru, betapa penting menjaga hubungan antara saudara, begitu juga pentingnya untuk kita memperbaiki dan membina semula hubungan silaturahim yang telah putus.



"Wahai sekalian manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturahmi, dan kerjakanlah solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur. Nescaya, kalian akan dimasukkan ke dalam syurga dengan keselamatan." (HR At-Tirmizi)



Maka dengan ketibaan bulan mulia Rabiulawal, marilah kita berusaha memperbanyakkan amalan sunah dalam urusan harian kita dengan mengeratkan tali persaudaraan. Allah swt berfirman di Surah An-Nisaa' ayat 36:



"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada kededua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."



  • Penulis adalah siswazah Universiti Al-Azhar, Mesir, yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Tafsir, Usuluddin. Beliau juga merupakan mantan eksekutif kurikulum dan ustazah di pusat pembelajaran Nadi Qur'an. Beliau telah mengikuti Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan memiliki skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >