Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Bapa selit soal agama kepada anak tiap hari jika berpeluang

Nov 28, 2021 | 05:30 AM



Dengan musim cuti sekolah sekarang, ramai ibu bapa yang telah mengatur rancangan untuk menghabiskan masa bermutu dengan anak-anak. Tidak kiralah sama ada ke luar negara untuk bercuti, atau sekadar menghabiskan masa di Singapura, yang penting ibu bapa tidak harus mensia-siakan masa berharga ini sebelum anak-anak memulakan tahun persekolahan yang baru. Namun, dalam menghabiskan masa dengan anak-anak dengan pelbagai kegiatan riadah atau bercuti, ada ibu bapa juga yang menyelitkan unsur-unsur nilai dan keagamaan dalam kegiatan cuti sekolah mereka. HIDAYAH minggu ini memaparkan salah seorang keluarga sedemikian.



SETIAP hari, setiap saat jika ada peluang yang sesuai, personaliti Zan Sofiyan akan memanfaatkannya dengan menyelitkan soal agama kepada empat orang anaknya.



Malah, apabila mereka sekeluarga terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, ia juga merupakan masa terbaik untuk membincangkan tentang erti kesabaran.



"Saya memang suka selitkan unsur akhlak, nilai moral dan agama kepada anak-anak saya setiap masa yang saya ada.



"Ini kerana saya mahu mereka ketahui bahawa setiap apa yang mereka lakukan dalam dunia ini mempunyai kaitan dengan Allah swt," ujarnya.



Memberi contoh, Zan atau nama sebenarnya Muhammad Sapian Sapari, 41 tahun, berkata apabila anaknya mengeluh kerana kereta yang dinaiki terpaksa berhenti di setiap lampu merah, beliau menerangkan kepada mereka tentang pentingnya erti kesabaran dan bersyukur.



"Saya memberitahu mereka apabila trafik di jalan raya semua berwarna hijau dan memudahkan perjalanan kita, adakah mereka katakan 'alhamdulillah'? Kalau tidak, justeru, mengapa apabila berdepan dengan lampu merah atau ada kesesakan lalulintas kita marah-marah dan mengeluh?



"Kebetulan ada satu kali tu apabila terdapat kesesakan lalu lintas, rupanya ada kemalangan. Saya beritahu mereka, alhamdulillah, kita terselamat dan ada hikmahnya," katanya lagi.



Menurutnya, ini juga merupakan cara beliau merapatkan hubungan dengan anak-anaknya.



Mentelah lagi, dengan kini pekerjaan dilakukan dari rumah, jurutera audio ini berkata, ia memberinya lebih banyak masa terluang untuk bersama anak-anak.



Komunikasi antara beliau dan anaknya yang berusia antara tiga dengan 12 tahun juga bersifat terbuka dan dua hala.



Bukan sahaja beliau yang akan mengongsi atau bertanyakan kepada mereka tentang soal agama, tetapi juga sebaliknya.



Anaknya akan bertanya tentang kejadian di mana bulan terbelah dua atau meluahkan rasa marah atau iri hati antara adik-beradik.



Zan, yang memang suka bercerita dengan anak-anaknya, kemudian akan mengongsi kisah tentang Nabi Yusuf as dan juga Qabil dan Habil.



"Secara tidak langsung, menerusi kisah sebegini, hati mereka menjadi lembut dan mereka faham maksud yang tersirat dan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim dan terhadap adik-beradik yang lain," ujarnya.



Keadaan masa kini apabila anak-anak lebih terdedah kepada 'game' dalam talian dan juga video yang diselitkan dengan pelbagai unsur yang bercanggah dengan agama, juga membuat Zan terdorong untuk terus menasihati anak-anaknya tentang ajaran Islam.



"Kita tidak boleh terus menyekat anak-anak kita daripada bermain 'game' atau melungsuri Internet kerana mereka memang merupakan generasi hari ini di mana informasi mengenai segala-galanya hanya di hujung jari sahaja dan tiada sempadannya.



"Ada klip video dianggap lucu dengan unsur kartun, tetapi sebenarnya menerapkan nilai yang bercanggah dengan agama Islam. Selain memantau apa yang mereka tonton, penting juga kita sebagai ibu bapa terus menasihati mereka dan mengingatkan mereka berbalik kepada landasan agama dalam apa jua perkara.



"Itulah sebabnya saya memanfaatkan setiap masa untuk membincangkan tentang agama dan nilai-nilai murni yang berkaitan dan bukan hanya mengetengahkannya pada masa tertentu sahaja.



"Inilah juga cara kami memperkukuh hubungan antara keluarga," katanya lagi.




"Saya memang suka selitkan unsur akhlak, nilai moral dan agama kepada anak-anak saya setiap masa yang saya ada. Ini kerana saya mahu mereka ketahui bahawa setiap apa yang mereka lakukan dalam dunia ini mempunyai kaitan dengan Allah swt."
- Zan Sofiyan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >