Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Doa wadah, anugerah luah isi hati pada Tuhan

Ustazah Khairunnisaa perjelas perihal pengkabulan doa
May 20, 2022 | 08:07 AM



    SEBAGAI hamba yang lemah dan mempunyai pelbagai keinginan, kita diajar dan digalakkan agar memperbanyakkan berdoa kepada Allah swt agar segala hajat kita tercapai.



    Tetapi ada kalanya, dalam kedaifan akal fikiran kita, timbul juga pertanyaan "bila doa aku akan terkabul?"



    Untuk menjawab persoalan ini, Ustazah Khairunnisaa Abdul Rahim, Eksekutif, Kepimpinan Keagamaan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas), menerangkan bahawa doa adalah satu anugerah bagi seorang Mukmin daripada Allah swt dan satu wadah untuk kita meluahkan isi hati kepada-Nya.



    "Setiap manusia mempunyai keperluan, keinginan dan hajat tertentu. Indahnya Islam, Tuhan yang menciptakan manusia memahami keperluan ini, lalu menjamin untuk mengkabulkan permintaan dan hajat hamba-Nya sekiranya dia bermohon kepada Allah swt.



    "Sebagai motivasi diri, kita boleh merujuk kepada firman Allah swt dalam surah Ghafir, ayat 60, yang bermaksud: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku (Allah) akan kabulkan".



    "Kita digalakkan memohon keinginan kita kepada Allah swt tanpa mengira besar atau remeh sekalipun hajat tersebut kerana Allah swt tidak akan menghampakan atau menolak permohonan hamba-Nya," jelas Ustazah Khairunnisaa, yang memiliki ijazah Sarjana Muda, Tafsir dan Ulum Al-Quran, Usuluddin, daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.



    Menurut beliau, ada hadis yang menyebut bahawa "Allah swt Maha Pemalu, Maha Mulia. Allah malu apabila hamba-Nya mengangkat kededua tangannya (berdoa) kemudian Dia menolaknya dengan hampa." (HR Imam At-Tirmidzi).



    Menyambung penjelasannya mengenai kelebihan berdoa, Ustazah Khairunnisaa berkata:



    "Walaupun kita mungkin mengalami ujian yang terlalu berat, baik kesempitan yang menyesakkan mahupun sakit yang berpanjangan, doa merupakan anugerah kepada seorang Mukmin daripada Tuhan-Nya.



    "Ia (doa) memberikan harapan dan melahirkan hamba yang positif."



    Beliau memberikan contoh Nabi Zakariya as yang telah lanjut usia dan diuji dengan ketiadaan zuriat.



    Nabi Zakariya as, katanya, dengan penuh kesungguhan dan tanpa berputus asa bermohon kepada Allah swt agar dikurniakan zuriat. Walaupun perkara ini kelihatan mustahil kerana usia Nabi Zakariya yang telah lanjut dan keadaan isterinya yang mandul, berkat bermohon kepada Allah swt dan bergantung harapan pada-Nya, hajat baginda bukan sahaja dikabulkan, bahkan Allah swt mengurniakan kepada Nabi Zakariya as anak yang soleh dan daripada kalangan anbia.



    BILA ALLAH KABULKAN DOA



    Sebagai manusia, tambah Ustazah Khairunnisaa, sifat tergesa-gesa merupakan sebahagian daripada diri kita dan menjadi kelaziman bagi manusia menginginkan dan berharap akan berlakunya sesuatu dengan segera serta berasa resah menunggu hasilnya.



    Allah swt memahami hamba-Nya dan menjanjikan kebaikan buat hamba yang beriman sehingga dijelaskan bahawa setiap doa didengar dan diterima, hanya bentuk penerimaannya itu adalah pelbagai, kata beliau.



    "Pertama, sesuatu doa akan dikabulkan dengan segera iaitu di dunia. Ini bermaksud permintaannya dikabulkan di dunia ini sama ada dengan cepat atau pada masa tertentu.



    "Kedua, ditunda dan ditangguhkan di akhirat, iaitu menjadi pahala yang dihitung di akhirat kelak. Ini kerana Allah swt lebih mengetahui keperluan hamba-Nya yang mungkin tidak memerlukan hal tersebut di dunia ini.



    "Bentuk penerimaan doa yang ketiga adalah dirinya (orang yang berdoa itu) akan dijauhkan daripada keburukan dan musibah," jelas Ustazah Khairunnisaa.



    ADAKAH DOA DENGAN NIAT TIDAK BAIK JUGA DIKABULKAN?



    Menerangkan jenis doa seperti ini, beliau berkata mungkin dalam sesetengah keadaan seperti dalam keadaan disakiti, seseorang itu terpanggil untuk berdoa meminta keburukan atau dengan niat tidak baik.



    "Nabi saw mengajar kita agar tidak mendoakan keburukan buat diri sendiri dan keluarga.



    "Sabda Baginda saw: "Janganlah berdoa yang buruk terhadap diri sendiri, dan janganlah berdoa yang buruk buat anak-anak kamu dan janganlah berdoa yang buruk buat harta benda kamu".

    (HR Imam Muslim).



    "Sebaliknya, adalah baik sekiranya kita mencontohi sikap Rasulullah saw yang sentiasa mendoakan kebaikan buat orang di sekelilingnya walaupun dihina, dikeji dan disakiti.



    "Ini seperti kisah Rasulullah saw yang mendoakan agar Allah swt memberikan petunjuk kepada penduduk Taif yang telah menyerang Nabi saw, sambil Baginda berkata bahawa "sesungguhnya mereka tidak mengetahui"," tambah beliau lagi.



    DOA YANG DITOLAK?



    Walaupun Allah swt berjanji akan mengkabulkan setiap permintaan hamba-Nya, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan sesuatu doa itu tidak diterima, kata Ustazah Khairunnisaa.



    Antaranya, dalam sebuah hadis, Rasulullah saw melarang berdoa untuk perbuatan dosa dan memutuskan silaturahim. Doa sebegini tidak diterima oleh Allah swt, ujarnya.



    Faktor lain, tambah beliau lagi, adalah kerana memakan dan minum serta menggunakan sesuatu yang diharamkan ataupun dari sumber yang haram.



    Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, diceritakan perihal seorang lelaki yang menempuh perjalanan yang panjang, sehingga rambutnya kusut dan berdebu. Dia menadahkan tangan ke langit sambil berdoa "wahai Tuhanku… wahai Tuhanku". Namun, makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makanan yang haram. Dalam hal ini, doanya tidak dikabulkan oleh Allah swt.



    KESIMPULAN



    Sebagai kesimpulan, Ustazah Khairunnisaa berkata doa merupakan wadah untuk kita meluahkan isi hati kepada Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihani.



    "Melalui doa, sekurang-kurangnya sedikit bebanan dalam hati kita akan berasa ringan dan kesempitan akan terasa lapang sedikit.



    "Allah tidak memandang remeh doa hamba-Nya walau sekecil dan sebesar mana permintaan kita. Oleh itu, berdoalah bukan sahaja untuk di waktu susah, bahkan di waktu senang juga.



    "Sekiranya kita ingin Allah mengingati dan membantu kita di waktu sukar, maka kita perlu sentiasa mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah pada setiap masa, baik susah mahupun senang," ujar beliau.



    Ustazah Khairunnisaa mengakhiri penjelasannya dengan menampilkan pesanan Nabi saw yang bermaksud: "Siapa yang ingin Allah menerima doanya ketika susah, maka perbanyakkanlah doa pada masa senang." (HR Imam At-Timidzi).




    JAMINAN PENGKABULAN DOA



    "Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku (Allah) akan kabulkan".
    - Surah Ghafir, ayat 60.




    Dalam satu hadis, ada disebut bahawa "Allah swt Maha Pemalu, Maha Mulia. Allah malu apabila hamba-Nya mengangkat kededua tangannya (berdoa) kemudian Dia menolaknya dengan hampa."
    (HR Imam At-Tirmidzi).




    SEKILAS BIODATA



    • Ustazah Khairunnisaa Abdul Rahim ialah Eksekutif, Kepimpinan Keagamaan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas). Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda, Tafsir dan Ulum Al-Quran, Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Mesir.




    Video Baru

    Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
    Pilih perkataan yang betul 1/3
    =
    Pilih perkataan yang betul
    Betul!
    Salah!
    < Kuiz sebelumnya
    Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
    Kuiz seterusnya >