Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Lima cara Rasulullah hadapi ujian hidup

Sep 30, 2022 | 05:30 AM



FIRMAN Allah swt yang bermaksud;



"Sesungguhnya, kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Dan, jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu." (Surah Muhammad: Ayat 36)



Benarlah firman Allah swt bahawa hidup ini hanyalah tempat untuk bermain dan bersenda gurau.



Adakala ketika 'bermain-main' (menjalani hidup di dunia ini), kita berasa gembira. Kadangkala, berasa sedih. Itulah rencah yang dilalui oleh setiap daripada kita tidak kira pangkat mahupun darjat.



Justeru, timbul persoalan apakah sikap kita selaku seorang Muslim dalam menghadapi hal ini?



Bagaimanakah pula Rasulullah saw menghadapi dan menenangkan hati tatkala ujian melanda di dalam hidup Baginda? Berikut dikongsikan bersama:



1. Bersangka Baik Dengan Allah



Setiap yang berlaku dalam hidup kita sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Oleh itu, usahlah mengeluh dan menyalahkan takdir yang telah ditetapkan.



Berusahalah untuk mendidik hati kita agar bersangka baik dengan setiap aturan-Nya. Ini kerana Rasulullah saw pernah bersabda:



"Bahawasanya Allah swt berfirman, 'Sesungguhnya Aku bersama sangkaan hamba-Ku'." (Riwayat At-Tirmizi)



2. Meminta Pertolongan Dari Allah



Sehebat mana pun kedudukan kita di mata manusia, kita tetap memerlukan Tuhan dalam kehidupan seharian. Ini kerana Dia sahajalah yang mengetahui perihal buruk baik, serta perihal dalaman luaran kita secara keseluruhannya.



Justeru itu, jika diri ditimpa kekecewaan, musibah mahupun dugaan dalam hidup, mintalah pertolongan daripada-Nya, kerana Dia lebih mengetahui.



Sepertimana firman Allah swt yang bermaksud:



"Dan, mintalah pertolongan dari-Ku pasti Aku perkenankan." (Surah al-Baqarah: Ayat 185)



Bahkan Baginda Nabi saw yang juga insan paling agung di sisi Allah juga turut memohon pertolongan kepada Allah swt bagi mententeramkan dirinya daripada pelbagai dugaan yang menimpa ke atasnya.



Rasulullah saw bersabda:



"Apabila seorang hamba ditimpa kegelisahan atau kesedihan, lalu dia berdoa, 'Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu (Adam) dan anak perempuan-Mu (Hawa).



"Ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, qada'-Mu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepada-Mu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau gunakan untuk diri-Mu, yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, Engkau ajarkan kepada seseorang daripada makhluk-Mu atau yang Engkau khususkan untuk diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, hendaknya Engkau jadikan Al-Quran sebagai pententeram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Abu Ya'la, Al-Hakim)



3. Mengkaji Al-Quran



Jika hati tidak tenang terhadap suatu perkara, maka ambillah Al-Quran, tatap, baca dan fahamilah maksudnya.



Dengan izin Allah, gundah di hati akan hilang secara beransur-ansur. Bahkan, ubat bagi segala penyakit yang ada di dalam hati juga dapat disembuhkan menerusi Al-Quran. Firman Allah swt bermaksud;



"Kami berfirman, 'Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati'." (Surah al-Baqarah : Ayat 38)



4. Menjaga Wuduk



Selain untuk solat, kita juga digalakkan supaya sentiasa berada dalam keadaan berwuduk. Ini kerana selain membersihkan diri secara luaran, wuduk juga terbukti memberi kesan terhadap pembersihan rohani seseorang.



Salah satu sunah Rasulullah saw adalah berwuduk sebelum tidur. Baginda bersabda;



"Barangsiapa yang tidur di malam hari dalam keadaan suci (berwuduk), maka Malaikat akan tetap mengikuti. Lalu, ketika ia bangun nescaya Malaikat akan mengucapkan, 'Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan, kerana ia tidur di malam hari dalam keadaan sentiasa bersuci'."



Riwayat Ibnu Hibban daripada Ibnu Umar ra.



5. Membasahi Lidah Dengan Zikrullah



"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dan berzikir (mengingati Allah). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd: 28)



Sama ada kita dalam keadaan susah mahupun senang, sentiasalah ingat kepada-Nya.



Yakinlah bahawa setiap apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt itu sudah pasti ada maksudnya yang tersirat.



Mungkin, ia akan memakan masa selama bertahun baru tersingkap rahsia qadak-Nya. Bersabarlah dan jalanilah hidup dengan penuh kesyukuran. (Sumber: Laman Tazkirah, tzkrh.com)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >