Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Hidayah

Berdebat dengan berhemah

Ustaz Ahmad Shamsuddin perjelas adab sampaikan hujah,
yang boleh jadi salah satu jalan berdakwah
Sep 15, 2023 | 05:30 AM



Memang lumrah manusia dijadikan dengan pelbagai ragam, perangai, rupa, kemahuan dan pandangan.

Lantas, ketika berbicara, antara perkara yang ada kalanya tidak dapat dielakkan adalah berlakunya perdebatan atau perbincangan dalam proses berkongsi pendapat dan mencapai kata sepakat.

Berdebat atau mengutarakan pandangan – dalam apa jua bentuk – boleh berlaku di mana-mana.

Di rumah, ia boleh berlaku antara suami dengan isteri mengenai pelbagai perkara berkaitan kehidupan berkeluarga.

Di luar rumah pula, contohnya di pejabat atau di kedai kopi, ia boleh berlangsung antara majikan dengan pekerja, antara rakan sekerja mengenai tugas, antara sahabat ketika membincangkan sesuatu isu, dan yang paling sering kita dengar, dalam pertandingan debat antara pelajar.

Perdebatan, jelas Ustaz Ahmad Shamsuddin Ahmad, guru kanan di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, memiliki beberapa fungsi penting dalam meluahkan pandangan.

Menerangkan kepada Berita Harian, beliau berkata: “Perdebatan berlaku untuk mengungkap sudut pandang beragam untuk pemahaman yang lebih mendalam antara berbagai-bagai pihak yang terlibat.


“Islam mendorong perdebatan yang berlandaskan kejujuran, hormat-menghormati dan mencari kebenaran. Ia juga boleh menjadi salah satu jalan untuk melakukan dakwah.”

Hal ini sesuai dengan firman Allah swt yang bermaksud: “Panggillah mereka ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan (al-hikmah), nasihat yang baik (al-maw’izah al-hasanah) dan berdebatlah dengan perdebatan yang terbaik.” (Surah An-Nahl, ayat 125).


Ustaz Ahmad Shamsuddin menambah, berdebat juga boleh membawa kepada usaha meningkatkan kefahaman dan memahamkan orang lain menerusi penyelidikan mengenai sesuatu topik dan menyiapkan hujah.

“Perdebatan juga boleh mengasah seseorang itu untuk berbicara dan berfikir dengan lebih kritis, merumuskan dan menyampaikan hujah yang kuat secara efektif.

“Islam juga menggalakkan seseorang itu menimbangkan pandangan orang lain, meningkatkan pemahaman dan mengembangkan empati terhadap perspektif berbeza. Ini membantu dalam proses membuat keputusan yang lebih baik dengan mendengar dan mengambil kira hujah beragam untuk informasi dan keseimbangan,” katanya.

Menurut Ustaz Ahmad Shamsuddin lagi, dalam Islam, perdebatan dan perbincangan bermanfaat adalah dianjurkan, tetapi dengan tatacara yang baik dan adil.

“Perkara yang perlu diberi keutamaan adalah kebenaran. Dalam Islam, perdebatan yang bertujuan mencari kebenaran dan keadilan sangat dianjurkan. Ini mencerminkan nilai-nilai Islam mengenai kejujuran dan keadilan.

“Berdebat juga mengajar kita supaya menghormati pendapat orang lain. Ini kerana Islam mengajar kita agar menghormati pandangan dan pendapat orang lain, bahkan jika berbeza. Ini mencerminkan ajaran kesopanan dan penghargaan dalam berdebat,” ujarnya.

Apa Yang Boleh Dilakukan

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya petunjuk yang baik, cara yang baik dan tidak berlebih-lebihan adalah satu bahagian daripada 25 bahagian kenabian.” (HR Ahmad dan Abu Dawud).


Memberikan pandangan beliau, Ustaz Ahmad Shamsuddin berkata: “Dalam berdebat atau menyampaikan pandangan, seseorang itu perlulah menampilkan alasan logik dan dalil agama dengan bijak.

“Dia juga perlu berbicara dengan kebijaksanaan dan penghargaan, menyediakan pandangan dan hujah yang kuat, bertanya dan mendengar sebelum memberi respons serta berdebat dengan etika dan menjadikan keadilan sebagai landasan.”

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Ankabut, ayat 46, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, kecuali dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berbuat zalim di antara mereka. Katakanlah: ‘Kami beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah Tuhan yang Esa, dan kepada-Nya kami berserah diri’.”


Apa Yang Tidak Boleh Dilakukan

Dalam berdebat, amat penting bagi kita memahami adab dan tatasusilanya. Ini kerana jika tidak baik niatnya dan buruk pula cara mengutarakannya, maka mungkin buruk pula natijah dan kesannya.

Sehubungan itu, Ustaz Ahmad Shamsuddin berkata: “Elakkan menghina atau merendahkan orang lain. Ketika menyampaikan hujah, jauhkan daripada menyebar fitnah atau menggunakan maklumat palsu.

“Perhatikan juga kita tidak mengganggu ketertiban masyarakat, berdebat dengan kecurangan dan menggunakan bahasa kasar atau menghina.”

Adab Baik Dalam Berdebat

Dalam berdebat, adab-adab baik yang harus diperhatikan, menurut Ustaz Ahmad Shamsuddin, termasuk menghormati dan memberi salam kepada lawan debat.

“Gunakan bahasa sopan dan hindari kata-kata kasar. Dengarkan dengan saksama hujah lawan debat tanpa mengganggunya.

“Pendebat pula perlu menyampaikan hujah yang jelas dan logik dengan bukti yang kuat. Pendebat juga tidak boleh bersikap sombong, bongkak atau berasa lebih unggul.

“Ciri-ciri ini mencerminkan etika dan sikap yang baik dalam berdebat dalam budaya Islam yang menghargai kesopanan, kebijaksanaan, dan penghargaan terhadap orang lain,” ujar beliau.

Kesimpulan

Umumnya, jika sesuatu perdebatan mempunyai matlamat yang baik iaitu mencari kebenaran dan ia diikuti dengan cara dan adab yang betul, pastinya ia akan membawa kepada kesimpulan yang bermanfaat dalam memperkaya khazanah keilmuan.

Untuk mencapai matlamat ini, Ustaz Ahmad Shamsuddin menasihatkan pendebat atau sesiapa sahaja yang ingin menyampaikan pandangan supaya menanam niat kebaikan demi pembangunan umat dan menghormati pendapat tanpa menjatuhkan martabat.

Pendebat juga, tambah beliau, perlu berpegang pada etika kesopanan dan kesantunan, mengakui kesalahan dan belajar daripada pengalaman.

“Berbicaralah dengan bijak dan penuh kasih, bersikap terbuka terhadap hujah yang kuat dan sertakan doa agar kita dapat berdebat dengan kebaikan hati.

“Hindari merendahkan agama atau keyakinan orang lain dan jadikan setiap debat peluang belajar dan mewujudkan kedamaian dalam masyarakat,” ujar beliau mengakhiri hujahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >